LONDON, England - Arsenal berdepan krisis pada awal saingan Liga Perdana Inggeris selepas pemain sayapnya Alex Oxlade-Chamberlain dilaporkan terlepas aksi selama enam bulan ekoran kecederaan, lapor Daily Mail.
Oxlade-Chamberlain adalah salah seorang daripada beberapa pemain yang mendapat kecederaan dalam aksi yang menyaksikan Arsenal tewas 1-3 kepada Aston Villa, meninggalkan pengurus pasukan, Arsene Wenger dihambat gelisah menjelang pertemuan kelayakan Liga Juara-Juara menentang Fenerbache, esok.
Wenger bagaimanapun masih menunggu keputusan ujian imbasan kedua kecederaan Oxlade-Chamberlain.
Oxlade-Chamberlain, 20, mendapat kecederaan selepas berlaga dengan pemain pertahanan Villa, Antonio Luna dan Wenger menegaskan: "Dia terkeluar (daripada saingan menentang Fenerbache). Lututnya mengalami masalah. Kecederaan itu teruk."
Sebagai tambahan kepada kesengsaraan yang dihadapi oleh Wenger, Arsenal turut kehilangan Bacary Sagna, Kieran Gibbs, Tomas Rosicky serta Aaron Ramsey yang turut dilanda kecederaan malah belum pasti dapat diturunkan minggu ini.
Setakat ini, Thomas Vermaelen, Nacho Monreal, Mikel Arteta serta Abou Diaby disahkan terlepas aksi minggu ini disebabkan masalah kecederaan. - AFP
Sumber: Utusan