Arsenal dan Tottenham melonjak ke tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas meraih kemenangan ke atas lawan masing-masing untuk kini mengumpul 9 mata selepas 4 perlawanan, memintas pendahulu sebelum ini, Liverpool yang tidak turun beraksi.
Biarpun sama 9 mata, Liverpool kurang dari segi perbezaan gol dan hanya boleh memintas semula kedudukan teratas jika mereka berjaya menewaskan Swansea, jam 3 pagi Selasa ini.
Malam tadi, Arsenal berjaya menewaskan Sunderland 3-1 di gelanggang lawan menerusi dua jaringan Aaron Ramsey minit ke-67 dan 76.
Terdahulu Olivier Giroud meletakkan Arsenal di hadapan pada minit ke-11 sebelum Sunderland menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti Craig Gardner minit ke-48.
Tottenham pula meraih tiga mata penuh selepas menewaskan Norwich 2-0 di laman sendiri menerusi dua jaringan Gylfi Sigurdsson minit ke-28 dan 49.
Manchester City di tangga ketiga selepas sekadar seri 0-0 dengan Stoke di tempat lawan manakala juara bertahan, Manchester United naik ke tangga keempat selepas menewaskan Crystal Palace 2-0 di Old Trafford hasil jaringan Robin van Persie minit ke-45 (penalti) dan Wayne Rooney minit ke-81.
Chelsea pula gagal meraih mata selepas tewas 0-1 kepada Everton di tempat lawan menerusi jaringan tunggal Steven Naismith minit ke-45.
Tiga lagi perlawanan malam tadi menyaksikan Aston Villa tewas 1-2 kepada Newcastle, Fulham seri 1-1 dengan West Brom manakala Hull turut seri 1-1 dengan Cardiff.