Pernah dengar bank kepunyaan orang miskin? atau bank yang para pemegang sahamnya terdiri daripada orang miskin? atau pernah dengar pelabur miskin mempunyai aset berjuta-juta dolar? atau pernah dengar majoriti pelabur di bank adalah kaum wanita? Haa...ini aku nak cerita pasal kisah sebuah bank yang pelik tapi benar di Bangladesh.
Nama bank tersebut ialah bank Grameen. Grameen dalam bahasa Bangladesh bermaksud kampung. Konsep bank unik ini adalah berlawanan dengan konsep bank konvensional. Bank ini dicipta khusus untuk memberi pinjaman kepada orang-orang miskin tanpa perlu cagaran, penjamin,peguam dan tiada sebarang had masa untuk membayar balik pinjaman. Semuanya berdasarkan kepercayaan di antara pihak bank dan peminjam. Bank Grameen bukan duduk di satu tempat dan menerima kehadiran peminjam seperti bank konvensional tetapi bank Grameen ini akan pergi ke setiap ceruk kampung untuk memberi pinjaman kepada orang-orang miskin dan peminta sedekah dan memberikan modal kepada mereka untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan menggunakan kemahiran yang mereka ada. Bank Grameen ini juga mewujudkan kesatuan di kalangan orang-orang miskin untuk membantu sesama sendiri jika ada ahli-ahlinya yang bermasalah dalam pekerjaan mereka. Percaya atau tidak 97% peminjamnya adalah wanita dan lagi sekali percaya atau tidak 98% pinjamannya berjaya dibayar balik oleh peminjam. Hebatkan! bank konvensional takkan mampu mengutip hutang semula sebanyak itu! Kalau di Malaysia lagi bangkrap peminjam lagi mewah hidupnya. Aku bangga! jadi rakyat Malaysia.
Bercakap tentang bank unik ini sudah tentulah kita hendak tahu siapakah punya idea yang hebat ini dan sejarahnya juga. Aku terbaca kisah pencetus idea ini di dalam satu artikel pendek di dalam sebuah buku "Chicken Soup for The Soul at Work" yang aku beli pada tahun 2004.
Nama beliau Dr. Muhammad Yunus (gambar atas) seorang seorang ahli ekonomi lulusan Universiti Vanderbilt di Amerika Syarikat. Kisah bermula pada tahun 1972, tahun bermulanya kemerdekaan Bangladesh dari Pakistan. Beliau yang mengajar di kolej Tennese, Amerika Syarikat di tawarkan menjadi ketua Ekonomi di Universiti Chittagong. Beliau mengambil tawaran tersebut untuk memberi khidmat kepada negaranya yang baru merdeka. Tetapi beliau amat terkejut apa yang beliau dapati negara semakin meurudum miskin dan pada tahun 1974 berlaku kematian di kalangan rakyat akibat kebuluran sedangkan Bangladesh negara pertanian. Ini mengecewakan beliau kerana apa yang beliau mengajar dan belajar tentang pembangunan ekonomi tidak sama langsung dengan realiti. Akhirnya beliau mengambil inisiatif untuk belajar ekonomi dengan terjun ke dalam masyarkat.
Bermula dengan kampung berdekatan Universiti Chittagong beliau berjalan dan menemui orang-orang miskin untuk mengetahui apa yang menyebabkan mereka tidak dapat mengubah hidup mereka. Sehingga satu hari beliau berjumpa dengan seorang perempuan yang koyak pakaiannya sedang membuat perabot rotan yang hasil kerjanya sangat cantik. Beliau tertanya-tanya mengapa hidupnya begitu miskin sedangkan hasilnya kerjanya sangat bagus. Apabila ditanya di manakah dijual dan berapa hasilnya barulah beliau faham selama ini masalah sebenar adalah kerana adanya ahlong. Apa ingat Malaysia saja ada ahlong? Mangsa ahlong di Bangladesh sampai mati kebulur, Malaysia belum capai taraf itu lagi....aku bangga jadi rakyat Malaysia. Sambung balik, untuk mendapatkan modal wanita tersebut meminjam dari ahlong dan menjual juga kepada ahlong dengan harga kos bermaksud perempuan tersebut bekerja seperti hamba hanya mendapat 2 sen sehari dengan modal 25 sen sehari. Bayangkan betapa teruknya rakyat Bangladesh untuk mendapatkan modal 25 sen itu pun tidak mampu. Yunus meminta pelajar-pelajarnya mencari maklumat dari orang-orang kampung adakah mereka menghadapi masalah yang sama seperti wanita tersebut. Akhirnya mereka berjaya mengumpul data seramai 42 orang menghadapi masalah yang sama dan jumlah yang diperlukan sebagai modal untuk memulakan perniagaan adalah hanya sebanyak $27.
