Thursday, June 4, 2015

PAS Kembali Landasan Asal - Dewan Ulama

KUALA SELANGOR: Penguasaan kumpulan ulama dalam PAS memperlihatkan parti Islam itu kembali ke landasan perjuangannya yang asal, kata Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamad.


Menurut beliau barisan kepimpinan yang baharu dipilih ini juga bakal membuktikan bahawa PAS sememangnya tidak pernah melupakan dasar dan perjuangan  untuk menegakkan Islam.
"Kita akan kembali semula kepada original PAS. Tak akan diungkit-ungkit lagi tentang dasar Islam.

"Tak payah diungkit tentang kita nak melaksanakan hudud kerana rujukan kita adalah al-Quran," katanya ketika ditemui pemberita di Muktamar Tahunan PAS ke-61 di Stadium Tertutup Kuala Selangor di sini, Jumaat.

Mengulas lanjut Mahfodz berkata, beliau berpuas hati dengan keputusan yang hampir menepati 'cai' atau senarai pilihan Dewan Ulama PAS yang dikeluarkan sehari sebelum proses pengundian berlangsung pada Khamis.

"Keputusan itu sangat memberangsangkan dan seperti yang Dewan Ulama harapkan, itulah yang berlaku.
"Jadi bila macam yang kita harapkan, suara akan bersatu. Sebab itu saya katakan ia akan memudahkan kerja Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang)," katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Nik Mohd Zawawi Salleh senada dengan ketuanya apabila menyifatkan keputusan pemilihan PAS kali ini membuktikan bahawa akar umbi mahu supaya PAS kembali ke landasan sebenar.

"Maknanya mereka mengkehendaki supaya perjuangan PAS ini adalah perjuangan PAS untuk menegakkan Islam, untuk perjuangkan syariat Allah…itu yang kita nampak.
"InsyaAllah kita akan berganding bahu dengan semua pihak. Iaitu ulama dan profesional, saya sebenarnya tak berapa suka sebut profesional kerana ulama juga profesional," katanya.  - Mstar

Gambar Abd Rani Kulup Bersama Anaknya Membuatkan Orang Ramai Cemburu?


PM tak hadir kerana isu keselamatan

Pejabat Perdana Menteri menjelaskan bahawa Datuk Seri Najib Razak tidak menghadiri majlis dialog bersama bekas PM, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini atas faktor keselamatan.

“Hal demikian disebabkan pertimbangan isu keselamatan di lokasi. Berikutan arahan dan nasihat ketua polis negara, perdana menteri tidak dapat menghadiri program ini,” kenyataan PMO dipetik.

Polis turut menyekat Mahathir daripada berucap di majlis 'Dialog PM bersama NGO' bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra pagi ini. -Malaysiakini

Kambing bernama Wahab ini miliki selera pelik, suka makan nasi dan gula-gula

Kanak-kanak di Kampung Rantau Panjang gemar bermain dengan Wahab menjelang petang.
 
RANTAU PANJANG - Seekor kambing di Kampung Rantau Panjang kelihatan seperti kambing biasa, tetapi hakikatnya kambing yang diberi nama Wahab’itu tidak makan rumput sebaliknya lebih menggemari nasi dan gula-gula.

Penternak, Hamidah Abdullah, 60, berkata, dia memelihara Wahab sejak ibu kambing berkenaan mati dilanggar motosikal.

Menurutnya, pada mulanya dia memberi minum susu bayi kemudian selepas beberapa bulan, Wahab menggemari makanan kucing.

“Saya pun pelik kerana selepas jemu dengan makanan kucing, dia beralih kepada nasi berlauk gulai ayam dan enggan makan rumput seperti kambing lain.

“Teh sejuk pula minuman kegemarannya, malah dia gemar makan gula-gula dan aiskrim,” katanya.

Hamidah berkata, kerana terlalu sayangkan kambing itu dia enggan menjualnya walaupun diletakkan dengan harga yang tinggi.

Ini kerana katanya, setahun memelihara Wahab, umpama menjaga ahli keluarga sendiri.

Setiap petang Hamidah berkata, Wahab akan bermain bola sepak dan lumba lari bersama anak-anak jiran.

“Dia mungkin tak tahu bermain tetapi dia pandai kejar bola dan kanak-kanak yang berada di depannya, umpama mahu beradu tenaga.

