Permaisuri Rania menenangkan Anwar ketika kunjungan ke kediaman keluarga Kasasbeh
NASIB malang yang menimpa juruterbang Jordon, Moaz al-Kasasbeh yang dibakar hidup-hidup militan Negara Islam (IS) hanya diketahui isterinya menerusi laman Facebook apabila terbaca mesej:"Damailah kamu di sana, Moaz."
Lebih menyedihkan, pasangan Anwar Tarawneh dan Moaz itu baharu lima bulan mendirikan rumahtangga apabila suaminya dijadikan tebusan kumpulan pengganas itu.
Kisah menyayat hati ini tersebar ketika keluarga malang itu menerima lawatan pasangan diraja Jordon, Raja Abdullah II dan Permaisuri Rania di kediaman Kasasbeh di bandar selatan Karak.
Bercakap kepada The Independent pada Khamis, Tarawneh berkata, dia menyertai protes penahanan suaminya pada Selasa apabila menerima panggilang telefon ibunya.
Ketika itu, Moaz yang berusia 26 tahun sudah lima minggu menjadi tebusan selepas pesawatnya ditembak di Raqqa.
Bimbang berlaku sesuatu yang tidak diingini terhadap suaminya, dia kemudian memeriksa telefon bimbitnya.
"Hanya apabila saya melayari Facebook pada telefon, baru saya terbaca mesej itu," katanya.
Anwar juga mendedahkan keadaan suaminya yang kelihatan resah sebelum bertugas pada penerbangan terakhir itu, malahan Moaz turut berharap adanya kabus tebal yang boleh menghalangnya daripada terbang.
"Dia bagaikan dapat merasakan sesuatu buruk akan berlaku. Memang pelik kerana dia tidak pernah bercakap seperti itu sebelum ini."
Insiden itu berlaku pada 24 Disember lalu, beberapa jam sebelum jet pejuang F-16 yang dikemudi Kasasbeh ditembak militan Negara Islam dan Syria (ISIS) di wilayah yang dikuasai Syria dan seterusnya Moaz menjadi tebusan kumpulan itu.
Kumpulan pengganas itu pernah memaklumkan akan membebaskan juruterbang Jordan itu jika pihak berwajib negara itu bersetuju melepaskan pengebom berani mati wanita, Sajida al-Rishawi yang dijatuhi hukuman mati pada 2005.
Bagaimanapun, rundingan yang dijalankan serta maklumat sahih keadaan Moaz menyebabkan tiada kata putus dibuat.
Akhirnya rakaman video 22 minit menunjukkan juruterbang itu dibakar hidup-hidup ketika dalam tahanan disebarkan.
Ketika kunjungan pasangan diraja Jordon itu, Raja Abdullah memberi jaminankepada bapa Moaz, Saif al-Kasasbeh bahawa kerajaan akan menuntut bela kematian anaknya itu.
Pada Khamis, kerajaan Jordon mula melancarkan serangan ke Syria dengan memberi tumpuan kawasan yang dikuasai ISIS, termasuk pusat latihan kumpulan militan itu.
Sumber: mstar.com.my