AMSTERDAM: Lionel Messi menyamai rekod penjaring terbanyak dalam sejarah Liga Juara-Juara yang dipegang pemain legenda Real Madrid, Raul Gonzales dengan 71 gol selepas menjaringkan dua gol dalam kemenangan 2-0 Barcelona menentang Ajax awal pagi Khamis.
Pemain dari Argentina itu meletakkan Barca di depan, sembilan minit sebelum berakhirnya babak pertama dan kemudian menyamai rekod jumlah jaringan Raul, 15 minit sebelum tamat permainan, dalam penampilannya yang ke-90.
Messi kini mendahului pesaingnya dari Real Madrid, Cristiano Ronaldo dengan satu gol selepas dia gagal menyamai rekod Raul dalam perlawanan menentang Liverpool pada Selasa.
Kemenangan itu memastikan 16 tempat terakhir untuk Barca, tetapi kekal satu mata di belakang juara Perancis, Paris Saint-Germain dalam pertempuran untuk tempat pertama dalam Kumpulan F.
"Perkara yang paling penting adalah layak dan terus berjuang untuk matlamat kami iaitu menang peringkat kumpulan dan oleh itu kita perlu terus bersaing dengan PSG," kata Messi.
"Kami bermain menentang pasukan yang baik yang gemar menggerakkan bola dari sisi ke sisi dan ia adalah sukar bagi kami untuk memberi tekanan dan bermain dengan cara yang kami mahu, tetapi kami telah mengambil peluang."
Raul mengambil masa yang lebih lama berbanding Messi untuk mencipta rekod 71 gol yang dicipta melalui 142 permainan untuk Madrid dan Schalke.
Messi juga hampir menjadi menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam sejarah La Liga kerana dia hanya kekurangan satu gol untuk menyamai rekod 251 gol yang dipegang Telmo Zarra sejak tahun 1955.
'Pemain Terbaik Dunia of The Year' selama empat kali ini membuat penampilan pertama Liga Juara-Juara menentang Udinese pada tahun 2004 dan telah memenangi Liga Juara-Juara tiga kali dengan Barca pada 2005-2006, 2008-2009 dan 2010-2011. - mStar Online