Monday, August 26, 2013

Hoki Piala Asia 2013: Malaysia belasah Taiwan 10-2



IPOH - Malaysia memulakan kempen Piala Asia 2013 dengan meraih bekalan selesa bagi meneruskan baki dua perlawanan peringkat Kumpulan A apabila berpesta gol membelasah Taiwan 10-2 di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, sini, semalam.

Jumlah jaringan besar itu membolehkan Malaysia menjadi pendahulu Kumpulan A ketika ini, sekali gus mampu menyelamatkan tuan rumah untuk menamatkan saingan selaku juara kumpulan sekiranya kekal dengan kemenangan menentang Pakistan hari ini dan Jepun, Selasa depan.

Jurulatih kebangsaan Paul Revington berkata, jumlah jaringan besar tersebut memang tidak dijangka kerana tidak memandang mudah perlawanan semalam.

"Sebelum ini saya hanya menjangkakan perlawanan yang baik oleh pemain saya pada perlawanan menentang Taiwan.

"Esok (hari ini) saya percaya pemain mampu menghadapi Pakistan untuk aksi kedua peringkat kumpulan dan cuba memperbaiki beberapa kelemahan yang ada," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan menentang Taiwan, di sini, semalam.

Aksi pertama Malaysia menentang Taiwan dimulakan dengan penghormatan buat mendiang Chua Boon Huat dengan bertafakur selama seminit.

Pada perlawanan tersebut Taiwan yang menghuni ranking ke-50 dunia terlebih dahulu mendapatkan jaringan menerusi Liu Ching Kun pada minit kelima akibat kesilapan yang dilakukan oleh benteng pertahanan skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, Malaysia yang merupakan pasukan keempat terbaik Asia tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan menerusi penyerang Faizal Saari pada minit ke-11 hasil pukulan sudut penalti dan pemain tersebut turut menambah gol kedua skuad kebangsaan dua minit selepas itu juga menerusi pukulan sudut penalti.

Tiga lagi gol tuan rumah pada separuh masa pertama diraih menerusi Muhammad Firhan Ashaari minit ke-18, Muhammad Razie Abd. Rahim (21) dan Muhammad Marhan Mohd. Jalil (32).

Bermula babak kedua menyaksikan aksi lebih bertenaga skuad bimbingan Revington apabila mudah menambah jaringan keenam menerusi gol padang Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin pada minit ke-39.

Malaysia terus menambah derita pasukan lawan dengan meledak gol ketujuh hasil jaringan Nabil Fiqri Mohd. Noor minit ke-46 sebelum Taiwan meraih gol kedua minit ke-47 hasil pukulan Tseng Hsien-Yi.

Mohd. Fitri Saari menambah jaringan kelapan pada minit ke-62 manakala gol sembilan diperolehi menerusi Muhammad Firhan minit ke-67 dan gol kesepuluh hasil pukulan Faizal minit ke-69.

Sementara itu, Pakistan yang meraih kemenangan 7-0 menewaskan Jepun dalam aksi sama yakin pasukan mereka akan menjadi lebih baik ketika menentang Malaysia hari ini.

Pengurusnya, Akhtar Rasool berpendapat perlawanan menentang Malaysia bakal menjadi aksi paling menarik pada Piala Asia kali ini.

"Malaysia mempunyai permainan pantas yang amat baik dan saya percaya ia akan menjadi satu perlawanan yang amat hebat buat kami," kata Akhtar.

"Dalam masa sama juga saya ingin mengucapkan takziah buat pasukan Malaysia atas kehilangan Chua Boon Huat. Bagi saya mendiang adalah penyerang yang amat bagus di miliki pasukan tuan rumah," kata Akhtar.

Keputusan lain menyaksikan India memperoleh kemenangan 8-0 ke atas Oman dalam saingan Kumpulan B.

Sumber: Utusan

KAFA enggan mengulas isu dadah seorang pemain pertahanan


KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengambil keputusan untuk 'mengunci mulut' daripada mengulas isu membabitkan seorang tonggak pertahanan The Red Warriors yang disyaki gagal ujian doping selepas perlawanan akhir Piala FA di antara Kelantan dan Johor Darul Takzim di Stadium Nasional Bukit Jalil, 29 Jun lalu.

Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya menggunakan pendekatan tersebut yang merupakan sebahagian daripada peraturan bagi mengelakkan 'subjudis' kerana Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) belum membuat keputusan berhubung isu berkenaan.

"Apa jua perkara yang masih dalam proses perbicaraan, jika KAFA membuat kenyataan kepada media ia menjadi satu kesalahan. Kita khuatir ia akan mengganggu proses perbicaraan yang belum selesai dan bercanggah.

