Tuesday, August 27, 2013

Pelakon Syamsul Yusof sudah sedia untuk kahwin



PETALING JAYA:
 Pengarah filem dan pelakon Syamsul Yusof berhasrat untuk menamatkan zaman bujangnya selepas filem terbaharu arahannya berjudul KL Gangster 2ditayangkan pada 3 Oktober depan.
Syamsul, 29, bagaimanapun enggan mendedahkan siapakah wanita yang ingin disunting menjadi isterinya itu walaupun desas-desus mengatakan dia kini sedang menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon Puteri Sarah.
"Saya sudah bersedia untuk berumah tangga kerana usia pun semakin meningkat. Bagaimanapun setakat ini masih belum ada sebarang perbincangan khusus mengenainya dan ia hanya satu perancangan.
"Tentang calon biar saya simpan untuk diri sendiri dahulu dan saya sendiri akan umumkan kepada semua sekiranya ia benar-benar terjadi," katanya kepada mStar Online.
Filem terbaharu arahannya yang menelan belanja RM4.5 juta itu bakal ditayangkan kepada umum pada 3 Oktober depan selepas mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.
Dalam perkembangan sama, Syamsul berkata, ibu bapanya iaitu pengarah dan penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah Ismail masih belum bertemu dengan calon isterinya itu.
Pun begitu kata Syamsul, keluarganya tidak menghalang dengan siapa dia ingin bercinta malah sentiasa bertanya bila dia akan menamatkan zaman bujangnya.
"Keluarga tidak kisah dengan siapa saya nak bercinta malah mereka sering bertanya bila saya akan berkahwin. Malah saya sendiri sering memikirkan soal tersebut dan berharap peminat semua mendoakan yang baik-baik untuk saya," katanya.
Dalam perkembangan lain, Syamsul berkata, punca sebenar dia gagal menyiapkan filemKL Gangster 2 dengan cepat kerana banyak komitmen lain yang mengganggu sepanjang proses tersebut.
Jelas Syamsul, dia tidak mahu terburu-buru menayangkan filem tersebut kerana ingin memberikan yang terbaik kepada penonton dan sedar harapan mereka terhadap karya terbaharunya itu tinggi.
"Selain cuba menyiapkan filem itu, saya turut terlibat dalam beberapa projek lain dan berlakon dalam beberapa buah filem dan kerana itu juga ia lambat disiapkan.
"Bagaimanapun Alhamdulillah semuanya sudah selesai dan berharap peminat akan menyukai filem ini," ujarnya.
Sumber: mstar Online

Baiki Pusara P.Ramlee, Saloma RM25,000 Haram - Mufti Selangor



PETALING JAYA
: Pusara Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan isterinya Puan Seri Saloma yang bakal dibaik-pulih dengan kos mencecah RM25,000 adalah haram hukumnya di sisi agama Islam.
Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, Islam mengharamkan sesebuah pusara itu dihias secara berlebih-lebihan apatah lagi pengubahsuaian itu dilakukan di atas sebuah tanah wakaf.
“Kos RM25,000 itu sangat tinggi untuk menghias sesebuah pusara dan saya percaya ia pasti menggunakan batu marmar yang mahal.
"Malah dalam Islam sendiri sudah jelas memberitahu haram jika pusara dihias secara berlebih-lebihan di tanah wakaf melainkan ia adalah tanah persendirian,” katanya kepadamStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Pada 21 Ogos lalu sebuah akhbar melaporkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) akan melakukan pengubahsuaian terhadap pusara P.Ramlee dan Saloma selepas ia roboh akibat dihempap pokok pada Mac lalu.
Ketua Pengarah agensi itu, Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah dalam laporan berkenaan berkata, kerja-kerja pengubahsuaian tersebut mengambil sedikit masa memandangkan bahan binaan pusara berkenaan diimport dari luar negara yang turut mencecah RM25,000.
Pusara berkenaan terletak di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang dekat sini.
Dalam pada itu Mohd Tamyes berkata, setiap pusara di tanah wakaf hanya boleh dihias tidak melebihi setengah kaki selain dilarang sama sekali membina makam atau bangunan pusara berbentuk kekal kerana ia mungkin akan diguna semula pada masa akan datang jika tanah sudah penuh.
Tambah beliau, walaupun matlamat pihak yang mahu menghias sebuah pusara itu sebagai ingin mencantikkan tempat berkenaan tetapi biarlah hiasan pusara dapat memberi manfaat seperti menanam pokok-pokok renek yang akan mendoakan si mati agar mengurangkan dosa-dosa kecil mereka semasa di dunia.
"Senang cerita, kewajipan manusia pada jenazah hanya empat iaitu memandikan, mengapankan, sembahyangkan dan mengebumikannya. Ini yang wajib dan menghias bukanlah dalam perkara wajib," tegasnya yang turut menyifatkan kos pembinaan itu adalah satu pembaziran.
Sementara itu, pendakwah dan pembimbing jemaah Haji, Ustaz Mohd Hasnil Abu Bakar pula berkata pihak Finas perlu mendapatkan nasihat dan pandangan daripada pihak berkuasa agama Islam sebelum meneruskan perancangan membaik pulih pusara berkenaan.
"Memanglah P.Ramlee milik masyarakat dan Allahyarham disayangi ramai.
"Tetapi untuk membaik pulih pusara dengan kos seperti itu, lebih baik mereka berbincang dahulu bagi mendapatkan nasihat yang sepatutnya oleh pihak berkuasa Agama Islam ataupun mufti-mufti,” katanya.
Tambah beliau, jika pembinaan pusara itu dibuat secara keterlaluan, ditakuti wujudnya unsur-unsur syirik dengan aktiviti pemujaan untuk generasi akan datang sehingga menjadi tempat penyebaran ajaran sesat.
“Adalah lebih baik wang itu digunakan untuk membuka maahad tahfiz P.Ramlee kerana ia akan mendatangkan lebih manfaat kepada umat Islam dan juga si mati sendiri,” katanya.
Ditanya siapakah yang berdosa jika projek berkenaan diteruskan Mohd Hasnil berkata, pihak yang terlibat membinanya akan menanggung dosa itu dan bukannya si mati.
Sumber: mstar Online

