"Tett..tet..tet ...," bunyi hon motorsikal posmen mengejutkan lamunan ku.
Berlari-lari anak ke pintu hadapan agar encik posmen tidak perlu menunggu lama. Sebaik sahaja surat bertukar tangan, pantas kujeling cop yang tertera di sebelah kiri atas sampul surat tersebut.
Surat yang diterima daripada Jabatan Perkhidmatan Awam itu kubuka dengan berhati-hati. Berdebar-debar rasa hati ..inilah surat yang kutunggu-tunggu. Apabila dibuka sahaja, mataku terus menangkap baris-baris perkataan di dalamnya.
"Tahniah. Anda telah berjaya di dalam temuduga tempohari dan ditawarkan biasiswa JPA untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains Komputer di U.S.A. selama enam tahun."
Tidak dapat kugambarkan bagaimanakah perasaan ku ketika itu, tapi yang kutahu, gembira melebihi segala-galanya. Inilah peluangku untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Luar negara? Ya!
Ah..! Bagaimanakah rasanya menjejakkan kaki ke negara lain? Berada di tempat yang sangat asing bagiku? Hatiku bercampur baur ....Seorang budak kampung yang tidak pernah menjejakkan kaki ke luar dari daerahnya kecuali ke Singapura melawat bapa saudaraku ...
"Okay..masa dah tamat .! berhenti menulis .." kedengaran suara Prof. Madya Dr Ummi Kalthum Ngah memecah hening suasana. Perasaan ku kembali ke masa kini..kembali ke bengkel penulisan yang aku hadiri bersama 15 orang peserta lain.
Kami diberi masa 5 minit untuk menulis apa sahaja yang terlintas di hati mengikut tajuk pilihan dalam sesi LARIAN MATA PENA. Tajuk yang kupilih pula adalah aku perlu menceritakan bagaimanakah perasaan ku ketika berada di tempat yang asing bagiku ...
Apa yang kutulis di atas adalah adalah bahagian pengenalannya, rentetan peristiwa bagaimana diriku akan berada di tempat atau bumi asing, yang sangat asing bagi ku iaitu Amerika Syarikat, untuk melanjutkan pelajaran.
Terdapat beberapa lagi aktiviti yang kami lakukan sepanjang bengkel penulisan kreatif selama 1 hari ini. Yang pasti, ia sangat bermakna dan penuh informasi.
Sebenarnya saya telah mengenali Kak Ummi beberapa tahun lalu di alam maya ini menerusi blog beliau BIASAN EMBUN. Namun disebabkan kesibukan masa dan pelbagai tanggungjawab lain, di samping beliau sedang menulis beberapa buah buku lain, blog beliau telah sepi sejak 10 bulan yang lalu..justeru itu sebaik sahaja mengetahui beliau akan mengendalikan bengkel penulisan ini di tempatku, saya tidak melepaskan peluang keemasan untuk menghadirinya dan sebab utama sekali adalah untuk bertemu mata dengan Kak Ummi.
Kak Ummi juga telah menulis beberapa buah novel sebelum ini, di mana kesemua novel-novel beliau telah ku miliki. Di antaranya SEUNGU LAVENDER, SEINDAH DAFODIL, DAFODIL UNTUK INSYIRAH, SENTUHAN MUTTAQEEN, PUTERI SALSABILA dan lain-lain lagi...
Yang pasti, menghadiri bengkel ini telah menaikkan semangat ku untuk kembali menulis... boleh dikatakan menjadi penulis tidak pernah termasuk dalam cita-cita semasa kecil hinggalah dewasa. Namun sifatku yang sangat suka membaca tidak kira waktu dan tempat ... bila terjumpa sahaja buku atau apa sahaja bahan bacaan, aku akan terus mengambil dan membacanya ..
Tidak dinafikan aku pernah menulis bersama-sama rakan sekerja tetapi buku-buku yang bersifat sangat teknikal dan akademik...kini, aku teringin hendak menulis novel pula .. semoga impianku menjadi kenyataan suatu hari nanti. Amin.