Aku beli buku ini pada tahun 1998 sebab beberapa tahun sebelum itu selalu terpampang beritanya yang sensasi di ruangan luar negeri di dada-dada akhbar perdana. Disebabkan aku berminat dengan autobiograpy maka sudah sewajibnya aku membeli buku ini. Membaca buku ini anda akan merasakan anda sedang membaca skrip filem tamil yang dibukukan. Ada kisah kasta, penindasan, pergaduhan, bunuh, cinta, cuma lagu dan dansa sahaja yang tiada. Betullah kata keluarga angkat aku yang selalu berulang alik ke India, apa yang kamu lihat dalam filem tamil adalah realiti kehidupan di sana.
Buku ini menceritakan kisah duka Phoolan Devi dari zaman kanak-kanak sehinggalah dewasa. Phoolan Devi satu nama budak perempuan di pinggiran kampung yang miskin berkasta mallah (jenis kasta rendah) dan serba serbi kekurangan tetapi tidak menyangka namanya akan menjadi satu lagenda di negaranya sendiri juga di seantero dunia. Jika Robin Hood dilahirkan di England, India pula melahirkan Bandit Queen. Kedua-duanya memiliki watak yang sama. Merampas harta orang kaya dan diberikan kepada orang miskin cuma Phoolan Devi membalas dendam dan menuntut keadilan ke atas dirinya.
Mempunyai 5 orang adik beradik 4 perempuan dan seorang adik lelaki dan beliau anak kedua di dalam keluarga juga merupakan anak yang paling degil dan lincah. Ibu seorang suri rumah dan ayahnya seorang tukang kayu. Di zaman kanak-kanaknya beliau melalui segala hinaan dan penindasan dari bapa saudaranya dan sepupunya yang hidup dalam kekayaan hasil penipuan mereka terhadap keluarga Phoolan. Beliau jugalah yang banyak bersuara untuk melindungi keluarganya apabila bapanya yang terlalu naif gagal melindung keluarga sendiri dari pakcik dan sepupunya itu.
Pada umur 10 tahun Phoolan dikahwinkan oleh keluarganya dengan seorang lelaki yang telah pun beristeri. Malang buat Phoolan apabila dia didera seperti hamba tetapi akhirnya dia kembali ke pangkuan keluarganya. Untuk kaum mereka adalah memalukan apabila anak perempuan diceraikan dan Phoolan tidak diterima oleh keluarga sendiri. Phoolan selalu dipukul oleh ibunya kerana sikapnya yang tak serupa dengan anak orang lain. Tetapi Phoolan jenis yang sangat degil dan tidak peduli tentang penolakan masyarakat dan keluarga terhadap dirinya. Bapanyalah sahaja yang kasihan dan menyayanginya.
Melihat bapanya sentiasa ditipu oleh pakcik dan sepupunya beliau berani membawa kes perampasan dan penipuan tanah oleh pakciknya terhadap bapanya ke mahkamah. Melihat anak buahnya begitu berani maka mereka membalas dendam dengan membuat tuduhan Phoolan melakukan kecurian di rumah mereka. Akibatnya Phoolan ditangkap dan dipenjarakan juga dirogol oleh polis di hadapan bapanya yang naif. Ini membuatkan Phoolan begitu anti dengan lelaki dan bertambah kebenciannya kepada pakcik dan sepupunya dan dia semakin menonjol sebagai perempuan murah dan jahat di kampungnya.
Sehinggalah di satu ketika beliau diculik oleh satu kumpulan perompak berkasta Thakur (kasta tinggi sikitlah tu) dengan tujuan untuk merogolnya tetapi diselamatkan oleh seorang ahli kumpulan tersebut yang bernama Vikram yang taraf kastanya sama dengan Phoolan dan akhirnya Vikram mengambilnya sebagai isteri. Vikramlah yang mengajarnya cara-cara menggunakan senjata rifle dan mengajarnya merompak dan menculik orang-orang kaya untuk mendapatkan harta. Dengan kuasa yang ada beliau telah mengambil peluang menuntut bela terhadap orang-orang yang telah memusnahkan hidupnya.
Pembunuhan Vikram oleh kumpulan Thakur menyebabkan Phoolan keseorangan dan para Thakur menjadikan beliau mangsa rogol. Akhirnya pengikut-pengikut setia Vikram telah menyelamatkan Phoolan dan melantik Phoolan sebagai ketua mereka. Phoolan kemudian menuntut bela dengan mengarahkan pengikutnya membunuh orang yang merogolnya termasuk 20 orang Thakur yang lain di Bhemai.
Di akhir buku ini beliau telah menyerah diri beserta pengikutnya kepada pihak kerajaan dengan beberapa syarat. Maklumlah orang popular lagipun kerajaan India sampai ke sudah tak dapat menangkap beliau hingga terpaksa membuat perundingan dengan beliau. Betapa liciknya si Phoolan ini.
Buku ini sangat menarik untuk di baca kerana ia boleh membuatkan kita ketawa dengan kehidupan naifnya dan sedih dengan perlakuan yang dilakukan oleh orang sekeliling terhadapnya juga seperti di awal tadi buku ini boleh menimbulkan satu imaginasi filem tamil diminda kita.
Untuk penambahan sedikit dari kisah hidup beliau. Beliau dipenjarakan selama 11 tahun dan pada 1996 beliau telah memenangi kerusi parlimen. Beliau banyak menuntut hak waniita dan orang-orang miskin yang berkasta rendah untuk dilayan seperti orang lain. Kemenangan beliau di parlimen telah membuat namanya mahsyur di mata dunia dan orang mengambil kesempatan memfilemkan kisah kehidupannya tetapi beliau telah menyaman dan meminta kerajaan mengharamkan filem ini kerana filem tersebut banyak kepalsuan dan menjatuhkan maruah wanita. Pada tahun 2001 beliau telah dibunuh di hadapan rumahnya dan dipercayai pembunuhan ini dilakukan oleh puak-puak Thakur yang menuntut bela di atas pembunuhan yang berlaku di Behmai. ADIOSS!!!