Tuesday, August 27, 2013

Moto3 2013: Kurang serasi punca prestasi buruk Zulfahmi



KUALA LUMPUR - Pelumba Moto3, Zulfahmi Khairuddin mengakui masih kurang serasi dengan motosikalnya sepanjang minggu ini pada Grand Prix Republik Czech yang berakhir kelmarin.

Bagaimanapun, pelumba Red Bull KTM Ajo itu menunjukkan peningkatan pada hari perlumbaan apabila bermula dari petak ke-24 tetapi melintasi garisan penamat di tempat ke-15 untuk meraih satu mata.

"Sepanjang hujung minggu ini saya tidak berjaya mencari keserasian dengan jentera saya tetapi pada hari perlumbaan semuanya berjalan lancar.

"Kecuali di pusingan pertama saya di tempat ke-16 dan pusingan berikutnya ramai pelumba memintas saya," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Jelasnya, dia menghadapi beberapa masalah ketika di selekoh, terutama sekali di selekoh terakhir.

"Akhir sekali saya berjaya meraih tempat ke-15 dan meraih satu mata. Secara keseluruhan saya menganggap GP ini sangat sukar, jadi kita boleh berasa sedikit gembira dengan pungutan mata selepas apa yang berlaku sepanjang tiga hari sebelum ini.

"Di Silverstone (GP Britain) tidak akan ada alasan lagi, kami harus lebih pantas. Pasukan ini sedang bekerja keras untuk memperkemaskan jentera tetapi tahun ini saya belum mendapat keserasian. Saya harus bekerja keras juga untuk mempertingkatkan corak tunggangan saya," kata pelumba kelahiran Banting itu.

Perlumbaan kelmarin menyaksikan rakan sepasukan Zulfahmi, Luis Salom muncul juara, mengenepikan Maverick Vinales dari Team Calvo di tempat kedua manakala Jonas Folger (Mapfre Aspar Team Moto3) di tempat ketiga.

Seorang lagi pelumba Red Bull KTM Ajo, Arthur Sissis menduduki tempat ke-14 membolehkannya meraih dua mata. Kedudukan pelumba keseluruhan menyaksikan Salom masih di tangga teratas dengan 208 mata, manakala Sissis kesembilan (51 mata) diikuti Zulfahmi ke-10 (50 mata).

Sumber: Utusan

Hoki Piala Asia 2013: Skuad Malaysia memilih jalan sukar



IPOH - Malaysia tiada pilihan selain perlu sekurang-kurangnya seri ke atas Jepun pada aksi terakhir Kumpulan A hoki Piala Asia, esok sekiranya mahu meneruskan impian memburu gelaran selepas tewas 1-4 kepada Pakistan, semalam.

Kekalahan skuad kebangsaan pada aksi kedua peringkat kumpulan itu menyebabkan Malaysia yang berada pada ranking ke-13 dunia terlepas peluang mudah untuk ke separuh akhir, Jumaat ini.

Dalam kejohanan yang menggunakan format liga satu pusingan itu, hanya juara dan naib juara kumpulan layak ke separuh akhir untuk merebut tempat ke final.

Ketika ini hanya Jepun yang meraih kemenangan 5-1 ke atas Taiwan bakal menjadi penghalang Malaysia terus kekal di kedudukan kedua kumpulan.

Jurulatih kebangsaan, Paul Revington mengakui aksi menentang Jepun bakal menjadi perlawanan penting buat Malaysia.

"Mereka bermain dengan baik hari ini (semalam).

"Kitar harus sedar, menentang Pakistan memang amat mencabar. Corak permainan serangan balas membawa mereka meraih kemenangan," kata Revington.

Malaysia memulakan aksi meyakinkan apabila mendahului menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abd. Rahim minit ke-26, namun tujuh minit selepas itu Pakistan berjaya menyamakan kedudukan hasil gol padang Muhammad Zubair dan bermula babak kedua, Pakistan mula mendominasi saingan.

Sumber: Utusan

Zaman paling indah


Zaman paling indah
Zaman masak tanah
Zaman masak pasir
Zaman bancuh ayaq acaq
Zaman curi-curi main api

Zaman tu la paling indah

Zaman dewasa ni banyak kotor dari suci
Banyak tipu dari benar
Banyak sinis dari senyum

Dulu enjoy main tanah
Sekarang stress dengan noda

Kena pandai pilih
Kena pandai pilih
Kena pandai pilih

Syurga ada
Neraka tersedia

Ada akal kan?
Pilih nak mana satu



Surah Al- Balad ayat 8-11..

