JAPAN TRUST TECHNOLOGY (merupakan sebuah syarikat eletronik di JEPUN) telah mengeluarkan kamera yang dipanggil CHOBI CAM ONE. Fungsinya sama seperti kamera DSLR yang lain, tetapi berat kamera tersebut hanyalah 12g serta berdimensi 2.5 x2.5 x 2.6 cm. Kalau kamera ni dijual di pasaran Malaysia pastinya ramai yang beli disebabkan rekaannya yang comel serta bersaiz kecil dan senang untuk dibawa.
Friday, September 13, 2013
28 wanita GRO Thailand ditahan ketika sedang berhibur
Kuala Lumpur: Polis menahan 28 wanita warga Thailand berusia 24 hingga 39 tahun kerana disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) sebuah pusat hiburan di Jalan Conlay, di sini, malam kelmarin.
Kegiatan tidak bermoral di pusat hiburan yang memulakan operasi sekitar jam 8 malam hingga awal pagi itu dikesan pihak Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur yang kemudian melakukan serbuan.
Pegawai Turus D7 IPK Kuala Lumpur Deputi Superintendan Bahrain Che Rose berkata, pihaknya menyerbu premis yang terletak di tingkat satu itu jam 10 malam dengan kekuatan tiga pegawai dan 20 anggota.
“Ketika serbuan dilakukan, kebanyakan GRO melayan pelanggan. Seramai 24 pelanggan berhibur dalam premis dilengkapi pemuzik dan penyanyi berpakaian seksi. “Hasil serbuan kami menahan 28 wanita warga Thailand yang disyaki bekerja sebagai GRO. Semakan mendapati semua memiliki pasport.
“Kita turut menahan seorang lelaki tempatan dipercayai penjaga premis berusia 30-an. Hasil pemeriksaan premis itu memiliki lesen pusat hiburan,” katanya.
Bahrain berkata, semua GRO dibawa ke IPK Kuala Lumpur untuk proses dokumentasi kerana disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja di premis itu. Katanya, siasatan lanjut dilakukan bagi mengetahui GRO terbabit dihantar ejen tertentu atau bekerja dengan premis berkenaan serta jumlah tip yang diterima mereka.
Sumber: Metro Online
Lelaki maut, rakan patah peha selepas motosikal terbabas
Seremban: Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal ditunggang terbabas lalu merempuh penghadang jalan di Jalan Seremban Jaya, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.10 pagi itu, mangsa, Muhammad Amir Amirul Azman, 19, maut di tempat kejadian manakala pembonceng, Nur Hidayah Abdullah, 18, patah tulang paha.
Jurucakap polis berkata, kejadian berlaku apabila Muhammad Amir yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC dalam perjalanan dari Senawang menghala ke Seremban Jaya sebelum tiba-tiba motosikal ditunggang hilang kawalan dan merempuh penghadang jalan. “Kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing sebelum kemalangan berlaku.
“Siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan setibanya di tempat kejadian lalu melanggar penghadang jalan menyebabkan Muhammad Amir tercampak di atas jalan manakala Nur Hidayah ke seberang jalan,” katanya. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala Nur Hidayah kini dirawat di Hospital Tuanku Jaafar Seremban selepas patah tulang peha.
Harian Metro difahamkan, suasana pilu menyelubungi lokasi kemalangan apabila beberapa kenalan kedua-dua mangsa tidak dapat menahan sebak melihat keadaan Muhammad Amir yang terburai otak akibat terkena hentakan penghadang jalan. Pegawai Turus Trafik Negeri, Asisten Superintendan Abdul Halil Hamzah mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Metro Online
Bayi perempuan ditinggal atas kerusi rotan
Johor Bahru: Tangisan tanpa henti seorang bayi perempuan menyelamatkannya daripada ditimpa kejadian buruk selepas ditinggalkan di atas kerusi rotan di depan kediaman sepasang suami isteri warga Indonesia di Kampung Pemuda Jaya, Seelong, Senai di sini, 22 Jun lalu.
Pelindung Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kulaijaya Jamalluddin Hassan berkata, bayi berkenaan ditemui pada jam 1.45 pagi oleh pasangan itu.
“Ketika ditemui, bayi perempuan berkenaan yang cukup sifat hanya dibalut dengan sehelai kain. Penghuni rumah itu hanya menyedari kehadiran bayi berusia sebulan itu selepas terdengar tangisannya,” katanya, semalam.
Jamaluddin berkata, bayi berkenaan kini berusia empat bulan dan dinamakan Izara Sofea. Menurutnya, siasatan mendapati tiada dokumen kelahiran ditinggalkan bersama bayi berkenaan.
“Bayi itu kemudiannya dimasukkan ke Hospital Kulai sehingga 28 Jun bagi pemeriksaan kesihatan sebelum ditempatkan di Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Sinar Juita.
“Sehingga kini, tiada pihak tampil untuk menuntut Izara Sofea. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan warisnya diminta menghubungi Pegawai Kebajikan Masyarakat Kulaijaya Mohd Iskandar Abu Bakar di talian 07-662299,” katanya.
Sumber: Metro Online
500 Pusat Internet 1Malaysia bakal dibuka diluar bandar
Cyberjaya: Sebanyak 500 Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) disasarkan dibuka di kawasan luar bandar di seluruh negara sehingga akhir tahun ini.
Ketua Bahagian Pembangunan Luar Bandar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Uzer Tajudin berkata, ketika ini 359 PI1M sudah beroperasi sejak ia diwujudkan sejak 2007.
