Thursday, November 13, 2014

Disney Tampil Selamatkan Krisis Ekonomi Paris Disneyland

PARIS: Euro Disney, pengendali Paris Disneyland yang merupakan salah satu tarikan utama di Eropah, pada Isnin mengumumkan ia menerima pakej pembiayaan semula berjumlah satu bilion euro (RM4.1 bilion) bagi menangani krisis selepas berhadapan dengan penurunan mendadak dalam bilangan pengunjung.

Pelan kewangan itu didedahkan dalam satu mesyuarat krisis pada awal Isnin sebelum pasaran saham dibuka, turut melibatkan suntikan wang berjumlah 420 juta euro (RM1.7 bilion) oleh syarikat induk Disyney di Amerika Syarikat (AS) dan penukaran hutang 600 juta euro (RM2.5 bilion) kepada Disney sebagai ekuiti.

Presiden Euro Disney, Tom Wolber menyatakan bahawa punca krisis disebabkan oleh persekitaran ekonomi yang sukar di Eropah.

"Paris Disneyland merupakan destinasi pelancongan nombor satu di Eropah, tetapi cabaran ekonomi yang sedang berlaku di Eropah dan beban hutang kita telah mengakibatkan penyusutan dalam perolehan dan kecairan kewangan dalam operasi," katanya dalam satu kenyataan.

Wolber berkata, pelan kecemasan itu adalah penting untuk memperbaiki keadaan kewangan dan membolehkan syarikat itu terus melakukan pelaburan di resort itu yang menambahbaik pengalaman yang menarik buat para pengunjung.

Paris Disneyland dibuka pada 1992 di timur pinggir Paris. - mStar Online

Sejarah Baru Tercipta Manusia Mendaratkan Modul Dipermukaan Komet

DARMSTADT (Jerman): Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA) mencatatkan satu sejarah baru kemanusiaan apabila berjaya mendaratkan robot angkasa yang dinamakan Philae di atas permukaan Komet 67P/Churyumov-Gerasimenko yang dipercayai berusia 4.5 bilion tahun pada lewat Rabu.

Ia adalah kejayaan yang pertama seumpamanya. Belum pernah sebuah modul buatan manusia mendarat di atas mana-mana permukaan komet.

Komet adalah objek yang berterbangan di ruang angkasa yang mengembara mengelilingi matahari dan merupakan serpihan daripada saki baki pembentukan planet di dalam Sistem Suria kita.

Sistem Suria kita mempunyai 8 planet.

Philae dilancarkan dari sebuah kapal angkasa kecil tanpa manusia bernama  Rosetta yang telah mengembara sejauh 6.4 bilion kilometer di ruang angkasa selama 10 tahun mengejar Komet 67P/Churyumov-Gerasimenko dalam misi bersejarah ini. Rosetta dilancarkan pada Mac 2004.

Kos melancarkan misi ini bernilai £1 bilion (RM5.24 bilion).

Selepas 10 tahun di ruang angkasa Rosetta berjaya menghampiri Komet 67P/Churyumov-Gerasimenko pada jarak 100 kilometer pada 6 Ogos lalu. Sejak itu Rosetta mengobit komet berkenaan.

Komet 67P/Churyumov-Gerasimenko bergerak pada kelajuan 55,000km/jam (atau 15km sesaat) dan ia kini berada pada jarak 510 juta kilometer dari Bumi.

Ia dijadualkan berada paling hampir dengan matahari menjelang Ogos tahun depan. Pada waktu ini permukaannya akan menjadi tersangat panas dan mencairkan debu ais yang menutupi permukaannya.

Fakta Mengenai Komet 67P/Churyumov-Gerasimenko:

1. Pertama kali ditemui pada 1969 oleh dua orang ahli kaji bintang Klim Churyumov dan Svetlana Gerasimenko.
2. Komet ini mengelilingi matahari dan membuat satu pusingan lengkap setiap 6.5 tahun.
3. Mengembara antara orbit Planet Jupiter dan Bumi.
4.  Mempunyai kelebaran seluas 4km.
5. Mempunyai rupabentuk seperti seekor itik plastik.
6. Suhu permukaan sekitar -70 darjah Selsius.
7. Kandungan komet ini terdiri daripada batu, debu dan ais.
8. Membuat putaran lengkap setiap 12.4 jam.
9. Kepadatannya sekitar 10 bilion tan.

Pada Rabu, 12 November Rosetta menghampiri komet tersebut pada jarak 1km dan melepaskan Philae yang hanya bersaiz sebuah peti sejuk.

