Kebanyakkan murid yang telibat dalam masalah disiplin di sekolah merupakan golongan murid yang tidak bermotivasi dalam pembelajaran . Apakah pendekatan yang anda boleh gunakan untuk menanamkan kesedaran kepentingan pendidikan dan menimbulkan motivasi kepada murid.
Menerusi satu kajian tingkah laku yang dijalankan didapati bahawa golongan murid yang bermasalah disiplin kerap tidak bermotivasi dalam pembelajaran. Seorang guru mampu membantu pelajar-pelajar membuat penyesuaian tingkah laku agar mereka berada dalam keadaan emosi yang stabil.
Masalah disiplin merangkumi skop yang meluas. Ia boleh jadi masalah disiplin peringkat yang rendah seperti hiperaktif, kebisingan , pergerakkan pelajar yang tidak perlu,mengganggu rakan sedarjah, dan keagresifan fizikal seperti tolak-menolak atau tumbuk menumbuk di dalam kelas. Masalah disiplin peringkat yang tinggi seperti tingkah laku yang merosakkan seperti permusuhan nyata, Vandalisme(iaitu merosakkan kerusi meja, peralatan dalam kelas dan sebagainya), aktiviti kumpulan liar(tumbuk-tumbuk secara fizikal), mengugut guru, mencalar kereta atau motosikal guru, menconteng dinding bangunan sekolah dan sebagainya.
Seseorang pelajar yang tidak mampu untuk menguasai pembelajaran dengan baik akan mula merasai terasing, rendah diri,perasaan kurang popular dan pembentukan konsep diri yang rendah. Ini mendorong pelajar untuk cuba melakukan aktiviti- aktiviti yang tidak sepatutunya semata-mata untuk mengambil perhatian orang disekelilingnya.
Motivasi penting untuk pembelajaran yang berkesan. Motivasi merupakan pengerak atau keadaan yang mendorong murid untuk melakukan sesuatu bagi mencapai satu-satu matlamat terdiri daripada dua jenis yang utama iaitu motivasi intrinsik dan motivasi ekstrinsik.
Motivasi intrinsik ini wujud dari dalaman seorang individu. Misalnya, anda mungkin banyak membaca buku cerita bukan kerana hendak mendapat hadiah tetapi kerana minat anda sendiri.Sesetenggah daripada anda mungkin suka menolong rakan yang lemah dalam pelajaran bukan kerana harapan untuk mendapatkan upah tetapi kerana keseronokan yang diperoleh.
Motivasi jenis ini merupakan dorongan luaran.Contohnya, Hassan belajar dengan rajin kerana mengharapkan lima A dalam peperiksaan UPSR. Ini kerana ayahnya akan menghadiahkan sebuah motosikal baru kepadanya. Seorang guru yang menghadiahkan buku kepada murid-murid yang memperoleh pencapaian baik dikatakan menggunakan motivasi ekstrinsik yang amat menekankan pada ganjaran. Ganjaran ini akan mendorong sesuatu tingkah laku yang diingini berlaku secara berterusan.
Sebenarnya, dalam kehidupan seharian kita, kedua-dua jenis motivasi memainkan peranan secara serentak dalam mendorong satu-satu tindakan kita. Oleh itu, dalam bilik darjah guru hendaklah menggunakan motivasi ekstrinsik dan intrinsik agar murid-murid meminati serta tertarik kepada pengajaran yang dijalankan.
Motivasi boleh mendorong individu untuk bertindak agar sesuatu matlamat itu tercapai. Pada amnya motivasi mampu menarik perhatian murid dimana murid yang mempunyai aras motivasi yang tinggi akan sentiasa memberi perhatian terhadap penyampaian dan aktiviti guru. Bagi mewujudkan motivasi itu, guru hendaklah mengguna pelbagai ransangan seperti nada suara yang berubah-ubah, carta yang menarik, pita rakaman, video dan permainan.
Motivasi mampu menimbul dan mengekalkan minat murid terhadap pelajaran yang disampaikan. Misalnya dalam mata pelajaran Kemahiran Manipulatif, guru menunjukkan pelbagai jenis kenderaan seperti motokar, lori dan keretapi yang boleh diperbuat daripada kotak mancis. Aktiviti ini pasti akan dapat menimbulkan dan mengekalkan minat murid-murid.