Penyampai radio Hunny Madu berbakat cipta lagu



PETALING JAYA
: Pengacara dan penyampai radio Hani Hatim atau lebih dikenali sebagai Hunny Madu memperluaskan bakatnya dalam bidang penciptaan lagu dan menulis lirik.
Hani atau nama sebenarnya Hani Farhana Mohd Hatim, 29, berkata, dia melakukan eksperimen dalam bidang berkenaan apabila buat permulaan hasil karya itu digunakan untuk lagu nyanyiannya sendiri.
"Walaupun saya pernah menulis lirik bagi album pertama saya, Pulau Janji pada tahun 2011, itu tidak bermakna saya seorang penulis yang baik.
"Banyak lagi perkara yang saya perlu asah bakat ini dan untuk menghasilkan lagu yang baik, kita perlu melatih skil yang ada. Lagipun ia dapat membuatkan saya meneroka bidang muzik dengan lebih luas lagi," katanya kepada mStar Online.
Tambah Hani dia juga bakal muncul dengan sebuah single terbaharu dalam masa terdekat ini.
Sementara itu, Hani berkata dia mahu menggunakan nama sebenarnya itu dalam urusan formal seperti ketika dia mengacara sesebuah program televisyen atau acara berbentuk korporat mana kala nama Hunny Madu untuk kerjaya nyanyiannya.
"Sebenarnya nama Hunny Madu masih dikekalkan tetapi ia digunakan ketika saya muncul di bidang nyanyian. Hani Hatim pula lebih pada acara formal seperti mengacara atau sebagai penyampai radio.
"Cara itu memudahkan peminat untuk melihat saya dalam dua bidang yang berbeza," ujarnya.
Selain sibuk di studio radio, Hani turut muncul menerusi program Hip TV (TV3) dan Nasi Lemak Kopi O untuk TV9.
Sumber: mstar

Malaysia jadi tuan rumah Kejohanan Golf Piala EurAsia 2014



SHAH ALAM 27 Ogos - Malaysia dipilih sebagai tuan rumah Kejohanan Golf Piala EurAsia yang pertama, yang dimodelkan dengan Piala Ryder iaitu acara berpasukan di mana benua Eropah menentang Asia.

Piala EurAsia, yang dikitiraf oleh Jelajah Asia dan Jelajah Eropah, akan menampilkan 10 pemain terbaik masing-masing dari Eropah dan Asia pada saingan selama tiga hari di Glenmarie Golf & Country Club di sini pada 28 Mac 2014.

Professional Golf of Malaysia (PGM) dilantik oleh kerajaan untuk menyelaras kejohanan bernilai US$4 juta (RM12.8 juta) itu.

