Monday, August 26, 2013

Sasaran 3 teratas Sukan Sea 2013 Myanmar tidak realistik


PETALING JAYA - Secara realistiknya kontinjen negara diakui memang tidak boleh meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok tiga teratas Sukan SEA XXVII Myanmar dari 11 hingga 22 Disember ini, kata ketua kontinjen, Datuk Wira Amiruddin Embi.

Katanya, sasaran awal sebanyak 40 hingga 45 pingat emas oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM), baru-baru ini turut sukar untuk meletakkan kontinjen negara ke kedudukan itu namun yang penting ialah sejauh mana persediaan atlet untuk memburu pingat itu di Myanmar sebelum mencapai peningkatan pada Sukan Asia dan Komanwel pula.

"Dari segi sasaran, MOM kata 40 hingga 45 emas, jadi kita memang tidak boleh ke tiga teratas dan perlu bersikap realistik. Namun persatuan sukan juga perlu ada perancangan bagi dua atau tiga tahun dengan Sukan SEA sebagai medan persediaan awalnya untuk mula meningkat," katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) menyifatkan Kumpulan B Siri Tujuh Sepasukan Ragbi Asia 2013 yang menemukan skuad negara dengan China dan Korea Selatan, sebagai agak sukar tetapi masih mampu disaingi berdasarkan rekod pencapaian tahun lalu.

"Pasukan kita pernah mengalahkan kedua-duanya di Mumbai, tahun lalu. Kali ini saya lihat pasukan kita lebih bersedia berbanding tahun lalu sejak dikumpulkan dua bulan lalu. Mereka juga ke Perth bagi menentang kelab Australia Barat. Kita juga akan bermain pada Hari Kebangsaan yang pastinya menjadikan pasukan lebih bersemangat.

"Dengan kemasukan empat pemain import dari Fiji, saya yakin pasukan negara mampu mencapai sasaran empat teratas Siri Tujuh Sepasukan Asia ini," katanya pada majlis undian rasmi kejohanan yang turut dihadiri Setiausaha Agung Kesatuan Ragbi Asia, Ross Mitchell di sebuah hotel di Damansara dekat sini, semalam.

Kumpulan A dalam aksi di Stadium Petaling Jaya dari Sabtu hingga Ahad ini pula mengandungi juara bertahan, Hong Kong, Thailand dan Singapura manakala Taiwan, Filipina dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) membentuk Kumpulan C sementara D dibarisi naib juara tahun lalu - Jepun, Sri Lanka dan Kazakhstan.

Sumber: Utusan

Piala Malaysia 2013: Kelantan menang 2-0 ke atas Terengganu



KOTA BHARU - Biarpun berjaya mengutip tiga mata penuh dengan menumpaskan Terengganu 2-0 dalam aksi kedua Piala Malaysia kelmarin, namun pengendali Kelantan, Bojan Hodak tetap kecewa kerana ketumpulan jentera serangan menyebabkan The Red Warriors gagal berpesta gol.

Tegas Hodak, jentera serangannya gagal menyudahkan banyak peluang untuk menjaringkan gol pada perlawanan tersebut dan beliau memandang serius situasi itu menjelang pertemuan dengan Negeri Sembilan, esok.

"Saya harap masalah ketumpulan jentera serangan yang dialami Kelantan dapat diperbaiki dengan segera kerana saingan akan menjadi lebih sengit selepas ini.

"Namun begitu, saya percaya masalah ini dapat pulih tidak lama lagi kerana Dickson Nwakaeme semakin mendapat rentak sebenar dengan menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan.

"Anda boleh lihat bagaimana dia berusaha keras dan berjaya membentuk gandingan mantap bersama Mohd. Nor Farhan Mohamad, Indra Putra Mahyuddin dan Piya (Mohd. Badhri Radzi) pada perlawanan tersebut," katanya semalam.

Pada perlawanan kelmarin, Kelantan meledak gol pertama pada minit ke-10 apabila Nwakaeme yang tidak dikawal melonjak tinggi untuk menanduk bola hasil lambungan ketua pasukan Mohd. Badhri.

Pemain gantian, Zairol Anuar Zailani menambah derita Skuad Peteh dengan menyumbat gol kedua menerusi sepakan percuma terus dari jarak 25 meter.

Seandainya, ketumpulan jentera serangan tidak menghantui The Red Warriors berkemungkinan besar, juara bertahan itu mampu berpesta gol dalam perlawanan tersebut selepas melancarkan serangan bertali arus ke kubu pelawat.

