Monday, December 22, 2014

Guru Diingat Tidak Mempermainkan Isu Lelaki Lembut - PIBGN

PETALING JAYA: Golongan pendidik diingatkan supaya bersikap terbuka dan tidak mempermainkan isu lelaki lembut yang diketengahkan menerusi novel Destinasi Impian ketika mengajar subjek Komponen Sastera (Komsas) bahasa Melayu bagi pelajar Tingkatan Satu.

Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata, setelah novel ini diberi laluan memasuki kelas, adalah menjadi tanggungjawab guru untuk melaksanakan peranannya bagi memulihkan permasalahan yang berlaku menggunakan teks yang dipilih.

"Ini adalah hakikat yang guru perlu ambil kira, selain sifat keterbukaan dan positif terhadap isu lelaki lembut.

"Tak perlulah isu ini menjadi permainan, ejekan atau pun modal untuk merendah-rendahkan martabat anak-anak yang lembut ini," katanya kepada mStar Online.

Beliau diminta mengulas laporan mStar Online mengenai pemilihan naskhah Destinasi Impian karya Mohd Ismail Sarbini akan digunakan oleh pelajar Tingkatan Satu di sekolah-sekolah di Selangor, Putrajaya, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan.

Ia mengisahkan tentang Firdaus, seorang pelajar yang sering diejek dan dipandang rendah kemampuannya sebagai seorang lelaki kerana berperwatakan lembut.

Dia merupakan satu-satunya anak lelaki dalam enam adikberadik dan sering dicabar oleh rakan dan ahli keluarganya untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan karektor dan identitinya dalam usaha untuk menjadikan dirinya seorang lelaki yang mempunyai ciri-ciri lelaki sejati.

Tambah Mohamad Ali lagi, pemilihan novel ini perlu dilihat secara positif oleh ibu bapa, guru dan masyarakat kerana tema yang diangkat tidak hanya tertumpu kepada konflik golongan lembut semata-mata tetapi juga peranan masyarakat secara keseluruhannya.

"Kita harapkan dengan pendedahan tema ini guru-guru yang mempunyai jiwa dan semangat pendidik sejati akan mempunyai ruang dan peluang untuk memahami permasalahan pelajar lembut.

"Mereka perlu memikirkan tindakan pemulihan jika perlu, baik secara individu atau kolektif," katanya.

Menurutnya, walaupun novel Komsas dengan tema ini agak asing untuk semua dan sedikit lari daripada kebiasaan, beliau mengajak semua pihak bersifat optimis dengan harapan ia mampu membuatkan masyarakat menginsafi keadaan semasa ini.

"Masyarakat tak harus memberi persepsi negatif terhadap buku yang telah dipilih dan dinilai ini.

"Lelaki lembut telah menjadi fenomena, semestinya ia dirasakan  sesuai oleh panel pemilih untuk didedahkan kepada pelajar kita," katanya.

Beliau juga percaya sokongan ibu bapa dan masyarakat serta kepercayaan terhadap bimbingan guru-guru untuk memastikan keberkesanan novel ini, akan membolehkan fenomena ini dibendung.
Mengenai kebimbangan sesetengah ibu bapa yang merasakan isu ini kurang sesuai untuk didedahkan kepada pelajar Tingkatan Satu, beliau berkata, rata-rata pelajar berusia 13 tahun sudah mencapai peringkat akil baligh yang seharusnya boleh berfikir dan menimbang antara yang baik atau buruk. - Mstar

Penjawat Awam Wanita Boleh Cuti Lima Tahun Jaga Anak

gambar hiasan
SEREMBAN: Penjawat awam wanita akan dibenarkan cuti tanpa gaji sehingga lima tahun untuk menjaga anak angkat atau anak tiri mereka dibawa satu peraturan yang berkuat kuasa bermula 1 Januari depan.
"Peraturan baharu itu adalah untuk memberikan lebih waktu ibu bersama anak walaupun mereka bukan ibu kandung kanak-kanak itu," kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zabidi Zainal.