Motivasi dapat menimbulkan perasaan ingin tahu, misalnya Cikgu Salmah mungkin memulakan pelajarannya dengan mengatakan cahaya matahari adalah perlu untuk tumbuh-tumbuhan. Adakah tumbuh-tumbuhan yang hidup tanpa cahaya matahari? Jika ada, cuba berikan contoh (kulat).
Motivasi juga mengalakkan semangat persaingan. Motivasi yang diusahakan oleh guru mungkin berbentuk pemberian hadiah. Dengan itu, Murid-murid bersaing antara satu sama lain dengan tujuan untuk mendapatkan hadiah yang disediakan.
Motivasi menghasilkan suasana pembelajaran yang mengembirakan. Dengan adanya motivasi, murid-murid didorong untuk belajar kerana minat dan bukan kerana paksaan. Suasana di dalam bilik darjah juga hendaklah lebih ceria dan mengujakan.
Motivasi menghasilkan pembelajaran yang bermakna.Dalam usaha untuk memotivasikan murid-murid , guru perlu mengaitkan pelajaran dengan minat, perasaaan ingin tahu dan perasaan ingin meneroka pada murid-murid. Dengan cara ini murid-murid digalakkan untuk menjalankan eksperimen dan mencari serta melaporkan dapatan. Cara pembelajaran seperti ini bermakna serta mencabar.
Motivasi membantu pencapaian objektif pembelajaran. Murid-murid yang telah dimotivasikan oleh guru biasanya lebih berminat. Ini akan mempercepat pembinaan konsep yang seterusnya akan membantu pencapaian objektif pembelajaran.
Setelah menyedari betapa pentingnya peranan motivasi dalam mengerakkan murid-murid, guru perlulah berusaha untuk menggunakannya agar pembelajaran maksimum dapat diperoleh dengan mempraktikan teknik- teknik yang berkesan dalam bilik darjah. Antara teknik-teknik yang boleh dijalankan adalah seperti berikut:
1. Sediakan aktiviti- aktiviti yang menarik serta digemari oleh pelajar serta pelbagaikan aktiviti pelajar.
2. Elakkan daripada menghukum pelajarkalau dia kurang berjaya dalam sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
3. Wujudkan peluang untuk pelajar menikmati perasaan kejayaan. Oleh itu, pelajar-pelajar yang cerdas hendaklah diberi aktiviti-aktiviti yang mencabar manakala yang lemah hendaklah disediakan pendidikan pemulihan.
4. Kelolakan kursus motivasi dari semasa ke semasa.Motivasi yang tinggi akan mendorong seseorang kea rah pencapaian yang lebih baik. Ini akan meningkatkan keyakinan diri seseorang. Individu yang lebih berkeyakinan biasanya kurang mengalami kebimbangan.
5. Membantu murid-murid memahami objektif suatu pelajaran. Mereka lebih terdorong untuk melakukan sesuatu setelah mereka memahami objektifnya.
6. Galakkan perkembangan motif yang positif.Ini akan dapat memenuhi keperluan aktiviti , keselamatan dan sosialisasi.
7. Penglibatan murid-murid dalam pengajaran pembelajaran hendaklah digalakkan. Mereka hendaklah menjadi aktif.
8. Pastikan suasana bilik darjah adalah mesra , teratur dan kemas. Keadaan seperti ini mendorong pengajaran pembelajaran.
9. Elakkan tekanan dan keadaan yang boleh menimbulkan kekeliruan.Kekeliruan merendahkan tahap motivasi murid-murid.
10. Bantu murid-murid untuk menetapkan matlamat yang realistik dan boleh dicapai.Matlamat yang terlampau tinggi arasnya menyebabkan murid-murid gagal mencapainya. Keadaan seperti ini boleh merendahkan aras motivasi mereka.
11. Berikan idea-idea yang konkrit serta jelas tentang perkara yang perlu murid-murid buat untuk mencapai matlamat yang telah ditentukan.
12. Tunjukkan kepada murid-murid bahawa pencapaian matlamat dapat meningkatkan harga diri serta penghormatan diri.
13. Bagi murid-murid yang lemah , mulakan dengan matlamat yang senang dicapai. Ini memberi kesempatan bagi mereka untuk menikmati perasaan kejayaan yang tentunya akan meningkatkan lagi aras motivasi murid-murid.
