Monday, August 26, 2013

Messi terpaksa direhatkan akibat kecederaan



MADRID 25 Ogos - Pemain Terbaik Dunia Lionel Messi yang masih cedera akan terlepas aksi bersama Barcelona menentang Malaga dalam saingan Liga Sepanyol hari ini.

Messi yang diturunkan sebagai pemain gantian semasa Barca seri 1-1 dengan Atletico Madrid disahkan oleh pengurus pasukan, Gerardo Martino tidak akan disenaraikan sebagai langkah enggan memburukkan lagi keadaannya. - Agensi

Sumber: Utusan

EPL 25/8/2013: Arsenal menang 3-1 ke atas Fulham



LONDON - Arsenal berjaya mengatasi krisis awal musim dengan cepat apabila mencatat kemenangan 3-1 ke atas Fulham bagi membolehkan mereka meraih mata Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama dalam perlawanan kedua semalam.

Lukas Podolski meledak dua gol selepas Olivier Giroud menyumbat jaringan pembukaan buat pasukan pelawat, sementara Darren Bent pula berjaya mencatat nama sebagai penjaring dalam penampilan pertamanya bersama Fulham.

Ia adalah kali kedua Arsenal berjaya menjaringkan tiga gol dalam tempoh empat hari selepas mereka melakukan perkara yang sama Rabu lalu selepas menang ke atas Fenerbahce 3-0 dalam perlawanan playoff Liga Juara-Juara.

The Gunners tidak menunggu lama untuk berada di depan apabila Olivier Giroud merembat masuk bola melalui kaki kiri dari jarak dekat pada minit ke-14 selepas mendapat hantaran daripada Aaron Ramsey.

Bagaimanapun, Arsenal terpaksa menunggu sehingga penghujung separuh masa kedua untuk menambah jaringan kali ini melalui Lukas Podolski pada minit ke-41.

Podolski terus menjadi duri dalam daging buat pasukan lawan, apabila menambah gol ketiga Arsenal pada minit ke-68 dengan merembat masuk melalui kaki kiri dari dalam petak penalti selepas menerima hantaran Santiago Cazorla.

Pada minit ke-77 Fulham berjaya memperoleh gol saguhati apabila penyerang mereka, Darren Bent melepaskan rembatan kaki kiri menuju ke bahagian kiri pintu gol Arsenal.

Kemenangan semalam sedikit sebanyak mengubat kekecewaan pada perlawanan pertama apabila mereka tumpas 1-3 kepada Aston Villa hujung minggu lalu.

Sekarang ini kedua-dua pasukan sudah meraih tiga mata selepas dua perlawanan EPL musim 2013/14, apabila Fulham sebelum ini berjaya mengalahkan Sunderland 1-0 dalam perlawanan pertama mereka. - REUTERS

Sumber: Utusan

United tingkatkan bidaan ke atas Mesut Ozil kepada £30m



LONDON - Manchester United bakal melancarkan bidaan 30 juta pound (RM154.22 juta) untuk mendapatkan bintang tengah Jerman, Mesut Ozil daripada Real Madrid.

Difahamkan, Ozil telah memilih United sebagai pasukan yang akan menjadi destinasi barunya andai dia menerima tawaran pada pasaran perpindahan.

Real sebelum ini mengumumkan bahawa Ozil boleh dibeli oleh mana-mana pasukan dan pengurus United, David Moyes mahu memastikan bintang Jerman itu berpindah ke Old Trafford.

Moyes beralih kepada Ozil, 24, selepas gagal mendapatkan bintang tengah Sepanyol, Cesc Fabregas daripada Barcelona. Pengurus kelahiran Scotland itu mahu menambah kreativiti di bahagian tengah sebelum pasaran pemain ditutup bulan depan.

Dia percaya, Ozil adalah pemain yang sesuai untuk membantu bahagian tengah pasukan lebih kreatif dalam mencipta gerakan, sekali gus membantu mereka mempertahankan kejuaraan Liga Perdana, selain mencari kegemilangan di pentas Eropah.

