|
SEORANG askar Iraq memegang peluru dekat senjata api di gurun yang terletak antara Kerbala dan Najaf, selatan Baghdad semalam. - REUTERS
|
BAGHDAD - Tentera Iraq melancarkan satu serangan besar-besaran semalam untuk mengambil semula wilayah utara negara ini yang telah dirampas militan Sunah.
Fokus utama tentera Iraq itu adalah Tikrit yang terletak 140 kilometer ke barat laut Baghdad dan Mosul yang merupakan bandar raya kedua terbesar Iraq.
Pihak tentera berjaya mengambil semula Awia, yang merupakan bandar kelahiran bekas Presiden Saddam Hussein di Tikrit.
"Anggota-anggota tentera telah membebaskan Awia. Tikrit akan menjadi kubur besar untuk golongan militan.
"Kami telah melakukan sekatan di semua saluran keluar dan mengetatkan kawalan di sekitar Tikrit sebelum melakukan serbuan dari semua arah," kata seorang pegawai tentera.
Dalam pada itu, seorang saksi berkata, sejumlah besar anggota tentera yang dibantu dengan pelbagai jenis senjata api semakin mendekati kawasan selatan Tikrit,
"Pembinaan kekuatan besar-besaran askar itu adalah untuk menyuraikan anggota-anggota Kumpulan Islam Iraq dan Syam (ISIL) keluar dari bandar-bandar," kata saksi berkenaan.
Media Iraq yang memetik sumber-sumber ketenteraan melaporkan, anggota-anggota tentera yang setia kepada Perdana Menteri Nouri al-Maliki berjaya menawan semula Universiti Tikrit dan sejumlah kampung di Tikrit.
Pihak tentera turut memperhebatkan serangan ke atas ISIL di Mosul.
Anggota-anggota ISIL itu telah menguasai kebanyakan kawasan penduduk Sunah dekat sempadan Syria dan Jordan.
Iraq berdepan dengan serangan keganasan lebih setahun lalu.
Pihak ISIL dipersalahkan berhubung kebanyakan serangan ganas itu. - dpa