Wednesday, September 2, 2015
di buru polis
SAFINA RAMLI | 03 September 2015 12:13 AM
ALOR SETAR 2 Sept. - Polis sedang memburu lima lelaki yang dipercayai terlibat dalam tiga kejadian rusuhan dan pergaduhan di sekitar Bedong, dekat sini dua hari lalu.
Suspek terlibat ialah, K. Sukumaran, 28, atau nama panggilannya Boka Sasi; G. Thiyagu, 26, (Anaconda); Y. Thibagar, 26, (Bantha); S. Genga Naidu, 23, (Gobi atau Jollu) dan R. Prabakaran, 22, (Praba atau Sini).
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Nashir Ya berkata, lima lelaki tersebut dipercayai ahli kongsi gelap Geng 35 yang bergiat aktif di sekitar Bedong dan kejadian rusuhan itu bermula pada 31 Ogos lalu, kira-kira 10.30 malam hingga 12.30 tengah malam semalam.
Menurutnya, kejadian rusuhan dan pergaduhan melibatkan anggota Geng 35 itu berpunca daripada perselisihan faham antara mereka ketika satu upacara keagamaan pada 31 Ogos lalu di sebuah kuil Hindu di Bedong.
“Di kuil tersebut ada upacara meranduk api dan dipercayai terdapat dua kumpulan Geng 35 bergaduh kerana mabuk tetapi pergaduhan itu berjaya dileraikan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.
Nashir memberitahu, pada pukul 10.30 malam 31 Ogos lalu, sekumpulan 15 lelaki bersenjatakan parang menyerang satu kumpulan yang sedang melepak di Taman Bandar Baru, Bedong dan seorang lelaki berusia 20-an cedera parah di bahu kiri akibat ditetak.
Berikutan serangan tersebut ujarnya, satu kumpulan lelaki bertindak balas dengan membakar 11 motosikal di kawasan kelapa sawit kira-kira lima kilometer dari Taman Bandar Baru.
“Pada pukul 12.30 tengah malam semalam, 12 lelaki bermotosikal telah merusuh di sebuah rumah di Taman Emas Kelisa, Bedong dengan memecahkan tingkap dan pintu besi, mengelar leher anjing, merosakkan tiga buah motosikal dan cuba menyerang penghuni di rumah tersebut.
“Namun cubaan mereka untuk melakukan serangan gagal setelah penghuni rumah berkenaan menjerit meminta tolong dan pihak polis percaya tiga insiden ini berkaitan dengan kejadian pergaduhan yang berlaku di kuil Hindu tersebut,” jelasnya.
Tambah Nashir, dalam tempoh 24 jam selepas kejadian rusuhan itu, polis berjaya menahan 14 lelaki berusia antara 20-an hingga 30-an dan lima lagi suspek diburu kerana dipercayai terlibat dalam kejadian itu.
"Pihak polis meminta lima suspek tersebut tampil menyerah diri di balai polis berdekatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung lima lelaki ini boleh menghubungi Deputi Superintenden Wan Azaharudin Ismail di talian 019-988 0354,” katanya.
Sementara itu dalam kes berasingan, Nashir berkata, pihak polis menahan sembilan lelaki berusia 17 hingga 40-an termasuk tiga kakitangan awam kerana terlibat dalam kegiatan judi online dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Perindustrian Mergong, di sini kita-kira pukul 12.05 tengah malam tadi.
“Polis telah merampas lapan unit komputer riba, satu unit modem, tiga bil air, satu bil elektrik, wang tunai RM700 dalam serbuan tersebut,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/lima-suspek-kes-gaduh-rusuhan-diburu-polis-1.130924#sthash.MOo6DgrX.dpuf
Subscribe to:
Posts (Atom)
-
| Peranan buah dada dan puting wanita memang banyak, bukan sekadar menggoda nafsu lelaki saja, tapi buah dada sebagai bukti kalau gadis itu...
-
Khunsa, berasal dari perkataan Arab yang bererti lembut. Menurut Kamus Dewan, orang yang mempunyai dua alat kelamin. Golongan istimewa ini A...