14. Pastikan ganjaran yang disediakan itu merupakan jenis yang dikehendaki murid-murid . Contohnya, perkataan ‘baik’ dan ‘bagus’ yang terlalu kerap digunakan akan hilang keberkesanannya.
15. Persaingan sederhana boleh digalakkan kerana ia meningkatkan pencapaian . Lebih sihat lagi kalau murid digalakkan bersaing dengan diri sendiri , iaitu cuba memperbaik pencapaiannya dari semasa ke semasa.
16. Murid-murid mempunyai minat yang kuat dalam aktiviti-aktiviti seperti lakonan, menyanyi dan pelbagai jenis permainan. Cuba serapkan aktiviti-aktiviti ini dalam pengajaran guru.
17. Pelbagaikan teknik motivasi. Tekankan pada motif intrinsik seperti minat , perasaan ingin tahu , penglibatan dan penerokaan. Ini boleh digalakkan terutama dengan murid-murid sekolah menengah . Di sekolah rendah , motivasi intrinsik hendaklah digunakan juga, tetapi motivasi ekstrinsik adalah lebih kuat bagi mereka.
18. Timbulkan perasaan ingin tahu murid-muridsebelum memulakan satu-satu topik pelajaran. Wujudkan unsur keghairahan atau suatu masalah seperti menggunakan soalan ini: ‘ Mungkinkah anda dapat menentukan kedudukan anda di tengah-tengah kawasan gurun tanpa diberi kompas?’
19. Menarik perhatian murid-murid dengan sesuatu yang berlainan atau mengagumkan. Misalnya, ketika mengajar Sejarah, guru boleh menunjukkan barangan antik atau sejenik mangkuk yang lama dan ganjil rupanya. Elakkan daripada memulakan pelajaran dengan cara yang sama.
20. Aras aspirasi, murid-murid hendaklah berbeza-beza . Bagi murid yang pencapaiannya tinggi, aras aspirasi hendaklah lebih tinggi berbanding dengan murid-murid berpencapaian rendah. Ini bermakna bahan pelajaran , alat bantu mengajar serta aktiviti-aktiviti hendaklah berbeza.
21. Adakan kursus atau kem motivasi bagi murid-murid yang rendah motivasinya. Adakan ceramah , pergaulan dan interaksi dengan murid-murid berpencapaian tinggi dan sedarkan mereka tentang pentingnya pencapaian yang baik dalam hidup mereka. Sesi-sesi kaunseling boleh juga dikelolakan bagi tujuan tersebut.
22. Gunakan pujian dan galakan dengan kerapterutamanya dengan murid-murid yang lambat serta kurang keyakinan diri. Beri komen yang berbentuk individu serta menggalakkan dan bukannya gred sahaja. Beritahu murid-murid dengan segera tentang pencapaian mereka dalam satu-satu ujian. Gunakan seberapa banyak komen positif yang mungkin.
Setelah dikaji , guru seharusnya berusaha untuk menyerapkannya dalam
persediaan dan pengajaran masing-masing.Dari segi persediaan , guru hendaklah merancang set induksi yang mengandungi unsur kehairanan dan mengagumkan serta mempunyai soalan yang mencabar.Sumber pengajaran pembelajaran hendaklah terdiri daripada alat bantu mengajar yang menarik serta boleh memenuhi perasaan ingin tahu murid-murid.Isi pelajaran yang mempunyai aras motivasi yang tinggi menyebabkan murid-murid memberi lebih perhatian ketika guru mengajar.
Secara rumusannya, motivasi merupakan unsur pengajaran pembelajaran yang penting. Ia tidak berlaku dengan begitu sahaja. Guru hendaklah menerapkan motivasi dalam persediaan dan seterusnya dalam pengajaran. Penyerapan unsur motivasi seperti ini pasti akan menghasilkan pembelajaran yang bermakna , mencabar, inovatif serta menyeronokkan.
BIBLIOGRAFI
Abruscato,J. Introduction to teaching and the study of Education, Prentice Hall, Inc, Englewood Cliffs, New Jersey,1985.
Cronbach, L.J, Educational Psychology, Edisi ke 3, Harcourt Brace Jovanovich, Inc, New York,1977.
Ee Ah Meng, Psikologi Pendidikan I,Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd, Shah Alam, 1996
Ee Ah Meng, Psikologi Pendidikan II,Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd, Shah Alam, 1997