Philae mengambil masa tujuh jam untuk mendarat.

Sebaik sahaja ia menghampiri permukaan komet, Philae menembak dua bilah lembing besar atau harpoon yang berfungsi sebagai sauh untuk memastikan ia tidak kembali terapung memandangkan daya graviti yang lemah di atas permukaan komet tersebut.

Malangnya laporan terbaru yang diterima oleh ESA bagaimanapun menunjukkan tembakan harpoon itu tidak berjaya sepenuhnya.

ESA masih menunggu isyarat daripada Rosetta mengenai nasib Philae pada masa berita ini dimuat naikkan.

Pengurus Pendaratan Philae di ESA, Dr Stephan Ulamec dipetik oleh BBC sebagai berkata: "Ada kemungkinan robot Philae tidak mendarat sekali tetapi dua kali kerana selepas harpoon yang bertindak sebagai sauh gagal berfungsi dengan sempurna Philae melambung ke ruang angkasa sekali lagi sebelum kembali mendarat atas tarikan gaya graviti."

ESA yakin Philae berada dalam keadaan stabil berdasarkan isyarat yang ia hantar ke kapal angkasa Rosetta buat masa ini.

Ketua Pengarah ESA, Jean-Jacques Dordain menyifatkan kejayaan mereka mendaratkan modul di atas permukaan komet itu sebagai satu kejayaan besar dan bersejarah dalam ketamadunan manusia.

Ini kerana buat pertama kalinya manusia dapat mengkaji secara langsung usia pembentukan Sistem Suria yang selama ini dianggarkan berusia 4.5 bilion tahun.

Planet yang terbentuk di sekeliling matahari telah melalui pelbagai proses kematangan dan perubahan fizikal sejak kewujudannya tetapi komet yang bertaburan dan berjumlah berbilion buah itu di ruang angkasa dipercayai kekal dalam bentuk asalnya sebaik sahaja Sistem Suria terbentuk.

Sebab itulah ia dianggap sangat penting untuk kajian bagi mengenalpasti berapakah usia Sistem Suria kita dalam Galaksi Bima Sakti.

Saintis juga selama ini percaya kepada teori yang kewujudan air di atas permukaan Bumi sebenarnya berasal dari serpihan komet. Ini kerana komet membawa bersama-samanya kandungan ais yang banyak disebabkan pengembaraannya yang jauh dari matahari di dalam Sistem Suria dan ais itu mula mencair menjadi air ketika ia menghampiri matahari.

Jika salah satu daripada berbilion buah komet yang terdapat di ruang angkasa terhempas di atas permukaan Bumi berbilion tahun dahulu, sudah pastinya ia akan membawa bersama-samanya kandungan ais yang banyak sekaligus membentuk lautan kecil.

Bersama air, datang kehidupan yang lain.

Jika segalanya berjalan lancar dan tidak mengalami sebarang kerosakan besar, Philae dijadualkan untuk terus berfungsi selama setahun di permukaan Komet 67P/Churyumov-Gerasimenko.

Ujiannya yang terbesar ialah sejauh manakah ia mampu bertahan pada suhu permukaan melebihi 500 darjah Selsius sebaik sahaja komet ini menghampiri matahari pada jarak yang paling dekat menjelang Ogos 2015. - mStar Online

Kapal angkasa Rosetta mengambil selfie dengan berlatarbelakangkan Komet 67P/Churyumov-Gerasimenko ketika ia menghampiri komet itu sejurus sebelum melancarkan robot kecil bersaiz sebuah peti sejuk ke permukaan komet. Inilah pertama kalinya manusia berjaya mendaratkan sebuah modul di atas permukaan sebuah komet yang bergerak pada kelajuan 15km sesaat di angkasa lepas.

Philae mendarat di permukaan komet berkeluasan 4 kilometer.

Keadaan permukaan komet yang berjaya dirakamkan semasa pendaratan Philae.

13 wanita maut selepas doktor guna alatan bedah kotor

NEW DELHI: Seorang doktor yang melakukan lebih 50,000 pembedahan pemandulan ditahan kerana didakwa menyebabkan kematian akibat cuai.

Doktor yang pernah menerima anugerah kira-kira 10 tahun lalu itu didakwa menyebabkan kematian pesakitnya kerana menggunakan peralatan kotor dan berkarat.

Pembedahan berkenaan dilakukan dalam bilik kotor di hospital swasta yang tidak digunakan di perkampungan Pandari, wilayah Chhattisgarh.