"Sebab itulah dalam isu doping ini kita berbuat demikian dan ia merupakan sebahagian daripada peraturan yang perlu diikuti, jadi langkah terbaik ialah dengan berdiam diri daripada memberi sebarang kenyataan. KAFA sangat peka kepada peraturan dan prosedur, ia telah menjadi sebahagian daripada amalan dalam pengurusan," katanya ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra Aidilfitri bersama warga kerja Mara Kelantan di sini, semalam.

Annuar memberitahu, kes tersebut menjadi lebih rumit apabila FAM mengeluarkan kenyataan awal sedangkan perbicaraan masih belum berjalan.

"Bila Pengurusi Jawatankuasa Tatatertib kata 'saya akan membicarakan orang itu' ia boleh menimbulkan polemik. Sepatutnya beliau tidak boleh keluarkan apa-apa kenyataan sehinggalah proses tersebut selesai, barulah tidak timbul sebarang polemik," ujarnya lagi.

Katanya, setiap kali aksi final pemain pasukan yang beraksi dalam perlawanan tersebut akan menjalani ujian doping secara rawak.

Annuar berkata, jika positif ujian pertama, pemain berkenaan boleh melakukannya buat kali kedua di India untuk mengesahkan keputusan tersebut selari atau tidak dengan yang awal.

"Bila habis proses tersebut, barulah pergi ke Jawatankuasa Tatatertib.

"Jawatankuasa Tatatertib ada proses dia termasuklah menghukum dan keputusan ujian doping itu tidak terhenti di situ sahaja.

"Ada proses rayuan dan Jawatankuasa Tatatertib harus memberi peluang kepada pemain terbabit untuk membuat penjelasan berhubung apa yang di ambil. Jika ubat, ubat apa yang dimakan, jika dadah, jenis apa yang diambil," jelasnya.

Dalam pada itu, Annuar mengesahkan pemain tersebut terus digantung sebaik sahaja didapati positif dan ia sama sekali tidak menjejaskan tumpuan pasukan.

Sumber: Utusan

Nadal dan Williams teruskan rekod kemenangan Terbuka AS 2013



NEW YORK 27 Ogos - Rafael Nadal dan Venus Williams masing-masing menambah rekod kemenangan peribadi di gelanggang keras dengan mara ke pusingan kedua Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat pagi ini.

Nadal yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan dan menjuarainya pada tahun 2010 dan menjadi penonton pada kejohanan 2012 gara-gara kecederaan menang 6-4, 6-2, 6-2 ke atas pemain tuan rumah yang beraksi atas tiket wildcard, Ryan Harrison.

Sementara itu, Williams yang juga juara pada tahun 2000 dan 2001 - pemain paling tua dalam kejohanan, 33 tahun, bermula dengan baik 6-1, 6-2 ke atas lawannya dari Belgium yang juga pilihan ke-12, Kirsten Flipkens.

Williams yang menghuni ranking 60 dunia akan berdepan pemain China, Zheng Jie dalam perlawanan berikutnya. - Agensi

Sumber: Utusan

Bekas pemain sepak takraw negara meninggal dunia


KUALA LUMPUR - Bekas pemain sepaktakraw kebangsaan, Mohd. Fauzi Ghadzali meninggal dunia akibat kanser kelenjar di Hospital Besar Pulau Pinang, semalam.

Mohd. Fauzi, 33, menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira 5.45 semalam, menurut anak saudara Allahyarham, Mohd. Khairil Ridzwan.

Mohd Khairil berkata bapa saudaranya itu menerima rawatan di Hospital Besar Pulau Pinang sejak tiga bulan lalu dan keadaannya menjadi semakin kritikal sejak sebulan lepas.

Allahyarham meninggalkan isteri Solehah Omar, 30, dan lima anak berusia antara tujuh bulan dan lapan tahun.

Jenazah dikebumikan di Permatang Pauh, Pulau Pinang selepas solat Zohor semalam, kata Mohd. Khairil, 29, ketika dihubungi Bernama.

"Kami sekeluarga sangat terasa dengan kehilangan arwah yang merupakan individu peramah, dan anak-anaknya juga masih kecil," katanya.

Berasal dari Pulau Pinang, Mohd. Fauzi, bekas pemain kebangsaan bagi posisi tekong pernah membantu pasukan negara meraih sebutir perak dan sebutir gangsa pada temasya Sukan Asia Busan 2002 dan dua perak pada Sukan SEA Vietnam 2003.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, negara kehilangan antara bekas pemain tekong terbaik yang pernah mengharumkan nama negara.