Ozil sedar, kedudukannya dalam kesebelasan utama Real tidak lagi penting sebaik saja Gareth Bale dibawa masuk menerusi perpindahan rekod dunia dari Tottenham.

Justeru, dia amat terdesak untuk mencari kelab baharu bagi mengukuhkan kedudukannya dalam skuad kebangsaan Jerman yang akan menghadapi Piala Dunia tahun depan, dan Old Trafford dilihat sebagai destinasi yang sesuai.

Moyes pula mahu membuktikan bahawa United masih mampu menarik nama-nama besar biarpun selepas ketiadaan bekas pengurus, Alex Ferguson.

Real sebelum ini menganggarkan nilai Ozil menghampiri 40 juta pound (RM205.63 juta), namun kerana terdesak untuk melepaskan pemain Jerman itu bagi membawa masuk Bale, maka harganya mungkin menjadi lebih rendah.

Moyes juga menegaskan, biarpun membawa masuk Ozil menjadi keutamaan pasukan ketika ini, namun mereka juga belum berputus asa untuk mendapatkan dua pemain Everton, Leighton Baines dan Marouane Fellaini, malah sedia meningkatkan tawaran selepas bidaan sebelum ini, 28 juta pound (RM143.94 juta) telah ditolak.

"Saya yang membawa masuk kebanyakan pemain di Everton, jadi saya tahu banyak tentang mereka. Jika kami mahu mengemukakan tawaran baharu, maka kami akan melakukannya secara senyap," kata Moyes. - AGENSI

Sumber: Utusan

Taman wanita Bale bakal jadi ancaman kekasih C.Ronaldo



STATUS Cristiano Ronaldo sebagai pemain termahal dunia bakal terhakis jika Gareth Bale berpindah ke Real Madrid, malah kedudukannya sebagai penerima gaji tertinggi di Santiago Bernabeu juga dijangka terhapus sedikit demi sedikit.

Namun, Bale, 24, bukanlah ancaman buat Ronaldo, malah ramai yang melihat kehadiran bintang muda Wales berusia 24 tahun itu mampu membentuk kombinasi hebat di antara dua pemain terbaik dunia ini.

Begitupun seandainya perpindahan ke Madrid menjadi kenyataan, sudah tentu Bale tidak akan datang bersendirian kerana bintang sayap Tottenham ini bakal membawa bersama kekasihnya yang cantik, Emma Rhys-Jones.

Di sinilah konflik akan berlaku, bukan sesama pemain tetapi di antara teman wanita pemain. Media Sepanyol menjangkakan persaingan merebut gelaran diva WAGs (Wife and Girlfriends) di Bernabeu akan berlaku.

Rhys-Jones bakal menjadi persona baharu Real Madrid, sekali gus menenggelamkan kekasih Ronaldo yang terkenal iaitu top model, Irina Shayk.

Kejelitaan Shayk memang sukar untuk ditandingi, apatah lagi dia memegang status sebagai supermodel terkenal di Rusia, namun kesederhanaan Rhys-Jones dikatakan mampu menjadi kriteria yang membolehkan dia mengatasi Shayk untuk bergelar persona Bernabeu.

Rhys-Jones bukan sekadar hadir dalam hidup Bale ketika dia sudah berada di puncak kariernya, sebaliknya mereka telah berpacaran sejak masih remaja, malah kedua-duanya adalah teman satu sekolah.

Rhys-Jones juga memainkan peranan yang besar dalam kehidupan Bale, sehingga membolehkan dia berada di kedudukannya sekarang.

Gadis manis berusia 24 tahun ini dianggap teman wanita yang sempurna buat Bale. Selain cantik, kesederhanaan Rhys-Jones turut menjadi daya tarikan utamanya. Berbeza dengan kebanyakan WAGs, dia terkenal sebagai seorang yang amat tidak menyukai dunia glamor serta kehidupan malam.

Kehidupan Rhys-Jones jauh berbeza dengan Shayk yang sememangnya dikelilingi oleh dunia glamor, selain terkenal dengan hobi membeli belah serta suka berlibur.

