Kuala Lumpur – Sedikit kekecohan berlaku ketika Istaidat Penghormatan Jenazah pagi ini apabila seorang jurugambar dari New Straits Times, Aizuddin Saad ditumbuk oleh salah seorang waris keluarga mangsa nahas pesawat MH17.
Kejadian dikatakan berlaku sejurus selepas jasad Paul Goes, Subashni J.Retnam dan Kaelamayajay Goes (21 bulan) tiba di Pusat Peringatan Nirvana di Sungai Besi.
Subashini atau lebih mesra disapa Shuba Jay merupakan peserta musim pertama program popular Sehati Berdansa itu maut ketika dalam penerbangan pulang ke Kuala Lumpur selepas bercuti di Amsterdam, Belanda bersama suaminya, warga Belanda iaitu Paul dan anak perempuan mereka, Kaela, 21 bulan.
Dalam program Sehati Berdansa pada 2010 mediang telah bergandingan dengan bapanya, J Retnam AJ Karuppiah, 64, dan banyak terbabit dalam pementasan teater yang dipentaskan di Actor‘s Studio.
Pihak polis yang berada di tempat kejadian berjaya mengawal keadaan. Walau bagaimanapun SuaraTV tidak dapat memastikan punca sebenar kejadian tumbuk itu. - Suara.TV.