Beliau berkata mereka yang menjaga kanak-kanak tersebut secara berterusan selama dua tahun, yang disebut sebagai 'de facto' juga layak memohon cuti tanpa gaji selama lima tahun yang boleh diambil secara berterusan atau sebahagian antara anak pertama dan anak-anak yang lain.

Manfaat tersebut, sebelum ini, hanya diberikan kepada mereka yang melahirkan anak dan berhasrat memberikan penjagaan yang lebih baik untuk bayi mereka termasuk penyusuan badan.


Di bawah peraturan yang diperkenalkan pada 2007, ibu kandung dibenarkan untuk mengambil cuti tanpa gaji selepas menamatkan cuti bersalin dengan gaji selama 90 hari.

Mereka yang mengambil anak angkat atau menjaga kanak-kanak lain sepenuh masa tidak layak menerima manfaat itu.

Mohamad Zabidi berkata tanpa mengira bilangan anak yang perlu mereka jaga, manfaat tersebut tidak akan dilanjutkan melebihi lima tahun bagi golongan tersebut.

Ini bermaksud, sekiranya kakitangan mengambil cuti tanpa gaji selama lima tahun secara berterusan untuk anak pertama, dia tidak lagi mendapat manfaat ini untuk anak-anaknya yang lain.

Sekiranya ibu memilih untuk hanya menggunakan tempoh dua tahun daripada lima tahun yang diberikan untuk anak pertamanya, wanita tersebut mempunyai baki tiga tahun lagi untuk digunakan terhadap anak-anak yang lain pada masa hadapan.

"Tempoh yang digunakan oleh mereka untuk cuti tanpa gaji tidak akan diambil kira apabila kami mengira faedah persaraan mereka," kata Mohamad Zabidi.

Namun, beliau mengingatkan bahawa mereka yang memohon untuk mendapatkan cuti tanpa gaji mungkin kehilangan senioriti mereka.

Katanya, jika mereka memenuhi kriteria yang sepatutnya, mereka masih boleh dipertimbangkan untuk dinaikkan pangkat.

Mohamad Zabidi berkata ketua jabatan diberi kuasa untuk memanggil mana-mana pekerja yang sedang bercuti tanpa gaji.

"Jika keadaan terdesak, mana-mana pekerja boleh diminta untuk kembali bekerja," katanya. - Mstar

Sunday, December 21, 2014

Mana komputer yang dijanjikan untuk cikgu?

Kalau tak buat janji, orang tak akan minta. Tapi janji dah dilafazkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Ahmad Shabery Chik untuk memberi setiap guru sebuah Netbook 1Malaysia pada 16 Mei lepas sempena sambutan Hari Guru.

Malangnya setelah tujuh bulan berlalu, berita tentang janji yang dilafazkan itu terus senyap tanpa ada sebarang perkembangan.


"Saya masih ingat lagi beliau menyebut sebagai permulaan, kira-kira 400,000 guru akan menerima komputer tersebut.

"Pemberian tersebut kata Ahmad Shabery adalah sebagai hadiah kepada guru yang dianggap sebagai tonggak kemajuan negara.

"Persoalannya, bila komputer yang dijanjikan itu akan sampai ke pangkuan kami? Kalau tak janji, kami pun tidak akan bertanya, apa lagi untuk menuntut," kata seorang guru sekolah rendah, Mohamad Azian Abdul Aziz.

Jelasnya, soal mampu atau tidak untuk membeli sebuah komputer bukan menjadi persoalan dan tidak perlu dibangkitkan tetapi apa yang dituntut adalah janji yang dibuat wajar dilaksanakan.

"Memang boleh dikatakan semua guru kini memiliki komputer sendiri kerana ia merupakan satu keperluan dalam urusan kerja harian.

"Namun itu bukan alasan untuk memungkiri janji yang telah dibuat oleh menteri terbabit," ujarnya.

