Monday, August 26, 2013

Liverpool perlu tingkatkan prestasi jika mahu jadi juara EPL 2013



BIRMINGHAM - Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers mahu pemainnya mengekalkan momentum dan meningkatkan prestasi menjelang pertemuan dengan musuh ketat, Manchester United hujung minggu ini.

Kelmarin, The Reds meneruskan permulaan cemerlang apabila melakar kemenangan kedua berturut-turut dalam musim baru Liga Perdana Inggeris dengan menundukkan Aston Villa 1-0.

Jaringan tunggal penyerang, Daniel Sturridge di Villa Park sudah cukup untuk menghadiahkan tiga mata buat The Reds.

Kemenangan itu membolehkan mereka mengutip enam mata maksimum daripada dua perlawanan. Kemenangan kedua ini, selepas terdahulu menumpaskan Stoke City juga menerusi keputusan 1-0 memberi amaran kepada pencabar lain bahawa Liverpool bakal menjadi pencabar utama bagi merebut tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.

Namun, pertembungan dengan United di Anfield, Ahad ini bakal menguji keupayaan sebenar Liverpool. Ia menjadi peluang terbaik mereka untuk mengelak daripada mengulangi detik hitam musim lalu, apabila memulakan musim dengan prestasi hambar dan gagal memenangi sebarang perlawanan sehinggalah 29 September.

Ini merupakan kali pertama dalam tempoh lima tahun, Liverpool berjaya memenangi kedua-dua perlawanan awal serta mengelak sebarang kekalahan dalam 10 aksi terakhir.

"Pemain semakin menunjukkan kekuatan mental dan ini cukup penting bagi memastikan kami mampu kekal konsisten pada perlawanan-perlawanan akan datang.

"Kami tidak bermula dengan baik tahun lalu dan sebaik memulakan saingan tahun ini, kami bertambah baik dalam setiap perlawanan, " kata Rodgers.

Pemain antarabangsa England, Sturridge yang menjaringkan lapan gol dalam tujuh penampilan bersama Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) melakukan gerakan solo yang menarik pada minit ke-21 dengan melepasi kawalan dua pertahanan lawan serta penjaga gol, Brad Guzan sebelum menyepak masuk bola ke dalam gawang.

"Secara taktikalnya, kami perlu bermain berbeza daripada perlawanan-perlawanan sebelum ini dan saya cukup bangga dengan komitmen yang ditunjukkan oleh pemain.

"Aston Villa telah menunjukkan prestasi yang sangat baik dalam dua perlawanan sebelum ini. Mereka cukup berbahaya dalam situasi serangan balas dan mempunyai kualiti mengatur serangan.

"Pada separuh masa pertama, kami mengawal permainan dan ruang sepenuhnya tetapi memasuki babak kedua kami terpaksa sedikit bertahan serta cuba menafikan ruang untuk pemain lawan bergerak dan berlari, " katanya.

Selepas menang penuh bergaya ke atas Arsenal dan memberi tentangan sengit sebelum kalah 2-1 kepada Chelsea, skuad bimbingan Paul Lambert terpaksa akur dengan kekebalan pertahanan dan kecemerlangan penjaga gol Liverpool, Simon Mignolet.

"Kami sentiasa bersaing dalam perlawanan ini dan kami hanya ditewaskan dengan satu jaringan oleh pihak lawan.

"Saya tidak boleh terlalu kritikal terhadap pemain kerana mereka telah memberi segalanya dan skuad ini terdiri ramai daripada pemain muda, " katanya. - AFP

Sumber: Utusan

F1 GP Belgium 2013: Sebastian Vettel juara



SPA FRANCORCHAMPS, Belgium 25 Ogos - Juara dunia tiga kali, Sebastian Vettel mengukuhkan cengkaman untuk mengejar kejuaraan dunia keempat selepas muncul juara Grand Prix Belgium, yang juga kemenangan kelimanya musim ini.

Pemandu Red Bull berusia 26 tahun itu tidak berdepan masalah besar apabila meninggalkan pemandu Ferrari, Fernando Alonso dengan kelebihan 16.869 saat di hadapan sementara Lewis Hamilton dari pasukan Mercedes berada di tempat ketiga.

Kemenangan itu membantu Vettel memungut 197 mata secara keseluruhan, jauh meninggalkan Alonso di tangga kedua dengan 151 mata dan Hamilton meraih 139 mata sementara bagi kategori pengeluar, Red Bull juga unggul di hadapan dengan 312 mata.

Rakan sepasukan Hamilton, Nico Rosberg berada di tempat keempat diikuti seorang lagi pemandu Red Bull, Mark Webber yang berada di tangga kelima dan pemandu McLaren, Jenson Button, di tempat keenam.

