MADRID - Real Madrid sudah mula 'menjual' Gareth Bale apabila jersi yang tertera nama bintang antarabangsa Wales itu sudah mula berada di pasaran semalam, meskipun pemain tersebut masih miliki Tottenham.
Difahamkan, rundingan di antara gergasi bola sepak Sepanyol itu dan Tottenham kini berada di peringkat akhir serta bersedia untuk mencapai persetujuan dalam tempoh terdekat, namun Bale masih belum berpindah atau mengorak langkah untuk ke Bernabeu.
Akhbar Britain, Telegraph melaporkan, Bale dijangka melengkapkan perjanjian rekod dunia bernilai 93 juta pound (RM479.46 juta) pada hujung minggu ini.
Akhbar yang berpengkalan di Madrid, Marca dan AS pula menyiarkan gambar yang diambil daripada laman web Real, mempamerkan jersi No. 11 yang bakal dipakai oleh Bale yang sudahpun berada di pasaran.
AS bagaimanapun berkata, penjualan jersi tersebut dilakukan oleh pengeluar sukan, Adidas sendiri bukan oleh kelab.
Pengerusi Spurs, Daniel Levy dilaporkan telah mengadakan rundingan peringkat akhir dengan Real sejak dua hari lalu untuk dan persetujuan sudah dicapai, namun ia cuma melibatkan Bale dan tiada pemain lain terlibat.
Real sebelum ini menawarkan beberapa pemainnya sebagai pertukaran untuk Bale.
Namun Spurs menegaskan, rundingan setiap pemain harus diadakan secara berasingan, termasuk yang melibatkan tonggak pertahanan Portugal, Fabio Coentrao.
Perpindahan Bale dijangka tertangguh hingga Khamis depan kerana Real mengharungi perlawanan persahabatan menentang kelab Qatar, Al-Saad, yang merupakan pasukan kepada bekas penyerang mereka, Raul. - AGENSI
Sumber: Utusan