LONDON - Selepas berjaya memastikan kemenangan sempena kepulangannya ke Chelsea Ahad lalu, Jose Mourinho perlu melakukan perkara yang sama apabila beraksi di tempat lawan menentang Aston Villa dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, hari ini.
Pengendali dari Portugal itu kembali ke Stamford Bridge Ahad lalu selepas enam tahun dan cepat menyesuaikan diri dengan rutin lamanya apabila menewaskan Hull City 2-0, sekali gus meneruskan rekod tanpa kalah skuad bimbingannya di tempat sendiri kepada 61 perlawanan.
Perlawanan tersebut menyaksikan Frank Lampard menjaringkan gol melalui sepakan bebas pada minit ke-25 namun skuad Mourinho perlu lebih mantap apabila bertemu Villa.
Villa mengejutkan Arsenal 3-1 di Stadium Emirates Sabtu lalu ketika Christian Benteke sudah mendapat sentuhan jaringan dan dilihat bersedia untuk membuang memori bergelut dalam zon penyingkiran musim lalu.
Lampard, salah seorang daripada lapan pemain yang pernah di bawah bimbingan Mourinho sebelum ini berkata, sasaran Chelsea musim ini adalah memberi cabaran dalam perebutan kejuaraan liga selepas menamatkan saingan musim lalu pada tangga ketiga dan keenam pada 2012.
"Saingan EPL sangat sukar sejak kebelakangan ini. Perlawanan menjadi semakin sengit dan pantas, jadi kami perlu sentiasa menang minggu demi minggu, itu yang perlu kami lakukan sekali lagi.
"Apa yang perlu kami tekankan di sini ialah Aston Villa baru sahaja menewaskan Arsenal kerana mereka begitu pantas dan memiliki barisan pemain yang muda, jadi kami tidak boleh biarkan begitu sahaja tanpa usaha," kata pemain tengah England berusia 35 tahun itu, yang meraih dua kejuaraan liga di bawah Mourinho pada 2005 dan 2006.
Mourinho mungkin melakukan penggiliran pemain kerana mereka bukan sahaja akan bertemu Manchester United Isnin depan tetapi selepas itu terlibat dengan perlawanan Piala Super UEFA di Prague pada 30 Ogos.
Juan Mata akan diberi peluang beraksi selepas hanya menghuni bangku simpanan ketika menentang Hull berikutan kecederaan buku lali manakala Romelu Lukaku atau Demba Ba dijangka membantu Fernando Torres pada bahagian serangan. - AFP
Sumber: Utusan