Baru-baru ini, Dr R K Gupta dikatakan melakukan pembedahan pemandulan 83 wanita dalam tempoh kurang tiga jam sehingga mengakibatkan beberapa kematian.

Sekurang-kurangnya 14 wanita maut setakat ini, manakala puluhan lain masih mendapat rawatan, termasuk dalam keadaan  kritikal.

Bagaimanapun, doktor itu menafikan dia cuai dan kerajaan yang patut bertanggungjawab atas kejadian itu kerana peralatan dan ubat dibekalkan kerajaan untuk prosedur berkenaan adalah punca tragedi itu.

Malahan, dia juga membidas kerajaan supaya mengawal jumlah pesakit yang datang ke ‘kem’ perancang keluarga yang dikendalikannya.

“Pentadbiran kerajaan sepatutnya menetapkan bilangan wanita yang boleh melalui prosedur ini.

“Jika mereka beri saya 83 orang, saya perlu melakukan pembedahan ke atas mereka dan saya pasti dicemuh jika menolak,” katanya.

Doktor itu juga mendakwa pekerja kesihatan memberi antibiotik dan ubat penahan sakit kepada semua pesakit selepas pembedahan. - Reuters



Kondom bukan pencegah kehamilan yang berkesan

Saya baharu berumah tangga dan kami merancang untuk tidak mempunyai anak bagi tempoh dua tahun akan datang. Bukan kerana tidak suka, tetapi kami ingin menikmati kehidupan sebagai suami isteri sepuas-puasnya. Apakah kaedah terbaik untuk mencegah kehamilan dengan tidak mengambil pil pencegah kehamilan dan memakai kondom?

Puan R, Kedah

Jawapan

Fakta menunjukkan amalan merancang keluarga kini menjadi perkara biasa bagi kalangan pasangan lelaki dan wanita yang berkahwin khususnya di bandar. Buat pengetahuan anda, tiada kaedah merancang keluarga yang boleh dikatakan ‘ideal’, dan tiada kaedah merancang yang 100 peratus berkesan. Namun, beberapa kaedah boleh dicadangkan kerana memberi kesan tinggi menghalang kehamilan, dengan syarat kaedah ini diamalkan dengan baik seperti kaedah mengambil pil hormon dan suntikan hormon. Sama juga dengan kaedah kondom. Jika tidak digunakan dengan baik, ia boleh terlucut. Ada juga kemungkinan bocor atau koyak, sekali gus mendedahkan pasangan wanita kepada kehamilan jika perkara ini berlaku.

Bagaimanapun, ada sesetengah kaedah yang tidak boleh diamalkan jika belum mendapat anak seperti meletakkan alat mencegah kehamilan di dalam rahim.

Sehubungan itu, jika kita fikir dan berasa tidak selamat atau sangsi dengan semua kaedah merancang keluarga yang disebut di atas, tiada kaedah lain untuk membantu selain cara semula jadi. Kaedah ini boleh dilakukan dengan merancang hubungan kelamin ketika telur sudah keluar. Ia dikenali sebagai kaedah semula jadi. Pun begitu, perlu diingatkan yang ia juga hanya berkesan jika kitaran haid wanita itu tetap dan tepat.

Sehubungan itu, kaedah ini tidak disyorkan kepada mereka, terutama melihat keberkesanan untuk mengelak kehamilan ialah 50 hingga 70 peratus walaupun diamalkan dengan baik. Ini disebabkan telur (ovum) berkemungkinan boleh keluar cepat atau lewat. Ada juga sperma (benih lelaki) yang boleh tahan lama dalam salur fallopio wanita dan ini boleh menyebabkan wanita itu hamil. Saya syorkan pil perancang yang kini ada pelbagai formula yang mungkin sesuai untuk wanita yang ingin merancang keluarga secara berkesan. Pil terkini kurang kesan sampingan dan selamat jika dibandingkan dengan pil dahulu. Bagi yang masih berasa was-was, saya syorkan anda kunjungi klinik merancang keluarga terdekat untuk maklumat dan keterangan lanjut.

Luis Suarez mohon maaf isu gigit bahu Chiellini

PENYERANG Uruguay, Luis Suarez akhirnya memohon maaf kerana menggigit pemain pertahanan Itali, Giorgio Chiellini minggu lalu.

Gara-gara kelakuan tersebut, Suarez digantung sembilan perlawanan dan dilarang terlibat dalam sebarang aktiviti bola sepak selama empat bulan dan dia berjanji insiden seperti itu tidak akan berlaku lagi.

