Thursday, February 3, 2011

Perpindahan pelajar Malaysia keluar Mesir

KUALA LUMPUR 3 Feb. – Usaha membawa keluar rakyat Malaysia dari Mesir berjalan lancar dengan 545 pelajar diterbangkan ke Jeddah dengan pesawat Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia bermula 2 petang ini waktu Kaherah atau 8 malam waktu Malaysia.

Timbalan Menteri Luar, A. Kohilan Pillay berkata, kumpulan pertama terdiri daripada 345 pelajar diterbangkan menggunakan pesawat MAS pukul 2 petang ini waktu Kaherah manakala selebihnya menerusi pesawat AirAsia 30 minit selepas itu.

Menurutnya, pelajar perempuan tahun pertama dan yang tidak sihat diberi keutamaan untuk dibawa keluar dari Mesir seberapa segera.

“Kita ambil pelajar-pelajar tersebut dari rumah-rumah negeri di sekitar Mesir termasuk yang menuntut di madrasah di samping melengkapkan sijil kecemasan kepada yang kehilangan pasport,” katanya ketika dihubungi di Kaherah, hari ini.

Kohilan berkata, setakat ini seramai 11,700 pelajar telah berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di Kaherah sementara 5,000 lagi tidak berdaftar.


Dalam pada itu, katanya, pihak kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk membawa keluar kesemua rakyat Malaysia dari Mesir secepat mungkin mengikut giliran dan keadaan.

Kohilan memberitahu, beliau menerima ratusan khidmat pesanan ringkas (SMS) meminta kerajaan mempercepatkan proses tersebut.

Beliau menjelaskan, kesemua pelajar yang dipindahkan ke Jeddah itu akan tinggal di beberapa buah asrama milik Tabung Haji dalam tempoh dua minggu hingga sebulan.

“Sekiranya keadaan kembali aman, pelajar-pelajar tersebut akan kembali ke Mesir untuk meneruskan pengajian masing-masing,” ujarnya.

Mengenai pergolakan politik di Kaherah, Kohilan memberitahu, keadaan semakin pulih yang mana penduduk boleh bergerak bebas dari satu tempat ke satu tempat manakala pasar mula dibuka seperti biasa.

Beliau menjelaskan, rusuhan hanya berlaku di sesetengah kawasan dan bukan di seluruh negara itu, manakala, sistem telekomunikasi sudah boleh digunakan termasuk penggunaan Internet.


Di KOTA KINABALU, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, kerajaan memilih Jeddah sebagai lokasi penempatan sementara kerana ia merupakan negara jiran Mesir yang paling dekat dan selamat.

Menurut beliau, kerajaan bukannya tidak mahu membawa mereka pulang terus ke Malaysia, tetapi jumlah terlibat terlalu ramai iaitu kira-kira 11,379 pelajar yang mendaftar di Mesir.

“Kerajaan tidak mahu membuang masa untuk pulang ke Malaysia yang mengambil masa selama lapan hingga sembilan jam perjalanan.

“Kita berusaha memastikan semua rakyat Malaysia dapat dikeluarkan terlebih dahulu dan berada di tempat yang selamat,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Ditanya mengenai kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Bunga Mas 5 yang sedang dalam perjalanan menyelamatkan rakyat Malaysia di Mesir, Anifah berkata, kapal tersebut ketika ini terpaksa menukar destinasi.

Katanya, kapal tersebut ketika ini sedang melalui Teluk Eden dan dijangka berlabuh di Pelabuhan Ain Sukhna, Mesir pada Sabtu ini.

Beliau memberitahu, KD Bunga Mas 5 mempunyai kapasiti mengangkut kira-kira 500 pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir untuk satu perjalanan.

Mengenai tempoh misi menyelamat semua rakyat Malaysia di Mesir akan selesai, Anifah berkata, berdasarkan jumlah rakyat yang direkodkan oleh kedutaan negara di Mesir iaitu seramai 11,379 orang, ia mungkin mengambil masa selama empat hari setengah.

Sumber: Utusan Malaysia

Nota Dahi: Alhamdulillah semakin hari semakin ramai pelajar Malaysia yang berjaya dikeluarkan dari wilayah yang sedang bergolak itu. Sehingga hari ini, pergolakan di Mesir masih lagi berlarutan selagi pemerintahan Hosni Mubarak tidak meletak jawatan. Video pergolakan di Mesir menggambarkan betapa rakyat Mesir pada ketika ini sedang membuat rusuhan secara besar-besaran.

No comments:

Post a Comment

Gambar Belangkas