Pengerusi PGM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, acara itu dijangka disiarkan secara langsung di lebih 45 negara di seluruh dunia. - Bernama

Hoki Piala Asia 2013: Malaysia perlu seri menentang Jepun



IPOH - Misi untuk memburu gelaran hoki Piala Asia 2013 kini bergantung kepada keputusan perlawanan menentang Jepun pada aksi terakhir Kumpulan A, hari ini.

Malah, jurulatih Paul Revington juga sedar hanya kemenangan dan seri sahaja mampu menjadi penyelamat buat skuad kebangsaan untuk berada di landasan memburu gelaran Piala Asia di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah.

Kata Revington, anak-anak buahnya tiada pilihan selain perlu meningkat dengan cepat untuk menentang Jepun selepas tewas kepada Pakistan 1-4, kelmarin.

"Antara bahagian yang perlu diberikan perhatian ialah pada bahagian pertahanan kami.

"Ada beberapa ruang kecil pada bahagian pertahanan perlu ditutup dan diperkemaskan ketika menentang Jepun.

"Saya percaya pasukan Malaysia mampu memperbaiki kelemahan bagi mendapatkan keputusan yang baik," kata Revington.

Pada aksi hari ini Malaysia perlu meraih sekurang-kurangnya satu mata jika mahu melangkah ke separuh akhir pada Jumaat ini.

Mengikut format kejohanan hanya juara kumpulan dan naib juara sahaja layak ke separuh akhir bagi merebut tempat ke perlawanan akhir Ahad ini.

Malah, aksi menentang Jepun dijangka berlangsung sengit berikutan pasukan lawan turut memasang impian ke Piala Dunia di Belanda tahun depan.

Sementara itu, Malaysia yang atas kertas dikira layak ke Piala Dunia 2014 menerusi slot Oceania turun menentang Jepun tanpa tekanan besar.

Kali terakhir Malaysia menentang Jepun ialah pada penentuan tempat kelima dan keenam pusingan separuh akhir Liga Hoki Dunia di Johor Bahru, bulan lepas.

Pada kejohanan itu, Malaysia dipaksa bekerja keras untuk menewaskan Jepun menerusi penentuan pukulan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Sumber: Utusan

Pertahanan Selangor, Mahalli Jasuli mahu tebus kesilapan



KUALA LUMPUR - Bek kanan Selangor, Mahalli Jasuli berjanji untuk bangkit menebus kesilapan pertahanan Selangor yang 'menghadiahkan' dua gol mudah kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sabtu lalu dengan memburu tiga mata sulung mereka ke atas Sime Darby, malam ini.

Mengakui kehilangan tumpuan bagi kedua-dua gol di Shah Alam itu, pertahanan Harimau Malaya ini turut menafikan kelonggaran persefahaman sesama rakan menyumbangkan kekalahan yang tidak sepatutnya ditanggung juara Piala Malaysia 32 kali.

"Memang saya akui kami lepaskan dua gol mudah kepada ATM. Kami hilang tumpuan tetapi bukan bermakna persefahaman dengan rakan longgar ketika itu. Hanya sedikit kelalaian, kami dihukum dengan gol, namun kami janji untuk menebusnya apabila menentang Sime Darby.

"Hanya menang menjadi satu-satunya pilihan Selangor bagi baki perlawanan Kumpulan A Piala Malaysia. Tiada mata wajar terlepas lagi dan kami tidak menganggap bermain di Stadium Majlis Perbandaran Selayang sebagai gelanggang lawan kerana tempatnya masih di negeri Selangor.

"Saya turut menyeru warga Selangor di sekitar Selayang kembali memenuhi stadium itu bagi menyuntik semangat pasukan biarpun kami akan tampil sebagai pelawat," katanya yang antara mendapat perhatian jurulatih Merah Kuning, Irfan Bakti Abu Salim gara-gara gol 'hadiah' buat ATM itu.

Mengenai Sime Darby yang menewaskan ATM 4-3, Selasa lalu tetapi dikejutkan Johor 1-2, hujung lalu kata Mahalli, kelab Kuala Lumpur itu tetap wajar dihormati apatah lagi Selangor sebagai pasukan Liga Super, belum pernah bertemu lawan yang juga naib juara Liga Perdana itu pada musim ini.

"Menentang lawan yang tidak biasa ditemui sebelumnya dalam musim ini pasti sukar dan saya akui Sime Darby punya kekuatan dan kelebihan tertentu tetapi kami tetap turun dengan misi memburu kemenangan, tidak kurang daripada itu," ujar anak jati Selayang berusia 24 tahun ini.