"Sebenarnya kawan saya Giorgio Chiellini menderita secara fizikal selepas saya menggigitnya," jelas Suarez di laman Twitternya

"Saya sesungguhnya sangat menyesal. Saya minta maaf kepada Giorgio Chiellini dan seluruh keluarga bola sepak. 

"Saya berjanji kepada semua orang yang perkara seperti ini tidak akan berlaku lagi".

Sejurus selepas itu, Chiellini membalas tweet Suarez: "Semuanya sudah dilupakan. Saya harap FIFA akan mengurangkan denda kamu." 

Insiden ini merupakan yang ketiga oleh Suarez selepas menggigit pemain PSV Otman Bakkal (2010) dan pemain pertahanan Chelsea Branislav Ivanovic 2013.

Hukuman ini dijangka akan berakhir pada 1 November apabila Liverpool akan bertemu Newcastle pada aksi kelab Liga Perdana Inggeris.

Sementara itu Persatuan Bola Sepak Uruguay (AUF) dilaporkan akan membuat rayuan terhadap hukuman Suarez ini.

Mereka mempunyai tempoh sehingga Ahad ini untuk menghantar rayuan tersebut kepada FIFA.




Masalah senggugut yang teruk boleh jejaskan kesuburan

Soalan: Saya mengalami masalah senggugut yang teruk. Saya ada terdengar mereka yang mengalami masalah ini akan sukar hamil kelak. Saya rungsing jika perkara ini benar. Mohon doktor perjelaskan? - Ramlah, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Kesakitan semasa haid atau senggugut ialah satu gejala biasa dialami seseorang wanita. Kesakitan ini disebabkan oleh penguncupan dinding rahim yang amat kuat.

Proses ini bertujuan bagi mengeluarkan ketulan darah haid yang bercampur dengan sedikit tisu daripada selaput endometrium (dinding rahim).

Darah ini perlu dikeluarkan melalui saluran pangkal rahim (serviks). Kebiasaannya, pangkal rahim yang dimiliki oleh seorang gadis remaja masih sempit. Senggugut sering menyerang seorang wanita pada hari pertama dan kedua haid. Masalah akibat senggugut bukan sekadar kesakitan teruk ketika haid, tetapi petanda penting supaya semua wanita yang mengalami masalah ini menjalani pemeriksaan awal bagi mengesan kewujudan masalah endometriosis.

Terdapat dua jenis senggugut, iaitu senggugut primer dan senggugut sekunder. Senggugut primer disebabkan oleh pengeluaran prostaglandin (sejenis bahan kimia dalam darah) yang menyebabkan penguncupan dinding rahim yang kuat. Manakala senggugut sekunder pula mungkin disebabkan oleh masalah endometriosis. Endometriosis pula merujuk kepada keadaan lapisan tisu yang melitupi bahagian di dalam rahim didapati tumbuh di luar rahim atau kawasan lain pada sekitar sistem reproduksi wanita.

Walaupun punca sebenar endometriosis kekal tidak diketahui, ada teori yang mengatakan disebabkan pendarahan haid yang berundur atau menyongsang (retrograde menstruation) ke dalam pelvis, aras hormon estrogen yang berlebihan, tisu endometriosis juga boleh merebak melalui salur darah dan tumbuh di tempat-tempat yang jauh dari rahim seperti di dalam paru-paru atau otak dan juga teori metaplasia.

Bagi mengetahui punca sebenar, sebaik-baiknya anda perlu diperiksa oleh doktor pakar sakit puan. Selain daripada ujian imbasan ultrabunyi (ultrasound) untuk melihat jika ada sista (pembengkakan ovari), ujian laparoskopi juga boleh dilakukan untuk memastikan sama ada disebabkan endometriosis dan untuk melihat jika terdapat pelekatan dan penyumbatan pada salur fallopio. Jika diagnosis yang dibuat doktor ialah endometriosis, ubat-ubat tertentu boleh digunakan untuk mengubati keadaan ini dan cara terbaik ialah jika wanita tersebut cepat hamil.

Sebab-sebab lain senggugut ialah jangkitan pada bahagian pelvik (pelvic inflammatory disease) dan juga boleh disebabkan masalah fibroid. Anda perlu menjalani pemeriksaan yang teliti supaya penyakit ini tidak melarat.

Namun, terdapat sebilangan kecil daripada mereka yang akan menghadapi masalah ketidaksuburan dan mudah mengalami keguguran sekiranya senggugut berlaku secara berterusan. Mereka ini berkemungkinan besar menghidap penyakit ‘endometriosis’ iaitu sejenis penyakit yang sering dikaitkan dengan masalah kesuburan.

