Cerita Qubah Hijau Jadi Merah 2015.
VIRAL VIDEO PERUBAHAN WARNA MERAH PADA KUBAH HIJAU DI MASJID NABAWI
Saban hari, saban bulan, ada sahaja berita pelik yang berlaku di bumi Haramain. Media sosial yang semakin meluas. Terutamanya medium Facebook, Twitter, WhatsApp dan sebagainya. Segala berita tersebar umpama kilat. Pantas tersebar tanpa difikirkan dua kali akan kesahihannya sebelum disebarkan.
Semalam satu video telah diviralkan di laman Facebook. Dikatakan satu perkara ajaib yang berlaku atas kubah hijau Masjid Nabawi. Secara tiba-tiba, ada kemunculan warna merah di bahagian atas kubah tersebut. Semua hairan. Ajaib. Ada yang kata, kemarahan Nabi. Ada yang sebut, kemunculan Imam Mahdi. Banyak lagi andaian yang tak sahih.
Justeru, pihak kami terus mendapatkan info kesahihan berita tersebut secara direct daripada pegawai pengawal Masjid Nabawi di pintu Bab Bilal dan Bab Quba.
Ya, kita lihat apa jawapan mereka.
Sebenarnya, cahaya berwarna merah yang terdapat pada kubah hijau tersebut, berpunca daripada pantulan cahaya lampu merah yang terdapat berdekatan kubah hijau itu. Berlakunya biasan cahaya. Lampu merah tersebut sudah hampir 30 tahun tidak dinyalakan. Lampu merah itu dahulunya sering dinyalakan bertujuan sebagai tanda masuknya waktu Maghrib dan waktu berbuka puasa pada bulan Ramadhan.
Semalam, ketika video tersebut dirakamkan, lampu merah itu dinyalakan atas arahan pihak atasan Masjid Nabawi selepas solat Isyak. Ya, apabila lampu itu dipasang, ramai jemaah berkumpul di situ. Ada yang nak ambil gambar. Hairan melihat perubahan yang berlaku pada kubah hijau itu. Rasa pelik.
Konklusinya, perubahan cahaya berwarna merah pada kubah hijau tersebut hanyalah perkara biasa. Tidak ada perkaitan antara apa jua konspirasi atau keajaiban.
Maka, sebaiknya kita mengkaji dahulu apa juga berita sebelum ianya disebarkan.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
" Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu ”.
(Al Hujurat : 6)
Wallahu Ta`ala `Alam.
Danial Madinah 7/3/2015.