Seperti Selangor yang dihukum kerana kelekaan pertahanan, jurulatih Sime Darby, Ismail Zakaria menyeru anak-anak buahnya supaya tidak lagi mengulangi kesilapan sama kerana memberikan gol kepada Johor biarpun setelah bermain bagus di gelanggang lawan, Sabtu lalu.

"Kami wajar berhati-hati dengan Selangor kerana pasukan yang belum pernah menang selepas dua perlawanan kumpulan ini, pasti lebih garang dan kami pula bakal kehilangan pemain import dari Togo, Togaba Kontiwa (penjaring dua gol ke atas ATM) yang tercedera kali ini.

"Justeru bagi bahagian tengah saya akan cuba tampilkan gandingan Muhd. Syuhur Saidin dan Fadzli Saari bagi menampung ketiadaannya," kata Ismail yang masih boleh menarik nafas lega untuk menurunkan penyerang dari Croatia, Karlo Primorac - penjaring terbanyak Liga Perdana 2013.

Sumber: Utusan

Wajarkah gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong diteruskan?



KUALA LUMPUR - Menghantar Koo Kien Keat-Tan Boon Heong ke mana-mana kejohanan ketika ini adalah tindakan yang tidak wajar, sebaliknya pasangan No. 2 dunia itu sepatutnya dibekukan menyertai pertandingan selepas berakhir Kejohanan Dunia di Guangzhou, China, baru-baru ini.

Kien Keat-Boon Heong kini diambang untuk dipecahkan selepas gagal memenuhi sasaran yang ditetapkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) - layak ke aksi akhir Kejohanan Dunia dan kedudukan mereka bakal diputuskan apabila ahli majlis badan kebangsaan itu bersidang pada 7 September ini.

Namun, ketika kedudukan mereka masih tergantung, bekas juara All England dan Sukan Asia itu tetap berada dalam senarai skuad ke Siri Super Terbuka Jepun di Tokyo, bulan depan.

Selain Kien Keat-Boon Heong, turut disenaraikan ke kejohanan pada 17-22 September itu adalah pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei, Liew Daren, Chong Wei Feng, Lim Khim Wah-Goh V Shem, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong, Vivian Hoo-Woon Khe Wei dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Menurut BAM, pendaftaran pemain ke Jepun telah dilakukan sebelum Kejohanan Dunia bermula lagi dan kerana itu nama Kien Keat-Boon Heong turut berada dalam senarai pasukan ke Tokyo.

Begitupun, mereka boleh menggugurkan mana-mana pemain yang difikirkan perlu dengan syarat ia harus dilakukan pada atau sebelum 30 Ogos ini kerana jika keputusan dibuat pada saat akhir, badan badminton kebangsaan itu boleh didenda.

"Kami akan membuat keputusan sebelum tarikh yang dibenarkan kerana pada masa sekarang BAM sedang melihat semula apakah kedua-dua pemain ini mempunyai komitmen yang perlu dipenuhi dengan penaja mereka (Yonex) atau sebaliknya.

"Seandainya pengguguran perlu dilakukan, ia harus dibuat pada atau sebelum Jumaat ini kerana kalau kita buat keputusan lewat, BAM sebagai badan induk akan didenda oleh badan badminton dunia (BWF)," ujar Pengurus Besar BAM, Kenny Goh.

Bagaimanapun difahamkan, nama Kien Keat-Boon Heong telah dicadangkan untuk tidak dihantar pada kejohanan bernilai AS$200,000 (RM640,000), malah BAM yang dijangkakan hanya menghantar dua wakil ke Tokyo iaitu Chong Wei dan Peng Soon-Liu Ying, yang masing-masing merupakan penyandang juara.

BAM telah banyak kali didesak supaya memecahkan beregu utama negara itu, terutama selepas mereka gagal membawa pulang sebarang pingat pada Sukan Olimpik di London, tahun lalu.

Desakan tersebut semakin kuat selepas Kien Keat-Boon Heong menunjukkan prestasi buruk pada kejohanan berpasukan campuran, Piala Sudirman, Mei lalu apabila diaibkan oleh pasangan Taiwan, Lee Sheng Mu- Tsai Chia Hsin dan pada Terbuka Indonesia sebulan kemudian, mereka ditunjukkan jalan keluar oleh beregu tuan rumah, Alvent Yulianto Chandra-Markis Kido di pusingan kedua.

Sumber: Utusan

Gambar Belangkas