Pertama kali aku tengok cerita ini di tv8, 2 atau 3 tahun yang lepas. Kerana ceritanyanya menarik maka ia mendapat tempat di blog aku untuk diulaskan.
Di sebuah kampung terpencil di China terdapat sebuah sekolah yang diketuai oleh seorang guru bernama Gao. Gao terpaksa mengambil cuti kecemasan dan balik ke kampungnya untuk menjaga ibunya yang sakit. Dan beliau meminta ketua kampung di sekolah tersebut mencari guru sementara. Ketua kampung kemudian membawa seorang gadis berusia 13 tahun bernama Wei Minzhi untuk mengganti Gao tetapi Gao tidak bersetuju kerana dia terlalu muda dan murid-murid di dalam kelas itu juga hampir sebaya dengan dia dan amat mustahil dia dapat menjaga murid-murid tersebut. Ketua kampung itu memberi alasan amat sukar untuk mendapatkan orang lain yang mahu membuat kerja guru. Sekurang-kurangnya Wei boleh menjaga murid-murid.
Gao tiada pilihan terpaksa bersetuju dan menasihati Wei supaya memastikan murid-murid yang seramai 28 orang itu tidak berhenti sekolah. Jika Wei berjaya mengekalkan jumlah itu dia akan di berikan tambahan 10 yuan sebagai bonus kerana Gao tidak mahu melihat lagi kelas yang sebelum ini ada seramai 40 orang murid semakin berkurangan.
Wei dengan separuh rasa tanggungjawab mengambil alih tugas Gao dan kerana beliau tidak ada pengalaman mengajar beliau hanya menyuruh menyalin pelajaran yang ditulis di papan hitam. Wei tidak ambil tahu sama ada mereka betul-betul belajar atau
mengambil sesuatu apa yang diajar. Wei hanya menghabiskan masanya di luar mengawal pintu bilik agar murid-murid tidak lari.
Tidaklah mudah untuk menjaga 28 jenis perangai di dalam kelas itu dan Wei sangat-sangat tercabar dengan sikap mereka yang nakal terutamanya dari seorang budak lelaki berusia 10 tahun bernama Zhang Huike. Zhang seorang yang bijak tetapi terlalu
nakal mengusik Wei. Satu hari Zhang tidak muncul di kelas dan diberitahu Zhang telah dipaksa bekerja di bandar oleh ibubapanya kerana kemiskinan keluarganya yang memerlukan wang.
Wei merasa risau kerana Wei telah berjanji dengan guru Gao untuk tidak membenarkan seorang murid pun berhenti dan mahu bonus yang dijanjikan Gao. Walaupun Wei tidak pernah ke bandar tetapi Wei tetap mahu mencari Zhang kerana percaya boleh
menjumpai Zhang berdasarkan alamat tempat bekerja yang diberikan. Wei tidak mempunyai wang yang cukup untuk dia berkelana ke bandar dan Wei meminta pertolongan murid-muridnya dengan mengajak murid-muridnya bekerja mengangkat bata di sebuah
kawasan pembinaan berdekatan sekolah mereka untuk mendapatkan sedikit wang. Wei juga meminta pertolongan murid-muridnya mencari jalan untuk dia menaiki bas ke bandar tanpa tambang. Di sini perjalanan menjadi menarik kerana murid-murid semua bersatu hati menolong Wei. Walaupun Wei berjaya menaiki bas tetapi inspektor bas berjaya mengesannya tidak mempunyai tiket dan terpaksa turun di pertengahan jalan. Walaupun begitu Wei meneruskan perjalanan ke bandar dengan berjalan kaki berjam-jam.
Di bandar Wei merasa terkejut kerana melihat terlalu ramai orang dan tidak tahu dan bagaimana hendak mencari Zhang. Beliau bertanya orang sekeliling tentang alamat tempat Zhang bekerja tetapi tidak ditemui Zhang di sana. Kemudian Wei menulis iklan
dan ditampal di perhentian bas atau keretapi dan akhir sekali Wei pergi ke pusat penyiaran tv dengan harapan menggunakan tv sebagai medium terakhir untuk mencari Zhang. Wei sanggup menunggu berjam-jam di luar pagar untuk bertemu dengan seseorang di pusat penyiaran tv tersebut sehingga tertidur di luar pagar.
Hanya keesokan harinya Wei berjaya bertemu dan berpeluang muncul di tv dan di ketika itu seorang perempuan empunya restoran melihat pencarian Wei di tv dan mengenali Zhang yang pada masa itu hidup merempat di luar restoran tersebut. Akhirnya mereka bertemu dan kembali semula ke kampung dengan diiringi oleh krew-krew tv atau mungkin badan pendidikan (tak ingat dah lama tak tengok) dan memberikan bantuan untuk sekolah tersebut.
Filem ini amat menarik untuk ditonton oleh semua lapisan masyarakat terutamanya murid-murid sekolah dan guru. Diharapkan pada hari guru biarlah ditayangkan cerita ini. Kita boleh menitiskan air mata semasa melihat Wei bercakap di dalam tv. Terpancar keikhlasan seorang guru muda mencari muridnya yang hilang dan jitunya dia memegang amanah guru Gao.
Pelakon-pelakon amatur digunakan di dalam drama ini di mana semua watak-watak di dalam filem ini menggunakan watak sebenar dan memainkan peranan sebenar tanpa menggunakan pelakon professional dan mengekalkan nama watak yang sebenar juga. Filem semi dokumentari ini juga dikatakan menggunakan kamera tersembunyi semasa watak Wei berbicara dengan orang-orang di bandar. Pengarah filem in mungkin mengambil cara filem Iran dibuat yang juga menggunakan kamera sembunyi tetapi ia tetap hebat dan kreatif. Tahniah untuk Zhang Yimou pengarah yang semakin meningkat naik kerana memberikan kelainan dari semua segi. Adioss!!