Tambah Mohamad Azian lagi, apa juga perkembangan mengenai janji yang dibuat perlu dimaklumkan agar ia tidak terus menjadi bahan perbualan sesama guru. - MalaysiaGazette

Haron Din kata tahaluf siyasi dengan DAP sudah koyak, lapor Utusan

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din berkata jika DAP atau Lim Guan Eng terus mempertikai hukum hudud, parti tersebut bebas untuk memilih jalan sendiri. – Gambar fail
Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din berkata tindakan DAP yang berterusan mempertikaikan hudud mengoyakkan kertas "tahaluf siyasi" antara PAS dengan komponen Pakatan Rakyat (PR), DAP kerana bagi beliau hudud adalah “nyawa” PAS, lapor Utusan Online hari ini.

Malah lapor Utusan, Haron berkata jika DAP ataupun Lim Guan Eng tidak selesa dengan perjuangan PAS itu, setiausaha agung DAP tersebut boleh mencari “keselesaan” lain dengan jalannya sendiri.

Justeru, tegas tokoh ulama PAS itu, jika DAP atau Guan Eng berterusan mempertikai hukum hudud, parti tersebutlah sebenarnya bertanggungjawab merosakkan “kertas” tahaluf siyasi yang dipersetujui pakatan pembangkang sejak 2008, lapor media Umno itu lagi.

“PAS tidak terbelenggu dengan komen lawan mahupun kawan. Hudud adalah nyawa PAS dan ini perjuangan asas yang tidak pernah lekang. Jika Guan Eng berasa tidak selesa, maka carilah jalannya sendiri untuk keselesaan kerana hudud tetap diteruskan (di Kelantan).

“Apa yang dibuat DAP hanya mencacat dan mencarik robek tahaluf. Kalau terus menerus demikian, maka DAP yang mengoyak kertas tahaluf kerana PAS tidak pernah mempertikai asas perjuangan DAP,” katanya sebagaimana dilaporkan akhbar itu.

Kerajaan negeri Kelantan yang dipimpin PAS akan mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 29 Disember ini bagi meminda Enakmen Jenayah Syariah II (Hukum Hudud) bagi membolehkan ia dilaksanakan di negeri itu.

Pada masa yang sama, DAP terus mengkritik PAS dan menyifatkan hudud bakal melambatkan PR ke Putrajaya.

PKR pula akan mengadakan mesyuarat hari ini bagi membincangkan isu ini.
Guan Eng pula menyifatkan, komitmen sekutu DAP itu untuk tetap melaksanakan hudud di Kelantan adalah penghinaan kepada PR selain mendakwa langkah berkenaan bertentangan dengan konsensus pakatan.

Kenyataan tersebut dibuat ketua menteri Pulau Pinang berkenaan tidak sampai seminggu selepas beliau mendesak pakatan pembangkang memuktamadkan pendirian untuk menolak hudud ketika merasmikan Persidangan Kebangsaan DAP kononnya demi aspirasi pengundi.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mengalu-alukan DAP keluar pakatan sekiranya tidak yakin dapat memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14, jika hukum hudud dilaksanakan di Kelantan.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam satu laporan media menyebut, isu hudud sudah lama diputuskan oleh PAS sebelum wujudnya PR. - TMI

Pusat beli belah terbesar di Minnesota ditutup

Ribuan penunjuk perasaan berkumpul walaupun terdapat amaran mereka akan ditahan menerusi skrin digital di pusat beli belah itu.
MINNESOTA - AMERIKA SYARIKAT. Sebuah pusat beli belah terbesar di Minnesota, Amerika Syarikat ditutup selepas ribuan penunjuk perasaan berkumpul bagi membantah keganasan polis dan diskriminasi kaum.

Menurut AFP, menerusi laman sosial Facebook pusat beli belah Mall of America itu, kira-kira 3,000 penunjuk perasaan berhimpun di dalam bangunan tersebut sambil melaungkan 'Black Lives Matter'.


"Untuk keselamatan pengunjung dan penyewa kedai, pusat ini ditutup buat sementara waktu dan anggota keselamatan kini sedang berusaha menyuraikan penunjuk perasaan," menurut pusat beli belah tersebut dalam satu kenyataan.