Penyelaras Unit Perkembangan Kesihatan Wanita (Pakar Obstetrik & Ginekologi)
Pusat Pengajian Sains Perubatan Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan.

Kunyit penyembuh semulajadi pelbagai penyakit

Kunyit atau dikenali sebagai curcumin merupakan sejenis rempah yang digunakan dalam masakan. Menariknya, bahan masakan ini juga dikenali sebagai salah satu penyembuh semula jadi paling mujarab.

Kegunaan kunyit telah bermula selama 2,500 tahun dahulu. Rempah tersebut dengan perlahan telah memperlihatkan sifat perubatan sejak berabad lamanya.

Sejak kebelakangan ini, kunyit mulai mendapat tumpuan ramai kerana keupayaannya dalam pencegahan banyak penyakit. Penyelidikan menunjukkan curcuminoid (komponen aktif dalam kunyit ) boleh digunakan untuk mencegah pelbagai jenis penyakit seperti kanser kolorektum, Alzheimer, arthritis dan gangguan kulit.

Kajian menunjukkan curcuminoid mempunyai sifat anti oksida, anti radang dan menurunkan takat kolestrol. Ia merupakan sejenis perencat COX-2 semula jadi bagi melegakan kesakitan dan juga adalah agen anti kanser. Para saintis juga mencatatkan curcuminoid menyokong metabolisme gula darah yang sihat dan memberikan harapan untuk melawan diabetis.

Dalam 688 kajian, lebih daripada 400 yang telah dikemukakan mengesahkan sifat anti karsinogenik, anti-radang dan anti oksida yang menakjubkan pada kunyit. Institut Kesihatan Nasional Amerika Syarikat mempunyai empat ujian klinikal untuk menguji tindakan curcuminoid terhadap kanser kolorektum, pankreas, mieloma berganda dan Alzheimer.

Menurut pengkaji herba dari Universiti Oxford, Prof. Gerard Bodeker berkata, kunyit merupakan salah satu daripada bahan penyembuh penyakit terbaik di dunia dan telah lama digunakan secara meluas terutamanya di Asia.

“Kunyit mempunyai pelbagai khasiat kepada tubuh badan manusia antaranya termasuklah asma, kekejangan, darah tinggi, sesak nafas, hidung berair, batuk, resdung, gangguan hati, tiada selera makan, sakit sendi, kencing manis dan luka.

“Selain itu, kunyit juga berfungsi sebagai bahan aktif utama yang mampu menguatkan sistem imunisasi atau pertahanan badan daripada serangan penyakit," katanya yang juga penulis buku bertajuk Health and Beauty from The Rainforest.

Tambah beliau, hasil kajian yang dilakukan oleh sebuah universiti terkemuka di Barat menunjukkan penduduk India mempunyai sistem pertahanan badan yang lebih baik berbanding penduduk di Amerika Syarikat.

Ini disebabkan pengambilan kunyit dalam masakan seharian masyarakat India.

Dalam kajian ke atas pesakit artritis di Eropah, pakar perubatan mendapati khasiat curcumin boleh dibandingkan dengan ubat tahan sakit moden seperti phenylbutazone.

Malah, didapati penghidap artritis merasakan kurang sakit pada waktu pagi, mampu berjalan dengan lebih lama dan bengkak berkurangan.

Tambah Prof. Gerard, kunyit membantu dalam peneutralan radikal bebas ini dengan mencegah kesan pemusnahan pada tahap lebih awal yang menjadi punca penyakit Alzheimer.

Alzheimer merupakan sejenis gangguan otak yang teruk mempengaruhi keupayaan seorang untuk melakukan aktiviti seharian melibatkan bahagian otak yang mengawal pemikiran, ingatan dan bahasa.

“Hasil ujian klinikal menunjukkan bahawa kunyit mempunyai kandungan bisdemethoxycurcumin, demethoxycurcumin dan curcumin.

“Cantuman ketiga-tiga komponen ini membentuk curcuminoids atau curcuminoid yang mampu menjadi agen semula jadi untuk memperlahankan perkembangan Alzheimer," katanya.

Pun begitu, masyarakat hari ini terlupa bahawa kunyit banyak digunakan dalam perubatan tradisional Melayu.

Ini termasuk menghilangkan gatal-gatal, kesihatan dalaman wanita, herba untuk wanita selepas bersalin.

Oleh itu, kunyit bukan hanya dilihat berfungsi sebagai herba tradisional atau bahan masakan, sebaliknya mempunyai potensi untuk dimajukan sebagai penawar pelbagai penyakit.

Gambar Belangkas