KUALA LUMPUR 18 FEB: Papa dipaksa menyanyi lagu negaraku tetapi enggan berbuat demikian kerana beliau adalah mangsa tahanan politik, cerita Nurul Nuha Anwar apabila diminta realiti kehidupan Ketua Umum KEADILAN, Saudara Anwar Ibrahim di penjara Sungai Buluh.
Nuha memberitahu papanya menceritakan perkara itu semasa pertama kali melawatnya, pada 13 Februari lalu.
Selain dipaksa menyanyi Anwar juga diminta mengucapkan ‘Selamat Pagi Cikgu’ setiap kali tahanan berkawad.
“Mereka mahu papa diperlakukan seperti tahanan lain sedangkan papa merupakan mangsa tahanan politik,” kata Nuha dengan air mata bergenang.
Bercerita lanjut mengenai keadaan papanya di penjara, Nuha dengan nada tersekat-sekat menahan sebak walaupun tahu papanya cuba menyembunyikan apa yang dilaluinya di jeriji besi itu daripada pengetahuan beliau dan adik-beradikya.
Sambung Nuha, ketika pertemuan itu, papanya tidak ubah seperti kebiasaannya, menonjolkan watak seorang periang, sentiasa tersenyum dan sempat bergurau bersama cucu-cucu, walaupun dalam masa singkat.
“Bayangkan cuma dalam tempoh 45 minit ruang masa yang dibenarkan, kami dalam 10 orang anak beranak terpaksa melepaskan rindu dengan papa secara bergilir-gilir.
“Tak sampai 10 minit sorang dapat bercakap dengan papa melalui alat komunikasi yang disediakan pihak penjara di sebalik cermin yang memisahkan antara papa dan kami.
“Paling sedih, pertemuan kami semalam apabila papa dibawa ke Mahkamah Jalan Duta di mana cucu-cucunya tidak puas untuk bersama ‘papa tok’nya.
“Sampaikan anak saya yang kedua ini tidak mahu melepaskan pelukannya,” cerita Nuha, di samping anaknya itu yang berusia setahun sebulan dan kadangkala merengek ketika wawancara ini berlangsung.
Nuha yang terserlah sifat keibuannya melayan karenah anaknya itu berkata, mereka sekeluarga dibenarkan melawat papanya cuma sekali dalam sebulan, dan tempoh itu katanya terlalu lama untuk mereka memendam rindu.
Untuk mendapatkan cerita lanjut tentang pandangan Nuha berkenaan politik dan kecekalan beliau dan adik-beradik dalam mengharungi fitnah ini, sila dapatkan naskah bercetak Suara Keadilan(Bil 213) pada selasa 24 Februari depan. - Keadilan Daily
No comments:
Post a Comment