Difahamkan, kematian seorang remaja kulit hitam Michael Brown di Ferguson, Missouri Ogos lalu akibat ditembak pegawai polis menimbulkan kemarahan banyak pihak terutamanya orang kulit hitam. - Sinar Harian

TANAH PERKUBURAN SEJUTA MUMIA DI TEMUI DI MESIR!!


Satu tanah perkuburan mengandungi lebih sejuta mumia ditemui di tengah Mesir, menurut arkeologi.Setakat ini saintis sudah mengeluarkan lebih 1,700 mumia yang dalam keadaan baik kerana dilindungi cuaca gurun yang panas dan kering di wilayah Faiyun, kira-kira 96 kilometer ke selatan Kaherah.


Bagaimanapun, pakar percaya mungkin ada sehingga sejuta lagi mumia seumpama itu tertanam dalam batu kapur yang sedalam 22.9 meter.

Mumia itu dipercayai ditanam di situ 1,500 tahun lalu antara kurun pertama dan ketujuh Masihi ketika Mesir dijajah Empayar Rom serta Byzantine.

Bagaimanapun mumia berkenaan dipercayai orang awam kerana ditanam di dalam kubur besar-besaran tanpa barangan peribadi atau keranda, berbeza dengan golongan bangsawan atau orang penting yang disemadikan di dalam piramid atau makam.

Satu lagi perbezaan, organ dalaman mumia ini juga tidak dibuang.

Mumia ditemui itu mengelirukan pakar kerana pekan yang mungkin pernah terletak di situ terlalu kecil manakala bandar terdekat, Philadelphia-yang dinamakan sempena Raja Ptolemy II-mempunyai tanah kuburnya sendiri.

Ada juga antara mumia berkenaan yang pelik, termasuk satu dipercayai lelaki setinggi lebih 2.13 meter, malah ada juga yang dikebumi di lokasi tertentu berdasarkan warna rambut mereka.

Pengarah projek, Profesor Kerry Muhlestein dari Universiti Brigham Young berkata, satu lagi ciri pelik mumia berkenaan ialah gigi mereka hampir semua elok.

Mumia seorang budak dipercayai perempuan berusia 18 bulan juga ditemui masih memakai gelang pada lengannya.

"Mumia ini dibalut elok dan mereka cuba melakukan proses mumia lengkap kerana organ seperti otak dan lidahnya diawet elok. Nyata dia amat disayangi keluarganya," kata Muhlestein.

Saturday, December 20, 2014

KUIL ZAMAN KUNO MASIH UTUH TERGANTUNG


Kuil Xuan Kong Si yang terletak di kaki gunung Heng, Shanxi, China pasti menarik perhatian sesiapa sahaja kerana berbeza daripada kuil-kuil biasa yang dibina di tempat yang strategik serta mudah dilihat dan dikunjungi semua orang.


Kuil itu dibina tergantung di sisi sebuah tebing curam kira-kira 1,500 tahun lalu dan oleh sebab itu, penduduk setempat menggelarnya sebagai Kuil Tergantung.

Tempat suci bagi penganut agama Buddha ini dibina di atas tebing setinggi 75 meter dan disebabkan lokasinya yang ekstrem, kuil itu menjadi salah satu tempat pelancongan kegemaran masyarakat tempatan dan luar negara.

Untuk menjejakkan kaki ke kuil itu sahaja, pengunjung perlu menaiki beberapa jambatan dan terdapat 40 buah kuil yang tergantung di tebing curam.

Tujuan kuil itu dibina di lokasi seperti itu bagi mengelakkan banjir yang sering melanda daerah Shanxi. Kuil itu dibina melekat pada tebing dengan beberapa kayu penahan yang kelihatan memanjang ke bawah bagi menyokong strukturnya.

Selain itu, kuil itu juga boleh menjadi tempat perlindungan daripada hujan, cahaya matahari dan salji.

Lebih daripada 80 patung-bersejarah, peti kuno yang diperbuat daripada tanah liat, ukiran batu dari zaman dinasti yang berbeza-beza masih dikekalkan sehingga kini.

KUIL Tergantung menjadi salah satu tempat pelancongan kegemaran masyarakat tempatan dan luar negara.

Gambar Belangkas