Yunus menggunakan duitnya sendiri sebanyak $27 dan diberikan kepada 42 orang wanita itu sebagai pinjaman untuk memulakan perniagaan dan mereka berjaya membayar semula dan Yunus melihat ini hanyalah penyelesaian sementara. Yunus menemui pihak bank dan meminta bank memberi pinjaman sebanyak itu kepada orang-orang miskin untuk memulakan perniagaan tetapi tidak dilayan kerana tidak masuk akal menurut kepala otak kapitalis kerana merek tidak percaya orang miskin mampu membayar balik sedangkan orang kaya pun tidak mampu membayar pinjaman yang ada dan bank hanya memberi pinjaman kepada orang yang berduit tidak kepada orang miskin. Yunus mempertikaikan konsep pinjaman bank yang sepatutnya menurut beliau pinjaman sepatutnya diberikan kepada orang miskin bukan orang kaya. Yunus tidak putus asa kesemua bank dia pergi tetapi semua menolak dan Yunus dengan muka tidak malu menawarkan dirinya untuk menjadi penjamin dan pihak bank yang sudah muak tengok mukanya memberikan pinjaman sebanyak $300. Pinjaman itu pula berjaya dibayar oleh para peminjam dan Yunus meminta lagi pinjaman dan pihak bank tetapi memberi pelbagai alasan untuk tidak memberikan pinjaman. Penolakan demi penolakan oleh pihak bank membuatkan Yunus terfikir untuk mewujudkan bank sendiri dan pada tahun 1983 setelah mengharungi pelbagai rintangan, pihak kerajaan membenarkan beliau mewujudkan sebuah bank dan beliau menamakan bank tersebut Bank Grameen.
Tanpa beliau sendiri menduga dari seorang pensyarah beliau menjadi seorang CEO bank dan pencetus idea kredit mikro yang mengubah nasib orang-orang miskin di Bangladesh dan di seluruh dunia. Bank Grameen mempunyai 7.5 juta peminjam dan pekerja seramai 27,000 orang seluruh Bangladesh dan pekerja-pekerja ini akan berjumpa peminjam ini setiap minggu untuk memberi khidmat nasihat dan mengutip hutang. Setiap tahun Bank Grameen berjaya mengurangkan 1% paras kemiskinan dan pada tahun 2015 bank Grameen mensasarkan 50% paras kemiskinan dapat dikurangkan.
Pada tahun 2006, Muhammad Yunus dan Bank Grameen telah dianugerahkan pingat Nobel atas kesungguhan membangunkan ekonomi sosial di kalangan rakyat miskin. Hasil dari anugerah ini telah membuka mata bank-bank kapitalis yang memandang rendah usaha Yunus untuk turut serta menawarkan kredit mikro ke dalam sistem perban mereka.
Sebanyak 43 negara telah menerima pakai konsep kredit mikro ini termasuk Malaysia seperti Bank Agro, BSN, Amanah Ikhtiar Malaysia, MARA dan beberapa badan kewangan yang lain dalam usaha membantu penduduk luar bandar untuk mendapatkan pinjaman dan memasarkan perniagaan mereka. Mencipta Dunia Tanpa Kemiskinan adalah cita-cita dan usaha terkini Yunus untuk seluruh dunia. Seperti di zaman Khalifah Islam kedua Omar Al-Khattab beliau berjaya membasmi kemiskinan sehigga tiada seorang pun yang layak untuk menerima zakat. Mungkin Yunus boleh melihat dan mengkaji usaha dan rahsia pemerintahan Omar dalam membasmi kemiskinan. Adioss!!!