Kehidupan model kelahiran Rusia itu juga sentiasa menjadi tumpuan media. Bale sendiri mempunyai gaya hidup yang berbeza dengan Ronaldo dan kebanyakan pemain-pemain bola sepak terkenal yang lain.

Dibesarkan dalam keluarga yang menitik beratkan nilai kekeluargaan, dia tidak suka berfoya-foya di kelab-kelab malam, malah jauh sekali dikaitkan dengan gosip liar atau skandal.

Berusia 24 tahun, Bale dikatakan bakal memecah rekod perpindahan dunia jika menyertai Real menerusi bayaran 93 juta pound (RM478.08 juta), namun semua itu tidak merubah dirinya.

Padanya, selain karier, keutamaan tetap satu iaitu keluarga, teman wanita serta anak mereka, Alba Violet Bale yang dilahirkan di University Hospital of Wales di Cardiff pada Oktober, 2012. - AGENSI

Sumber: Utusan

Rooney bakal diturunkan menentang Chelsea pada 27/8/2013



MANCHESTER - Pengurus Manchester United, David Moyes mendedahkan, dia bersedia menurunkan Wayne Rooney dalam kesebelasan utama menentang Chelsea esok, walaupun sedar penyerang England itu kini dikait rapat dengan kelab London tersebut.

Baru-baru ini, pengurus Chelsea, Jose Mourinho mengesahkan bahawa dia bakal melancarkan tawaran ketiga untuk mendapatkan Rooney selepas gagal dalam dua percubaan terdahulu.

Namun, perkara itu tidak langsung menghalang Moyes daripada tetap menyenaraikan penyerang kontroversi tersebut dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford.

Rooney, 27, sebelum ini mengalami kecederaan pelipat lutut dan bahu, namun sudah pulih sepenuhnya, malah diturunkan sebagai gantian ketika United menumpaskan Swansea dalam aksi pembukaan liga, musim lalu.

Dia mencipta gerakan untuk dua gol yang disempurnakan oleh Robin van Persie dan Danny Welbeck.

"Wayne sudah pulih dan dia mempunyai peluang yang baik untuk diturunkan.

"Dia ada peluang yang sangat baik untuk menentang Chelsea, berada dalam kesebelasan utama," kata Moyes.

Pada masa yang sama, Moyes turut menegaskan pendirian United untuk tidak akan menjual Rooney kepada Chelsea, biarpun Mourinho tidak bersembunyi bahawa The Blues akan membuat tawaran ketiga selepas tamat perlawanan tersebut.

Bagaimanapun ketika ditanya apakah tentang masa depan Rooney, Moyes berkata: "Kita pernah bercakap tentang perkara ini bukan? Ia masih mesej yang sama."

Chelsea sebelum ini telah mengemukakan tawaran bernilai 20 juta pound (RM102.81 juta) dan 30 juta pound (RM154.22 juta) untuk pemain berusia 27 tahun itu tetapi kedua-duanya ditolak oleh United.

Rooney sebelum ini turut menyuarakan hasrat untuk meninggalkan Old Trafford kerana tidak gembira sering disisihkan daripada kesebelasan utama, malah berang apabila Moyes menganggap dia sebagai penyerang kedua di belakang Van Persie.

Pada ketika ramai yang menganggap tindakan Mourinho mengumumkan hasrat mengemukakan tawaran baharu sebelum perlawanan kedua-dua pasukan berlangsung esok adalah untuk memberi tekanan kepada United, namun Moyes nampaknya tidak peduli akan perkara itu. - AFP

Sumber: Utusan

Jose Mourinho belum berputus asa mahu dapatkan Rooney



LONDON - Jose Mourinho memberi amaran kepada Manchester United bahawa dia belum berputus asa untuk memburu Wayne Rooney dan bakal melakukan percubaan ketiga untuk membawa masuk bintang penyerang England itu ke Chelsea.

Dalam langkah yang ditafsirkan di Old Trafford sebagai sengaja diada-adakan untuk menghangatkan suasana menjelang pertemuan Liga Perdana di antara kedua-dua pasukan, Isnin ini, Mourinho berkata, dia tidak akan mengemukakan tawaran rasmi sebelum perlawanan itu. Namun akan kembali sebelum pasaran perpindahan ditutup 2 September.