“Namun dia tidak pernah menyerang atau mencederakan kanak-kanak di sini,” katanya.


Kredit: Sinar Harian

Polis halang Dr Mahathir bercakap, matikan mikrofon

Polis menghentikan Tun Dr Mahathir Mohamad daripada bercakap di forum tentang syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sepatutnya dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pagi ini.

Polis naik ke atas pentas apabila bekas perdana menteri itu mula bercakap selama 5 minit dan menggesanya untuk berhenti.

Polis kemudiannya mematikan mikrofon dan membawa Dr Mahathir meninggalkan Dewan Tun Hussein Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.


Terdahulu, Dr Mahathir kelihatan cuba berunding dengan pegawai polis itu dan memberitahu beliau dijemput dan sepatutnya dibenarkan bercakap. Tetapi pegawai polis itu mematikan mikrofon dan memadamkan video.

Keadaan menjadi kecoh dan kira-kira 1,000 hadirin mula menjerit memarahi polis dan ada naik ke atas pentas.
Dr Mahathir kemudian mengadakan sidang akhbar sebelum turun dari pentas.
Beliau dibenarkan bercakap kepada pemberita dan selepas sidang media, sepasukan polis membawanya ke keretanya sambil orang ramai menjerit:"Hidup Tun! Hidup Tun! Hidup Tun!".

Keadaan di dalam Dewan Tun Hussein Onn di PWTC pagi ini pada awalnya tegang apabila hadirin berang dan mendesak Najib hadir di majlis itu.
Penganjur Dialog PM Bersama NGO, Suka Guam terlebih dulu mengumumkan program hari ini akan diteruskan walaupun tanpa kehadiran Najib.

Katanya, Najib tidak hadir selepas polis menasihatinya atas faktor keselamatan.
Penganjur juga mengumumkan terdapat satu pergaduhan berlaku di luar dewan dan polis memaklumkan kepada mereka kekecohan akan berlaku dalam program hari ini.

Sebelum itu, SukaGuam memaklumkan pihaknya masih berunding dengan polis untuk membenarkan Najib menghadiri forum berkenaan.
Dr Mahathir tiba di PWTC seawal jam 8.50 pagi tadi untuk menghadiri dialog itu.- TMI

Mat Sabu hairan dapat jumlah undi 'pelik'

Bekas timbalan presiden Mohamad Sabu berasa hairan dengan jumlah undi yang diperolehinya yang disifatkannya sebagai "pelik" sekalipun menerima keputusan kekalahannya.

Beliau yang lebih 30 tahun bergelumang dalam PAS tewas dengan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagi merebut jawatan nombor dua dalam parti itu semalam.

Beliau mendapat 279 undi manakala Tuan Ibrahim mendapat 881 undi. Pada pemilihan sebelum ini, beliau mendapat 588 undi, Manakala Timbalan Menteri Besar Kelantan 490 undi.

Pemilihan kali ini menjadi panas apabila senarai 'chai' dikeluarkan oleh kumpulan prostatus quo kepada perwakilan sehingga memperlihatkan mereka menyapu bersih kepimpinan ketiga-tiga sayap parti sehingga Jawatankuasa PAS pusat.

"Saya menerima keputusan tetapi undi yang diterima, saya dapat (jumlah) undi pelik," kata dihubungi Malaysiakini pagi ini.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan lebih "undi pelik" yang dimaksudkan sebaliknya hanya menyatakan "kehairanan" memandangkan beliau sedang bergegas memasuki Stadium Tertutup Kuala Selangor.

Ditanya rancangannya selepas kekalahannya selepas Muktamar PAS ke-61, Mohamad yang penah ditahan ISA berkata beliau masih belum membuat apa-apa keputusan.

"Saya nak berehat sekejap," katanya ringkas.  - Malaysiakini

Pasal apa nak takut pada saya, soal Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tiada sebab untuk orang ramai takutkan beliau selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak hadir ke dialog terus terang  "Nothing to Hide" berkaitan 1MDB di Kuala Lumpur hari ini.

“Saya orang biasa saja, saya bukan bawa senjata pun. Saya bukan boleh buat apa-apa pun.

“Pasal apa orang nak takut pada saya, semua ini takut atau tidak?” katanya dalam sidang media selepas mengambil alih pentas acara itu. - Malaysiakini

Gambar Belangkas