12 setengah malam ... sedang bersiap-siap hendak masuk beradu, tiba-tiba terdengar bunyi titik-titk hujan...suami bertanya, "Hujan ke?" Saya menjawab, "mungkin .. ", lalu segera menjenguk ke tingkap. Benarlah ..titik-titk hujan semakin kuat bunyi nya dan semakin deras... akhirnya hujan turun mencurah-curah sangat lebat di tengah malam.
| Surah ArRum. Ayat 024. Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kebesaranNya dan kekuasaanNya, Ia memperlihatkan kilat kepada kamu, untuk menakutkan (dari panahan petir) dan memberi harapan (dengan turunnya hujan) dan Dia menurunkan hujan dari langit, lalu Dia hidupkan bumi sesudah matinya dengan hujan itu. Sesungguhnya yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang menggunakan akal untuk memahamiNya. |
Syukur Syukur Syukur Alhamdulillah....
Suasana bilik menjadi semakin sejuk dan nyaman, bermakna malam ini tidak perlu memasang air-cond untuk tidur. Sewaktu membaca doa-doa hendak tidur, teringat bahawa di antara waktu-waktu doa mustajab adalah sewaktu turunnya hujan..lalu segera daku bertafakur sebentar, sambil di dalam hati melantunkan kata-kata doa, memohon apa saja yang terlintas di hati ke Hadrat Allah SWT...
Hujan juga membawa Rahmat dari Allah Azza-wajalla,
| Surah AlA’raaf. Ayat 057. Dan Dialah ( Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan Rahmatnya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan ia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya). |
Bangun dari tidur, suasana sangat terasa segar dan nyaman...fresh!
terus ke luar rumah melihat pokok-pokok di taman... daun-daun kelihatan basah dengan titik-titik air hujan ...menarik nafas yang panjang menghirup udara segar..MasyaAllah ...Allahu Akbar..
Semoga di mana-mana sahaja bumi yang kering kontang semalam, akan menjadi basah dek hujan dan subur kembali ... tanam-tanaman, tumbuh-tumbuhan , binatang ternakan ...semuanya mendapat menafaat dari hujan Rahmat yang diturunkan oleh Allah SWT..
Maka, mengapa kita masih menjadi kaum yang tidak tahu mensyukuri nikmat Allah?
Maka, Nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? (Ar-Rahman)
| Surah AnNuur. Ayat 043. Tidakkah engkau melihat bahawasanya Allah mengarahkan awan bergerak perlahan-lahan, kemudian Dia mengumpulkan kelompok-kelompoknya, kemudian Dia menjadikannya tebal berlapis-lapis? Selepas itu engkau melihat hujan turun dari celah-celahnya dan Allah pula menurunkan hujan batu dari langit, dari gunung-ganang (awan) yang ada padanya; lalu Dia menimpakan hujan batu itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan menjauhkannya dari sesiapa yang dikehendakiNya. Sinaran kilat yang terpancar dari awan yang demikian keadaannya, hampir-hampir menyambar dan menghilangkan pandangan. |