“Objektif PI1M membantu masyarakat luar bandar meningkatkan taraf sosial dan ekonomi di samping berpeluang menikmati faedah melayari Internet seperti yang dirasai komuniti bandar, sekali gus merapatkan jurang digital antara penduduk luar bandar dengan bandar.
“Dari sudut ekonomi, ia membolehkan penduduk kampung menceburi bidang perniagaan dengan memasarkan produk keluaran mereka di laman Internet melalui tunjuk ajar kakitangan di pusat berkenaan,” katanya ketika ditemu bual di ibu pejabat SKMM di sini.
Uzer berkata, sebagai contoh, seorang pengusaha rumpai laut di Kunak, Sabah, Kabilah Abd Hassan hanya memperoleh pendapatan RM500 sebulan hasil memasarkan rumpai laut, namun selepas dipasarkan menerusi Internet di PI1M, pendapatannya mencecah RM20,000 sebulan.
Katanya, PI1M mempunyai peralatan teknologi maklumat (IT) dengan penyambungan Internet yang menyediakan latihan dan penggunaan komputer kepada penduduk luar bandar.
Menurutnya, pihaknya juga sedang membina 95 lagi pusat seumpama itu di seluruh negara.
“Sekarang kami memberi tumpuan kepada pembangunan kandungan dan aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang perlu ditambah baik dari semasa ke semasa dengan meningkatkan prasarana PI1M.
“SKMM juga berhasrat menubuhkan 100 PI1M dalam tempoh dua tahun di kawasan bandar bagi memenuhi keperluan golongan kurang berkemampuan,” katanya.
Beliau berkata, bagi tujuan itu pihaknya memulakan fasa perintis pertama PI1M di kawasan bandar iaitu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Pantai, Kuala Lumpur yang sudah siap pada Mac lalu, yang turut mempunyai kemudahan papan kekunci Braille untuk orang kelainan upaya (OKU) penglihatan.
Pada awal penubuhan, pusat Internet itu ia hanya dikenali sebagai Pusat Jalurlebar Komuniti (PJK), namun diberi penjenamaan semula tahun lalu dengan panggilan PI1M.
Setakat ini, 700,000 penduduk luar bandar seluruh negara mendapat manfaat kemudahan akses menerusi penubuhan PI1M.
Sumber: Metro Online
2 Lelaki ditahan miliki senapang buatan sendiri
Alor Setar: Tindakan dua lelaki berketurunan Siam memiliki senapang buatan sendiri untuk kegunaan menembak tupai di kebun mengundang padah apabila ditahan polis secara berasingan di sekitar Sik, dekat sini, awal pagi kelmarin.
Difahamkan, seorang daripada dua suspek berusia antara 20 hingga 30-an itu ditahan pada jam 2.30 pagi, manakala rakannya ditahan satu jam selepas itu.
Sumber berkata, dua laras senapang buatan sendiri itu ditemui di dalam sebuah rumah berdasarkan maklumat awam sebelum gerakan menjejaki dua lelaki terbabit dilakukan sejurus selepas penemuan berkenaan.
Menurutnya, berdasarkan pemerhatian, senapang buatan sendiri itu menggunakan peluru penabur dan ia bukan saja boleh mencederakan orang lain, malah mampu membawa maut.
Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata, kedua-dua suspek itu ditahan dan siasatan terperinci masih dijalankan untuk mengesan jika ada individu lain terbabit dengan pembuatan senapang angin berkenaan.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara 14 tahun dan tidak kurang dari enam sebatan. “Saya juga menyeru kepada semua individu yang memiliki senapang buatan sendiri supaya menyerahkan senjata berkenaan di mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan,” katanya.
Mengulas perkembangan Ops Cantas Khas di Kedah, Ahmad berkata, sehingga semalam, pihaknya sudah menahan 37 individu mengikut Akta Pertubuhan 1966 selain merampas empat pucuk pistol, tujuh raifal tempur, tiga senapang angin buatan sendiri dan beberapa bilah senjata tajam.
Sumber: Metro Online
Mesut Ozil bakal beraksi kali pertama bersama Arsenal 14/9/2013
Sunderland: Mesut Ozil akan membuat penampilan sulung Liga Perdana Inggeris apabila Arsenal berdepan Sunderland di Stadium of Light, malam ini.
Bintang Jerman itu menjadi tajuk utama akhbar London sejak kebelakangan ini apabila nilai perpindahannya dari Real Madrid memecahkan rekod yang pernah dilakukan Arsenal sebelum ini sekali gus menebus kekecewaan peminat yang mengharapkan lebih ramai pemain hebat dibawa masuk Arsene Wenger.
Selain Ozil, Wenger hanya memperoleh khidmat Mathieu Flamini dan Yaya Sanogo serta penjaga gol yang hadir menerusi pinjaman, Emiliano Viviano.
Pemain perancang itu dijangka diturunkan selepas pulang dari membantu negaranya pada saingan kelayakan Piala Dunia, baru-baru ini.
Wenger bagaimanapun masih belum memutuskan sama ada mahu menyenaraikan Ozil atau tidak tetapi apa juga rancangannya, beliau perlu memastikan pemain itu dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran barunya tambahan pula Tomas Rosicky dilanda kecederaan, pertengahan minggu lalu. - AFP
Sumber: Metro Online
Subscribe to:
Posts (Atom)
-
| Peranan buah dada dan puting wanita memang banyak, bukan sekadar menggoda nafsu lelaki saja, tapi buah dada sebagai bukti kalau gadis itu...
-
Khunsa, berasal dari perkataan Arab yang bererti lembut. Menurut Kamus Dewan, orang yang mempunyai dua alat kelamin. Golongan istimewa ini A...