(Mengapa manusia terpedaya dan bermegah-megah?) Tidakkah Kami telah menjadikan baginya: Dua mata (untuk dia memerhatikan kekuasaan dan kekayaan Kami?) (8) Dan lidah serta dua bibir (untuk dia menyempurnakan sebahagian besar dari hajat-hajatnya)? (9) Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)? (10) Dalam pada itu manusia tidak (memilih jalan kebaikan) merempuh masuk mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan; (11)

Monday, August 26, 2013

Israel nyatakan kebimbangan isu pergolakan di Mesir



BAITULMAQDIS: Israel menyatakan kebimbangannya mengenai pergolakan di negara jirannya, Mesir berikutan perkembangan itu mungkin menjejaskan kestabilan serantau. 

Perdana menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata semalam, Israel berharap kestabilan dan hubungan baik di antara Tel Aviv dan Kaherah berterusan.Israel memeterai perjanjian damai dengan Mesir lebih 30 tahun lalu dan Kaherah adalah sekutu negara Arabnya yang terbesar. 

“Kami mengikuti perkembangan di Mesir dengan rapi dan pada masa ini mesti menunjukkan sifat bertanggung jawab dan pertimbangan yang tinggi,” Netanyahu memberitahu mesyuarat Kabinet dalam ulasan pertamanya berhubung tunjuk perasaan yang memasuki hari keenam di Mesir semalam.

Perdana menteri Israel itu berkata, beliau sudah menghubungi Presiden Barack dan setiausaha negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton mengenai perkembangan di Mesir dan juga sudah memberitahu anggota Kabinet Israel agar jangan membuat sebarang kenyataan mengenai negara jirannya itu.

Mesir adalah negara Arab pertama untuk memeterai perjanjian damai dengan Israel pada 1979 yang disusuli dengan Jordan pada 1994.

Seorang bekas menteri pertahanan Israel, Benjamin Ben-Eliezer berkata, beliau bersedih dengan kemungkinan Hosni Mubarak disingkirkan kerana presiden Mesir itu adalah orang kanan kita yang paling penting di Asia Barat.

Seorang lagi bekas menteri pertahanan, Shaul Mofaz, berkata, Tel Aviv bimbang jika kumpulan pembangkang yang diharamkan, Ikhwanul Muslimin akan mengambil alih kuasa di Mesir.

“Berikutan perkembangan terbaru di Lubnan yang mengukuhkan kedudukan Hizbullah. perkembangan di Israel menjadi satu lagi cabaran besar,” kata Mofaz kepada radio Tentera.

Beberapa pegawai di Israel mengharapkan Mubarak kekal berkuasa dengan menyatakan pemimpin kuku besi itu tidak mempunyai pengganti yang jelas. 

Pelantikan Omar Suleiman kelmarin sebagai naib presiden dialu-alukan oleh beberapa pihak di Israel berikutan bekas ketua risikan Mesir itu mempunyai hubungan baik dengan Tel AVivb.

Seorang pegawai Israel yang tidak mahu namanya didedahkan berkata: “Menurut penelitian kami Mubarak akan mampu bertahan”. – Reuters

Sumber: bharian

Sasaran 3 teratas Sukan Sea 2013 Myanmar tidak realistik


PETALING JAYA - Secara realistiknya kontinjen negara diakui memang tidak boleh meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok tiga teratas Sukan SEA XXVII Myanmar dari 11 hingga 22 Disember ini, kata ketua kontinjen, Datuk Wira Amiruddin Embi.

Katanya, sasaran awal sebanyak 40 hingga 45 pingat emas oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM), baru-baru ini turut sukar untuk meletakkan kontinjen negara ke kedudukan itu namun yang penting ialah sejauh mana persediaan atlet untuk memburu pingat itu di Myanmar sebelum mencapai peningkatan pada Sukan Asia dan Komanwel pula.

"Dari segi sasaran, MOM kata 40 hingga 45 emas, jadi kita memang tidak boleh ke tiga teratas dan perlu bersikap realistik. Namun persatuan sukan juga perlu ada perancangan bagi dua atau tiga tahun dengan Sukan SEA sebagai medan persediaan awalnya untuk mula meningkat," katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) menyifatkan Kumpulan B Siri Tujuh Sepasukan Ragbi Asia 2013 yang menemukan skuad negara dengan China dan Korea Selatan, sebagai agak sukar tetapi masih mampu disaingi berdasarkan rekod pencapaian tahun lalu.

"Pasukan kita pernah mengalahkan kedua-duanya di Mumbai, tahun lalu. Kali ini saya lihat pasukan kita lebih bersedia berbanding tahun lalu sejak dikumpulkan dua bulan lalu. Mereka juga ke Perth bagi menentang kelab Australia Barat. Kita juga akan bermain pada Hari Kebangsaan yang pastinya menjadikan pasukan lebih bersemangat.