Sumber: Utusan

Wan Yu Rally dari China juara MRC 2013 Johor Bahru



JOHOR BAHRU - Pasukan Wan Yu Rally menerusi gandingan Fan Fan dan Fang Jun Wei dari China muncul pemenang pusingan kedua Kejuaraan Rali Malaysia (MRC) 2013 yang menutup tirainya di letak kereta di Plaza Angsana, di sini semalam.

Kombinasi mantap pemandu jentera Mitsubishi Lancer 4WD itu meninggalkan pasukan dari Perancis, Daniel Palau dan Thierry Song dengan masa 3 jam 14 minit dan 39 saat,3:45s meninggalkan pesaing mereka.

Jaguh rali negara, Karamjit Singh bersama Jagdev Singh yang memandu Proton Satria Neo untuk pasukan Proton R3 Rally Team terpaksa berpuas hati di tempat ketiga dengan masa 3'20:21s.

Bagi Kejohanan Rali Asia Pacifik (APRC) 2013, pasangan New Zealand, Michael Young dan Malcolm Read dari Cusco Racing yang memandu Toyota Vitz RS muncul satu-satunya pasukan yang berjaya menghabiskan perlumbaan kelmarin dan semalam sekali gus memenangi pusingan keempatdengan catatan masa 3'52:28.8s.

Sementara itu dalam saingan Asia/Junior Cup dan MR13, tuah menyebelahi pelumba dari Jepun, Shuhei Muta dan pemandu arah, Takahiro Yasui yang mewakili pasukan Cusco Racing apabila muncul pendahulu bagi kedua-dua kejohanan dengan catatan 3'16:37.3s.

"Program ini secara tidak langsung dapat mempromosikan Johor dengan lebih meluas kepada pelancong luar negara dan kita akan adakan lebih banyak kerjasama dengan agensi kerajaan yang berkaitan serta penyertaan pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO)," kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong.

Keseluruhannya, 34 jentera dari Malaysia, Perancis, Finland, New Zealand, Thailand, Jepun, India dan Indonesia bersaing MRC yang diadakan serentak dengan perlumbaan APRC 2013.

Sumber: Utusan

Moto3 Grand Prix Czech: Zulfahmi sekadar tangga ke-15



KUALA LUMPUR 25 Ogos - Pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin sekadar mengutip satu mata pada pelumbaan GP Czech selepas menduduki tangga ke-15 malam ini.

Pelumba Red Bull KTM Ajo dari Banting, Selangor itu kini mengumpul 50 mata daripada 11 perlumbaan musim ini untuk menduduki tangga ke-10 keseluruhan.

Pada perlumbaan itu, rakan sepasukan Zulfahmi, Lois Salom dari Sepanyol muncul juara mengatasi Maverick Vinales di tempat kedua manakala tempat ketiga milik Jonas Folger dari Jerman. 

Sumber: Utusan

Pergelangan tangan kiri putus dilibas samurai



TAWAU – Tendon pergelangan tangan kiri seorang wanita  putus selepas ditetak dengan pedang samurai oleh seorang lelaki di hadapan rumahnya di Taman Semarak di sini malam semalam.
Dalam kejadian 8.30 malam itu, lelaki berkenaan dikatakan naik berang  selepas wanita berusia 43 tahun itu menegurnya kerana membuat bising di hadapan rumahnya.
Ketua Polis Daerah Tawau Asistan Komisioner Awang Besar Dullah berkata wanita itu kini dirawat di Hospital Tawau dan keadaannya dilaporkan stabil.
Polis telah mengenal pasti suspek yang didapati tinggal di kawasan perumahan yang sama dan melarikan diri menggunakan kereta Perodua Myvi, kata Awang Besar kepada pemberita. – Bernama

ATM sekat harapan Selangor buru Piala Malaysia ke-33



KUALA LUMPUR - Selangor memilih jalan berliku dalam memburu kejuaraan Piala Malaysia ke-33 apabila tewas 2-3 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam perlawanan kedua di Stadium Shah Alam semalam.
Selangor yang berada dalam Kumpulan A terpaksa akur dengan kekuatan ATM walaupun beraksi di tempat sendiri apabila dikejutkan dengan gol pembukaan pelawat melalui Hairuddin Omar pada minit ke-14.

Amri Yahyah berjaya menyamakan kedudukan menerusi pada minit ke-29, tetapi naib juara Piala Malaysia 2012, ATM menambah gol kedua melalui Fitri Omar dan menjadikan kedudukan lebih selesa dengan gol ketiga sumbangan Christie Jayaseelan. Pada masa kecederaan Selangor menambah gol kedua hasil jaringan S. Kunanlan.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, menyaksikan Sime Darby tewas 1-2 kepada Johor.