"Saya mendapat berita pemergian beliau di Twitter pagi tadi. Saya telah meminta Majlis Sukan Negara melihat beberapa perkara yang perlu dibantu bagi meringankan beban keluarga Allahyarham," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada satu majlis di Bukit Kiara, semalam. - BERNAMA

Sumber: Utusan

Mesut Ozil tunjuk isyarat bakal keluar dari Real Madrid


Khabar angin yang kuat mengatakan bintang Real Madrid, Mesut Ozil bakal ke kelab gergasi EPL iaitu Manchester United mungkin menjadi kenyataan. Pada perlawanan Granada menentang Real pada 27/8/2013, Ozil menunjukkan isyarat yang dia bakal keluar dari Real Madrid. Pada perlawanan tersebut, Ozil yang dikeluarkan pada separuh masa kedua terus masuk ke terowong bilik persalinan dan itu menguatkan lagi spekulasi yang beliau bakal berpindah ke kelab lain.

Ozil dikaitkan bakal ke United musim ini kerana Moyes bakal meletakkan bidaan sebanyak £38m untuk mendapatkan Ozil dari Real Madrid. Adakah Ozil akan memilih United sebagai kelab pilihannya musim ini ataupun terus kekal bersama Real?

La Liga 27/8/2013: Real Madrid menang 1-0 ke atas Granada



GRANADA, Sepanyol 27 Ogos - Jaringan Karim Benzema membantu Real Madrid menang tipis 1-0 ke atas Granada dalam saingan bola sepak Liga Sepanyol awal pagi ini.

Jaringan Benzema seawal minit kesepuluh permainan berpunca daripada gerakan menarik rakan sepasukan, Angel Di Maria. - Agensi

Sumber: Utusan

EPL 2013: Pemain baru Spurs, Soldado muncul wira



LONDON - Roberto Soldado sekali lagi muncul wira Tottenham Hotspur pada permulaan Liga Perdana Inggeris musim ini dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-58 untuk menewaskan Swansea 1-0, meletakkan mereka enam mata maksimum untuk dua perlawanan.

Penyerang antarabangsa Sepanyol itu yang tiba dari Valencia dengan yuran perpindahan RM132.5 juta telah meledak empat jaringan dalam tiga perlawanan turut membantu kemenangan Spurs ketika menewaskan Crystal Palace 1-0.

Gol tunggal dalam perlawanan itu diperoleh melalui sepakan penalti dengan menewaskan Michel Vorm pada minit ke-58 selepas Andros Townsend dijatuhkan oleh Jonjo Shelvey.

Kemenangan Spurs itu ternyata sedikit sebanyak mengurangkan rasa sedih para penyokongnya yang bakal kehilangan pemain bintang mereka, Gareth Bale yang akan menyertai Real Madrid tidak lama lagi di samping membuktikan mereka mampu 'hidup' tanpa khidmat pemain antarabangsa Wales berkenaan.

Kejayaan meraih tiga mata itu memberikan Spurs permulaan paling baik semenjak empat musim lalu manakala Swansea terus dirundung malang kerana hanya meraih dua kemenangan dalam 13 aksi terakhir semenjak memenangi Piala Liga pada Februari lalu.

Dalam perlawanan tersebut, Tottenham ternyata lebih menyerlah berbanding lawannya dengan mengawal permainan malahan aksi beberapa pembelian terbaru mereka tidak menghampakan seperti Etienne Capoue, Nacer Chadli dan Paulinho.

Penjaga gol Swansea, Vorm beraksi cemerlang dengan banyak menyelamatkan percubaan jarak jauh daripada Paulinho sementara Hugo Lloris tidak kurang hebatnya apabila menafikan pelawat mendapatkan gol melalui Wayne Routledge dan Michu.

Penyokong Spurs pada mulanya cukup kecewa dengan keputusan pengadil tidak mahu memberikan sepakan penalti walaupun Townsend secara jelas dijatuhkan oleh Shelvey, namun hanya diberikan sepakan percuma.

Namun, kehampaan mereka terubat apabila pengadil, Neil Swarbick akhirnya tidak melakukan kesilapan serupa apabila dia memberikan sepakan penalti selepas Townsend yang sekali lagi dihalang oleh Shelvey.

Soldado ternyata tidak ada masalah untuk menyempurnakan sepakan penalti berkenaan dan Spurs berjaya mempertahankan keputusan berkenaan sehingga tamat permainan dengan Lloris sekali lagi menjadi watak penting menafikan hajat Swansea mencuri sekurang-kurangnya satu mata dengan menepis bola rembatan Chico Flores. - AGENSI

Sumber: Utusan

Gambar Belangkas