"Dengan kemasukan empat pemain import dari Fiji, saya yakin pasukan negara mampu mencapai sasaran empat teratas Siri Tujuh Sepasukan Asia ini," katanya pada majlis undian rasmi kejohanan yang turut dihadiri Setiausaha Agung Kesatuan Ragbi Asia, Ross Mitchell di sebuah hotel di Damansara dekat sini, semalam.

Kumpulan A dalam aksi di Stadium Petaling Jaya dari Sabtu hingga Ahad ini pula mengandungi juara bertahan, Hong Kong, Thailand dan Singapura manakala Taiwan, Filipina dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) membentuk Kumpulan C sementara D dibarisi naib juara tahun lalu - Jepun, Sri Lanka dan Kazakhstan.

Sumber: Utusan

Piala Malaysia 2013: Kelantan menang 2-0 ke atas Terengganu



KOTA BHARU - Biarpun berjaya mengutip tiga mata penuh dengan menumpaskan Terengganu 2-0 dalam aksi kedua Piala Malaysia kelmarin, namun pengendali Kelantan, Bojan Hodak tetap kecewa kerana ketumpulan jentera serangan menyebabkan The Red Warriors gagal berpesta gol.

Tegas Hodak, jentera serangannya gagal menyudahkan banyak peluang untuk menjaringkan gol pada perlawanan tersebut dan beliau memandang serius situasi itu menjelang pertemuan dengan Negeri Sembilan, esok.

"Saya harap masalah ketumpulan jentera serangan yang dialami Kelantan dapat diperbaiki dengan segera kerana saingan akan menjadi lebih sengit selepas ini.

"Namun begitu, saya percaya masalah ini dapat pulih tidak lama lagi kerana Dickson Nwakaeme semakin mendapat rentak sebenar dengan menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan.

"Anda boleh lihat bagaimana dia berusaha keras dan berjaya membentuk gandingan mantap bersama Mohd. Nor Farhan Mohamad, Indra Putra Mahyuddin dan Piya (Mohd. Badhri Radzi) pada perlawanan tersebut," katanya semalam.

Pada perlawanan kelmarin, Kelantan meledak gol pertama pada minit ke-10 apabila Nwakaeme yang tidak dikawal melonjak tinggi untuk menanduk bola hasil lambungan ketua pasukan Mohd. Badhri.

Pemain gantian, Zairol Anuar Zailani menambah derita Skuad Peteh dengan menyumbat gol kedua menerusi sepakan percuma terus dari jarak 25 meter.

Seandainya, ketumpulan jentera serangan tidak menghantui The Red Warriors berkemungkinan besar, juara bertahan itu mampu berpesta gol dalam perlawanan tersebut selepas melancarkan serangan bertali arus ke kubu pelawat.

Sumber: Utusan

Wan Yu Rally dari China juara MRC 2013 Johor Bahru



JOHOR BAHRU - Pasukan Wan Yu Rally menerusi gandingan Fan Fan dan Fang Jun Wei dari China muncul pemenang pusingan kedua Kejuaraan Rali Malaysia (MRC) 2013 yang menutup tirainya di letak kereta di Plaza Angsana, di sini semalam.

Kombinasi mantap pemandu jentera Mitsubishi Lancer 4WD itu meninggalkan pasukan dari Perancis, Daniel Palau dan Thierry Song dengan masa 3 jam 14 minit dan 39 saat,3:45s meninggalkan pesaing mereka.

Jaguh rali negara, Karamjit Singh bersama Jagdev Singh yang memandu Proton Satria Neo untuk pasukan Proton R3 Rally Team terpaksa berpuas hati di tempat ketiga dengan masa 3'20:21s.

Bagi Kejohanan Rali Asia Pacifik (APRC) 2013, pasangan New Zealand, Michael Young dan Malcolm Read dari Cusco Racing yang memandu Toyota Vitz RS muncul satu-satunya pasukan yang berjaya menghabiskan perlumbaan kelmarin dan semalam sekali gus memenangi pusingan keempatdengan catatan masa 3'52:28.8s.

Sementara itu dalam saingan Asia/Junior Cup dan MR13, tuah menyebelahi pelumba dari Jepun, Shuhei Muta dan pemandu arah, Takahiro Yasui yang mewakili pasukan Cusco Racing apabila muncul pendahulu bagi kedua-dua kejohanan dengan catatan 3'16:37.3s.

"Program ini secara tidak langsung dapat mempromosikan Johor dengan lebih meluas kepada pelancong luar negara dan kita akan adakan lebih banyak kerjasama dengan agensi kerajaan yang berkaitan serta penyertaan pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO)," kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong.

Keseluruhannya, 34 jentera dari Malaysia, Perancis, Finland, New Zealand, Thailand, Jepun, India dan Indonesia bersaing MRC yang diadakan serentak dengan perlumbaan APRC 2013.

Sumber: Utusan

Gambar Belangkas