Di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Darul Takzim (DT) yang berada dalam Kumpulan B meraih tiga mata apabila mengalahkan Felda United 1-0 dengan gol kemenangan disumbangkan pemain kebangsaan, Safee Sali pada minit ke-74.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, tuan rumah T-Team gagal menggunakan kesempatan beraksi di tempat sendiri apabila tewas 0-1 kepada PKNS. Gol tunggal pelawat dijaringkan pemain import, Roman Chmelo pada minit ke-33 untuk membolehkan PKNS berada di tangga teratas Kumpulan B. Lebih malang pasukan tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila George Boateng dilayangkan kad merah pada minit ke-36.

Sementara itu, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pertembungan Kumpulan C, menyaksikan Negeri Sembilan gagal menggunakan kelebihan di gelanggang sendiri apabila dimalukan Pahang 3-5 dengan pemain tuan rumah S. Sivanesan melakukan hatrik melalui gol pada minit ke-48, 74 dan 76.

Gol Pahang disumbangkan oleh Azamuddin Akil pada minit ke-23, diikuti R. Gopinathan (51, 66). Matias Conti menyumbat gol keempat pada minit ke-64, diikuti jaringan terakhir Amirul Hadi Zainal.

Di Stadium Sultan Muhammad IV, satu lagi aksi Kumpulan C menyaksikan juara bertahan, Kelantan menewaskan Terengganu, 2-0. Dickson Nwakaeme menanduk gol pertama tuan rumah seawal minit ke-10.

Tuan rumah menambah jaringan kedua pada minit ke-72 menerusi sepakan percuma Zairol Anuar Zailani dari jarak 25 meter.

Di Stadium Darul Aman, bagi perlawanan Kumpulan D, Kedah dan Perak berkongsi mata apabila terikat 1-1. Pelawat di depan pada minit ke-58 menerusi Khairul Asyraf Shaizah, namun tuan rumah menyamakan kedudukan hasil gol pemain import, Alen Guc.

Sumber: Utusan

Teong Kim tidak berminat layan Peter Butler



KUALA LUMPUR - Selepas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong menempelak Peter Butler kelmarin, semalam tiba giliran Lim Teong Kim pula memberi pandangannya selepas beliau dikutuk oleh pengendali dari England itu di laman sosial, Twitter baru-baru ini.

Butler mempersoalkan pelantikan Teong Kim sebagai Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara Rabu lalu dan menyatakan bahawa dia tidak mengenali Teong Kim dan menganggap pemilihan tersebut lebih kepada penjimatan kos.

Semalam Teong Kim sendiri memberi komen terhadap isu tersebut dengan menegaskan beliau tidak perlu melayan kritikan bekas jurulatih T-Team, Terengganu dan Kelantan itu.

Menurutnya, beliau lebih berminat untuk melaksanakan tugasnya dengan mencari pemain-pemain muda berbakat untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa berbanding mendengar kritikan jurulatih yang kerap menimbulkan masalah.

"Saya tidak kisah dengan pandangan Butler yang dikatakan menghina saya sebagai jurulatih berpengalaman di peringkat Eropah," kata bekas penolong jurulatih bawah 19 tahun (B-19) Bayern Munich itu.

Jelasnya, beliau agak terkejut dengan kenyataan yang dilemparkan Butler dan tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku dan dia juga langsung tidak mengenali Butler.

"Saya tidak mahu mengambil kisah terhadap pandangannya.

"Saya boleh menerima kritikan dan saya tidak memerlukan motivasi daripadanya kerana saya sendiri yang memotivasikan pemain dan jurulatih," katanya kepada media di Kelab Diraja Selangor Bukit Kiara, semalam.

Sebelum ini Butler menerusi laman sosial, Twitter, lantang mempertikaikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang bertindak melantik Teong Kim sebagai Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara.

Kontroversi itu bukan yang pertama dicetuskan oleh Butler, malah dia juga pernah mengkritik skuad Harimau Muda A, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh selain menyelar Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Ahmad Khawari Isa di laman sosial.

Dalam pada itu, Teong Kim berkata, beliau perlu banyak mengkaji sistem pembangunan yang sedia ada terutama melibatkan pada pendidikan pemain dan jurulatih.

"Saya pernah menyatakan perkara ini kepada Khairy yang mana kita perlu mengutamakan sistem yang tepat khusus kepada pendidikan jurulatih dan pemain.

"Paling mustahak adalah cara kita untuk mengendalikan sistem ini. Tiada ada perbuatan yang sia-sia sekiranya kita membina infrastruktur yang memiliki harga tinggi tetapi tidak tahu cara untuk mengekalkannya," katanya.

Sumber: Utusan

Gambar Belangkas