"Saya tidak mahu Chelsea melakukannya sebelum kami pergi ke sana (Old Trafford) dan semua orang dalam kelab ini, termasuk ahli lembaga bersetuju dengan saya. Kami berkongsi pandangan yang sama.

"Kami masih mempunyai masa untuk melakukan beberapa perkara, kami pernah melakukannya sebelum ini dan akan melakukannya tidak lama lagi. Begitupun saya rasa dalam tempoh menjelang perlawanan, adalah sebaiknya kami pergi secara diam dan hanya memikirkan tentang pertarungan," kata Mourinho.

Walaupun tidak menafikan kemungkinan akan ada tawaran yang datang dalam masa terdekat, namun United tetap berpegang kepada pendirian bahawa mereka akan menolak sebarang usaha untuk mendapatkan penyerang berusia 27 tahun itu.

Pengurus United, David Moyes dan Ketua Eksekutif kelab, Ed Woodward sebelum ini menegaskan bahawa Rooney tidak akan dibenarkan meninggalkan Old Trafford.

Woodward telah menjelaskan kepada pegawai senior di Chelsea mengenai kedudukan United tetapi dengan kedua-dua pasukan akan bertemu, Isnin ini. Namun Mourinho diberi kebenaran untuk mengemukakan satu lagi tawaran dalam usaha menjejaskan persiapan United selain mengalihkan fokus Rooney menjelang perlawanan tersebut.

Dua tawaran Chelsea untuk mendapatkan Rooney sebelum ini, iaitu 20 juta pound (RM103.11 juta) dan 30 juta pound (RM154.67) telah ditolak. Tawaran kedua dikemukakan, dua minggu lalu. - AGENSI

Sumber: Utusan

Arsenal mahu beli penyerang Real Madrid, Karim Benzema



LONDON - Selepas mengibarkan bendera putih dalam cubaan mendapatkan Luis Suarez, Arsenal kini beralih perhatian kepada bintang penyerang Perancis dan Real Madrid, Karim Benzema sebagai sasaran terbaharu untuk dibawa ke Emirates.

Hasrat itu diumumkan oleh pengurus Arsenal, Arsene Wenger sejurus selepas pasukannya membenam Fenerbahce 3-0 di Istanbul dalam aksi kelayakan Liga Juara-Juara Eropah, Selasa lalu.

Dalam perlawanan itu, jaringan Kieran Gibbs, Aaron Ramsey dan sepakan penalti Olivier Giroud memastikan tiket Gunners dalam kancah bola sepak elit Eropah itu buat musim ke-16 berturut-turut. Ia mendorong Wenger berjanji kepada penyokong kelab untuk lebih serius dalam usaha mengukuhkan pasukan.

Bagaimanapun berita buruk buat penyokong Gunners, Wenger mengakui, selepas terlalu lama tidak berada dalam 'permainan jual beli pemain' mereka kini sudah tidak begitu bagus dalam memancing pemain-pemain bintang, bermula dengan kegagalan untuk mengikat perjanjian mendapatkan Suarez yang disifatkan sebagai gagal.

Namun begitu, ahli lembaga Arsenal bersedia memberikan dana 40 juta pound (RM206.22 juta) untuk Benzema. Wenger berharap Real bersedia melepaskan pemain antarabangsa Perancis itu bagi mengurangkan kos mereka membawa masuk Gareth Bale.

"Pasaran perpindahan bermula buat saya sekarang dan banyak aktiviti akan berlaku dari sekarang sehingga 2 September. Ia sudah bermula, sama seperti permainan poker, orang akan memegang kad selama yang mungkin untuk melihat apa yang berlaku di luar sana, pada akhirnya mereka akan membuat keputusan.

"Dari 21 Ogos sehingga 2 September, iaitu dalam tempoh 12 hari.. banyak perkara akan berlaku," ujar Wenger. - AGENSI

Sumber: Utusan

Gambar Belangkas