NAZA Quest Sdn Bhd pengeluar rasmi Chevrolet di Malaysia memperkenalkan varian terbaharu, Chevrolet Malibu LTZ eksekutif sedan.
Dilahirkan dengan enjin 2.4 liter Ecotec DCVCP (Dual Continuous Variable Cam Phasing) yang mampu memacu kuasa maksimum sehingga 165hp pada 5,800rpm dan tork 225Nm pada 4,600rpm.
Enjin Ecotec ini turut dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan bersama mod manual bagi memberikan penukaran gear yang lebih lancar.
Model terbaharu ini dianggap rekaan lebih moden dengan gabungan sedan sporty yang kelihatan lebih mantap.
Penggunaan casis dengan kombinasi suspensi yang terdiri daripada topang MacPherson di bahagian hadapan dan multi-link untuk belakang, pastinya memberikan pengendalian yang lebih responsif.
Tambahan pula ia turut ditampilkan dengan sesendal hidraulik bagi mengekalkan pemanduan yang lebih lancar dan senyap. Chevrolet Malibu LTZ bersaiz 4,865mm panjang dan 1,855mm lebar.
Untuk bahagian hadapannya, ia dipadankan dengan lampu utama HID dan gril berwarna hitam dengan lingkaran krom. Manakala bahagian bahagian belakangnya juga kelihatan elegan dengan penampilan lampu belakang LED.
Ruang Dalaman
Pada bahagian tengah papan pemukanya, ia menempatkan skrin sesentuh bersaiz tujuh inci yang berfungsi sebagai sistem hiburan MyLink serta sebagai paparan kamera undur.
Bagi hiburan yang lebih memuaskan, enam pembesar suara turut diletakkan di segenap bahagian kabin.
Ia juga dilengkapi dengan kawalan penghawa dingin automatik zon tunggal, kawalan kelajuan, paparan informasi pemanduan, butang penghidup enjin, tombol gear dan roda stereng balutan kulit, tempat duduk balutan kulit serta tempat duduk pemandu dan penumpang di sebelah yang boleh dilaras secara elektronik dengan lapan cara Malibu LTZ yang bersaiz 2,737mm bagi jarak roda turut menyediakan ruang dalaman yang cukup selesa termasuk ruang kaki.
Ruang luas di bahagian but dengan 462 liter turut menjadikan Malibu sebagai jentera sedan yang lebih praktikal bagi pelbagai tujuan.
Sistem Keselamatan
Sistem keselamatan yang amat ditekankan pada Malibu LTZ ini apabila didatangkan dengan beg udara berkembar untuk bahagian hadapan dan dua beg udara sisi dengan 65 peratus struktur keluli yang lebih sempurna.
Ciri-ciri tersebut sekaligus melayakkan model terbaharu ini menerima pengiktirafan lima bintang daripada NCAP bagi Pematuhan Pelindungan Pejalan Kaki buat pasaran global serta Pilihan Keselamatan Terbaik untuk tiga tahun berturut-turut.
Ia juga turut dilengkap dengan elemen keselamatan standard termasuklah ABS, Sistem Kawalan Kestabilan Elektronik Stabili Trak dengan Bantuan Brek dan EBD.
Warna Pilihan
Dihasilkan dengan empat pilihan warna iaitu Moulin Rouge Red Metallic, Carbon Flash Metallic, Olympic White dan Switchblade Silver.
Harga
Harga yang ditawarkan iaitu RM155,444 (tidak termasuk insurans), turut didatangkan dengan pakej waranti dari kilang pembuatan iaitu selama lima tahun atau 200,000km (yang mana tiba terlebih dahulu). - mStar