Bentong: Luluh hati seorang ibu apabila anak tunggalnya yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran pada 20 September ini ditemui lemas di dalam sebuah kolam terbiar di FELDA Lurah Bilut, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa, Ahmad Yaakob Zaili berusia dua tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat.
Difahamkan, sebelum kejadian kanak-kanak terbabit dikatakan bermain seorang diri di depan rumah manakala ibunya di dapur dan bapanya bekerja di sebuah kilang air batu.
Selepas siap melakukan kerja rumah, ibu mangsa memanggil anaknya beberapa kali, tetapi tiada sahutan menyebabkan dia bersama suaminya yang kebetulan pulang dari kerja bergegas mencari mangsa.
Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Abdul Razak, 50, berkata ketika kejadian, dia berada di depan rumahnya sebelum terpandang satu objek mencurigakan di dalam kolam.
“Saya memberanikan diri menghampiri objek berkenaan dan terkejut apabila mendapati ia jenazah anak jiran sebelum menghubungi Balai Polis Lurah Bilut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Mohd Mansor Mohd Nor ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sumber: Harian Metro