Sementara itu, pelumba Lotus, Kimi Raikkonen buat pertama kali gagal menamatkan perlumbaan semenjak kembali ke kancah Formula Satu apabila terpaksa menghentikan perlumbaan pada pusingan ke-39 ekoran masalah brek. - AFP

Sumber: Utusan

MotoGP Gran Prix Czech 2013: Marc Marquez juara



BRNO 25 Ogos - Penunggang Repsol Honda dari Sepanyol, Marc Marquez menjuarai MotoGP Grand Prix Czech iaitu kemenangan keempatnya musim ini sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai pendahulu keseluruhan.

Pada perlumbaan hari ini, Marques meninggalkan rakan sepasukan Dani Pedrosa di tempat kedua dan penyandang juara dunia Jorge Lorenzo dari Yamaha yang juga dari Sepanyol. - AFP

Sumber: Utusan

Serie A 2013: Jaringan Tevez bantu Juventus menang 1-0



MILAN 25 Ogos - Penyerang Argentina, Carlos Tevez menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk membantu Juventus menang 1-0 ke atas Sampdoria ketika AC Milan dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada Verona dalam saingan Serie A semalam. - Agensi

Sumber: Utusan

Keputusan EPL 25/8/2013: Liverpool dan Arsenal menang



BIRMINGHAM 25 Ogos - Liverpool menang 1-0 ke atas Aston Villa hasil jaringan Daniel Sturridge sekali gus mengekalkan permulaan yang kuat dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini. - Agensi

Keputusan:

  • Aston Villa 0 - 1 Liverpool
  • Everton 0 - 0 West Brom
  • Fulham 1 - 3 Arsenal
  • Hull 1 - 0 Norwich
  • Newcastle 0 - 0 West Ham
  • Southampton 1 - 1 Sunderland
  • Stoke 2 - 1 Crystal Palace


Sumber: Utusan

Messi terpaksa direhatkan akibat kecederaan



MADRID 25 Ogos - Pemain Terbaik Dunia Lionel Messi yang masih cedera akan terlepas aksi bersama Barcelona menentang Malaga dalam saingan Liga Sepanyol hari ini.

Messi yang diturunkan sebagai pemain gantian semasa Barca seri 1-1 dengan Atletico Madrid disahkan oleh pengurus pasukan, Gerardo Martino tidak akan disenaraikan sebagai langkah enggan memburukkan lagi keadaannya. - Agensi

Sumber: Utusan

EPL 25/8/2013: Arsenal menang 3-1 ke atas Fulham



LONDON - Arsenal berjaya mengatasi krisis awal musim dengan cepat apabila mencatat kemenangan 3-1 ke atas Fulham bagi membolehkan mereka meraih mata Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama dalam perlawanan kedua semalam.

Lukas Podolski meledak dua gol selepas Olivier Giroud menyumbat jaringan pembukaan buat pasukan pelawat, sementara Darren Bent pula berjaya mencatat nama sebagai penjaring dalam penampilan pertamanya bersama Fulham.

Ia adalah kali kedua Arsenal berjaya menjaringkan tiga gol dalam tempoh empat hari selepas mereka melakukan perkara yang sama Rabu lalu selepas menang ke atas Fenerbahce 3-0 dalam perlawanan playoff Liga Juara-Juara.

The Gunners tidak menunggu lama untuk berada di depan apabila Olivier Giroud merembat masuk bola melalui kaki kiri dari jarak dekat pada minit ke-14 selepas mendapat hantaran daripada Aaron Ramsey.

Bagaimanapun, Arsenal terpaksa menunggu sehingga penghujung separuh masa kedua untuk menambah jaringan kali ini melalui Lukas Podolski pada minit ke-41.

Podolski terus menjadi duri dalam daging buat pasukan lawan, apabila menambah gol ketiga Arsenal pada minit ke-68 dengan merembat masuk melalui kaki kiri dari dalam petak penalti selepas menerima hantaran Santiago Cazorla.

Pada minit ke-77 Fulham berjaya memperoleh gol saguhati apabila penyerang mereka, Darren Bent melepaskan rembatan kaki kiri menuju ke bahagian kiri pintu gol Arsenal.

Kemenangan semalam sedikit sebanyak mengubat kekecewaan pada perlawanan pertama apabila mereka tumpas 1-3 kepada Aston Villa hujung minggu lalu.

Sekarang ini kedua-dua pasukan sudah meraih tiga mata selepas dua perlawanan EPL musim 2013/14, apabila Fulham sebelum ini berjaya mengalahkan Sunderland 1-0 dalam perlawanan pertama mereka. - REUTERS

Sumber: Utusan

Gambar Belangkas