MANCHESTER - Pengurus Manchester United, David Moyes mendedahkan, dia bersedia menurunkan Wayne Rooney dalam kesebelasan utama menentang Chelsea esok, walaupun sedar penyerang England itu kini dikait rapat dengan kelab London tersebut.
Baru-baru ini, pengurus Chelsea, Jose Mourinho mengesahkan bahawa dia bakal melancarkan tawaran ketiga untuk mendapatkan Rooney selepas gagal dalam dua percubaan terdahulu.
Namun, perkara itu tidak langsung menghalang Moyes daripada tetap menyenaraikan penyerang kontroversi tersebut dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford.
Rooney, 27, sebelum ini mengalami kecederaan pelipat lutut dan bahu, namun sudah pulih sepenuhnya, malah diturunkan sebagai gantian ketika United menumpaskan Swansea dalam aksi pembukaan liga, musim lalu.
Dia mencipta gerakan untuk dua gol yang disempurnakan oleh Robin van Persie dan Danny Welbeck.
"Wayne sudah pulih dan dia mempunyai peluang yang baik untuk diturunkan.
"Dia ada peluang yang sangat baik untuk menentang Chelsea, berada dalam kesebelasan utama," kata Moyes.
Pada masa yang sama, Moyes turut menegaskan pendirian United untuk tidak akan menjual Rooney kepada Chelsea, biarpun Mourinho tidak bersembunyi bahawa The Blues akan membuat tawaran ketiga selepas tamat perlawanan tersebut.
Bagaimanapun ketika ditanya apakah tentang masa depan Rooney, Moyes berkata: "Kita pernah bercakap tentang perkara ini bukan? Ia masih mesej yang sama."
Chelsea sebelum ini telah mengemukakan tawaran bernilai 20 juta pound (RM102.81 juta) dan 30 juta pound (RM154.22 juta) untuk pemain berusia 27 tahun itu tetapi kedua-duanya ditolak oleh United.
Rooney sebelum ini turut menyuarakan hasrat untuk meninggalkan Old Trafford kerana tidak gembira sering disisihkan daripada kesebelasan utama, malah berang apabila Moyes menganggap dia sebagai penyerang kedua di belakang Van Persie.
Pada ketika ramai yang menganggap tindakan Mourinho mengumumkan hasrat mengemukakan tawaran baharu sebelum perlawanan kedua-dua pasukan berlangsung esok adalah untuk memberi tekanan kepada United, namun Moyes nampaknya tidak peduli akan perkara itu. - AFP
Sumber: Utusan